Tazkirah hari ini, sebuah hadis yang agak panjang:

 

Abu al-Sa’ib, maula Hisyam bin Zuhri menceritakan bahawa dia menemui Abu Sa’id al-Khudri di rumahnya. (Abu al-Sa’ib berkata): Aku dapati dia sedang solat, maka aku duduk untuk menunggu sehingga selesai solatnya. Ketika itu aku mendengar suatu pergerakan di pelepah kurma di satu penjuru rumah. Aku menoleh dan apabila terlihat seekor ular di sana, aku terus melompat (bangun) untuk membunuhnya. Akan tetapi (Abu Sa’id al-Khudri) mengisyaratkan aku untuk duduk, maka aku duduk kembali.

Tatkala selesai solat, Abu Sa’id menunjuk ke arah sebuah rumah di perkampungan itu dan berkata: “Apakah kamu nampak rumah itu?” Aku menjawab: “Ya.”

Abu Sa’id menjelaskan: “Pernah di rumah itu seorang lelaki muda dari (keluarga) kami yang baru sahaja berkahwin. Kami keluar bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ke (Perang) Khandak dan lelaki muda itu biasa meminta izin kepada Rasulullah untuk pulang ke rumahnya pada pertengahan hari untuk bersama isterinya.

Pada satu hari, dia meminta izin (untuk pulang ke rumah) dan Rasulullah berpesan kepadanya: “Ambillah senjata kamu kerana sesungguhnya aku bimbang keselamatan kamu dari (serangan kaum Bani) Quraizah.” Maka lelaki itu mengambil senjatanya kemudian pulang ke rumah.

Apabila sampai di rumah, didapati isterinya berdiri di perkarangan rumah. Maka dia terus menuju kepada isterinya dengan menghunuskan lembingnya bertujuan untuk menikamnya dengan lembing itu disebabkan kecemburuannya. Namun isterinya berkata: “Tahanlah lembing kamu dan masuklah ke dalam rumah sehingga kamu lihat apa yang menyebabkan aku keluar dari rumah!”

Maka dia masuk ke dalam rumah dan apabila terlihat seekor ular besar yang melingkar di atas tempat tidur, dia terus menuju kepadanya dengan lembingnya dan menikam ular itu dengannya. Kemudian dia keluar dan melemparkan lembingnya ke tanah dengan ular itu masih tertikam padanya. Namun ular itu menyerangnya kembali dan tidak dapat dipastikan siapa yang mati terlebih dahulu, ular itu atau lelaki muda itu (tetapi kedua-duanya mati diakhirnya).

(Abu Sa’id al-Khudri) berkata: Kami menemui Rasulullah dan menceritakan apa yang berlaku kepadanya. Kami berkata: “Mohonlah kepada Allah untuk menghidupkan kembali (lelaki muda itu) untuk kami!” Rasulullah bersabda: “Mohonlah ampun untuk saudara kalian itu.” Kemudian baginda melanjutkan:

 

إِنَّ بِالْمَدِينَةِ جِنًّا قَدْ أَسْلَمُوا فَإِذَا رَأَيْتُمْ مِنْهُمْ شَيْئًا فَآذِنُوهُ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ فَإِنْ بَدَا لَكُمْ بَعْدَ ذَلِكَ فَاقْتُلُوهُ فَإِنَّمَا هُوَ شَيْطَانٌ

“Sesungguhnya di Madinah ada sekumpulan jin yang sudah masuk Islam. Maka apabila kalian melihat sesuatu yang aneh daripada mereka (seperti memasuki rumah kalian), maka berilah izin kepada mereka selama tiga hari. Akan tetapi jika ia tetap muncul kepada kalian selepas tiga hari, maka bunuhlah ia kerana itu tidak lain adalah syaitan.

 

Dalam satu riwayat lain baginda bersabda:

 

إِنَّ لِهَذِهِ الْبُيُوتِ عَوَامِرَ فَإِذَا رَأَيْتُمْ شَيْئًا مِنْهَا فَحَرِّجُوا عَلَيْهَا ثَلَاثًا فَإِنْ ذَهَبَ وَإِلَّا فَاقْتُلُوهُ فَإِنَّهُ كَافِرٌ وَقَالَ لَهُمْ اذْهَبُوا فَادْفِنُوا صَاحِبَكُمْ

“Sesungguhnya di rumah-rumah ini (di Madinah) ada penghuninya. Maka apabila kalian melihat sesuatu daripadanya, maka halaulah ia selama tiga hari. Jika ia keluar (maka ia baik) namun jika tidak, maka bunuhlah ia kerana sesungguhnya itu adalah (jin) kafir.” Kemudian baginda bersabda kepada mereka: “Pergilah dan kebumikanlah saudara kalian itu.” [Shahih Muslim, no: 4150/2236]

 

----------

Pengajaran hadis:

Apabila ternampak haiwan di dalam rumah, jangan terus membunuhnya kerana boleh jadi ia adalah jelmaan jin. Jin itu pula ada yang muslim.

Halaulah ia keluar dan berilah tempoh tiga hari untuk keluar. Bagaimana cara halau? Bagi saya, cakap kepada haiwan itu: "Dengan nama Allah, keluarlah dari rumah aku ini."

Jika ia tidak mahu keluar selepas tiga hari, atau sebelum tiga hari itu ia melakukan aksi yang membahayakan penghuni rumah, maka bolehlah membunuhnya atas alasan self defence.

Pilihan lain, panggil orang yang lebih arif untuk mengeluarkan haiwan itu dari rumah. Kes rumah dimasuki ular, biasa saya terbaca di akhbar bahawa pihak bomba dipanggil untuk mengeluarkannya.

Yang penting, jangan terus bunuh melainkan haiwan itu melainkan haiwan itu yang terlebih dahulu menyerang.

Dakwaan "Ehh! Ini rumah saya, suka hatilah saya nak buat apa!" tidaklah semestinya benar kerana boleh jadi 50 tahun yang lepas, kawasan perumahan anda itu ialah kampung halaman sekumpulan jin.

 

KHFA - 6 Mac 2016