Tazkirah hari ini, firman Allah s.w.t.:

 

Dan Allah telah membuat suatu perumpamaan (dengan) sebuah negeri yang dahulunya aman lagi tenteram, rezkinya datang kepadanya melimpah ruah dari segenap tempat, tetapi (penduduk)nya mengingkari ni'mat-ni'mat Allah; karena itu Allah merasakan kepada mereka pakaian kelaparan dan ketakutan, disebabkan apa yang selalu mereka perbuat. [al-Nahl 16:112]

------------------

 

Sesiapa yang jujur akan mengakui bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang dahulunya Allah limpahkan rezeki dari segenap tempat.

Kita hidup selesa, ekonomi yang bagus, makan dan minum yang senang diperolehi.

Namun dalam suasana Allah melimpahkan rezeki-Nya kepada Malaysia, amat sedikit yang bersyukur.

Maka secara perlahan-lahan Allah menarik rezeki-Nya sehingga ekonomi semakin merudum, harga barang runcit (asasi) semakin naik sementara makanan dan minuman semakin mahal.

Sesuatu yang dahulunya lapang kini terasa semakin sempit.

Dibimbangi Allah menarik pula suasana aman dan tenteram di Malaysia ini sehingga kita hidup dalam suasana peperangan dan ketakutan pula.

-------------

Ayuh sahabat-sahabat semua, kita menjadi hamba-hamba yang bersyukur kepada Allah.

Syukur dengan hati, yakni mengiktiraf bahawa semua keamanan, ketenteraman dan kelapangan rezeki adalah daripada Allah.

Syukur dengan lisan, yakni banyak berzikir "alhamdulillah" dan menyandarkan pelbagai kelebihan yang ada di Malaysia kepada Allah.

Syukur dengan perbuatan, yakni memanfaatkan keamanan dan kelapangan yang Allah berikan secara baik. Aktiviti pemborosan (misalnya makan selalu tak habis) adalah salah satu contoh perbuatan orang yang tidak bersyukur.

------------

Seorang yang benar tauhidnya, benar imannya, akan mengetahui bahawa aman atau takut, lapang atau sempit, adalah 100% urusan Allah s.w.t.

Sementara orang yang tidak betul tauhid dan imannya, akan menyalahkan pemimpin negara atas suasana ketakutan dan/atau kesempitan.

Kita manusia hanyalah berusaha, sementara Allah jualah yang menentukan usaha tersebut berjaya atau tidak.

Seandainya rakyat berusaha untuk menukar pemimpin dan Allah menjayakan usaha tersebut, ia tetap tidak menjanjikan suasana aman dan kelapangan rezeki selagi rakyat tidak bersyukur kepada Allah.

 

KHFA - 20 Februari 2016