Tazkirah hari ini:

 

Daripada Qatadah, daripada Abdullah bin Sarjis, bahawa Nabi s.a.w. bersabda:

"Jangan salah seorang kalian buang air kecil dalam lubang."

Mereka bertanya kepada Qatadah: "Kenapa dibenci daripada membuang air kecil dalam lubang?"

Qatadah menjawab: "Dikatakan, sesungguhnya ia adalah tempat tinggal jin."

[Sunan al-Nasa'e, no: 34]

 

--------

Hadis ini diperbincangkan darjatnya dengan ada yang berkata ia sahih dan ada yang berkata ia dha'if.

--------

Jin lazim dipersalahkan kerana mengganggu manusia. Tanpa disedari, wujud kemungkinan manusia itu yang terlebih dahulu mengganggu jin. Sehingga gangguan jin ke atasnya merupakan satu serang balas.

Di antara gangguan manusia ke atas jin adalah apabila manusia buang air kecil ke dalam tempat tinggalnya seperti lubang-luang di tanah. Selain itu, membuang air besar, meludah dan membuang sampah di tempat tinggal jin adalah antara bentuk gangguan manusia ke atas jin.

Memandangkan kita (manusia) tidak dapat melihat jin dalam keadaan asalnya, maka sukar untuk kita mengetahui sama ada sesuatu tindakan kita itu mengganggu jin atau tidak.

Panduan terbaik ialah mengikuti pesanan Nabi s.a.w. dalam riwayat di atas, iaitu jangan buang air kecil dalam lubang. Secara lebih luas, jangan buang air besar, meludah dan membuang sampah sesuka hati dalam mana-mana lubang.

 

KHFA - 10 Februari 2016b