Abu Hurairah r.a. berkata:

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam pernah mewakilkan padaku untuk menjaga zakat Ramadhan (zakat fitrah). Maka ada seorang yang datang, menumpahkan makanan dan mengambilnya.

(Setelah berjaya menangkapnya) aku berkata: “Demi Allah, aku akan mengutarakan perbuatan kamu ini kepada Rasulullah!”
Namun dia berkata: “Aku ini benar-benar dalam keadaan memerlukan. Aku memiliki keluarga dan aku sangat memerlukan ini.” Abu Hurairah berkata: “Aku membiarkan (orang itu pergi).”

Pada (esok) pagi, Nabi bertanya: “Wahai Abu Hurairah, apa yang dilakukan oleh tawananmu semalam?” Aku menjawab: “Wahai Rasulullah, dia mengadukan bahawa dia dalam keadaan amat memerlukan dan juga mempunyai keluarga. Oleh itu aku kasihan kepadanya dan aku melepaskannya.” Nabi bersabda: “Dia telah berdusta padamu dan dia akan kembali lagi.”

(Abu Hurairah melanjutkan) Aku tahu bahawa dia akan kembali lagi sebagaimana yang Rasulullah katakan. (Pada malam berikutnya) aku mengawasi, ternyata dia datang, menumpahkan makanan dan mengambilnya. (Setelah berjaya menangkapnya) aku berkata: “Demi Allah, aku akan mengutarakan perbuatan kamu ini kepada Rasulullah!”

Namun dia berkata: “Biarkanlah aku, aku ini benar-benar dalam keadaan memerlukan. Aku memiliki keluarga dan aku tidak akan kembali selepas ini.” Abu Hurairah berkata: “Aku merasa kasihan kepadanya, lalu melepaskannya.”

Pada (esok) pagi, Nabi bertanya: “Wahai Abu Hurairah, apa yang dilakukan oleh tawananmu semalam?” Aku menjawab: “Wahai Rasulullah, dia mengadukan bahawa dia dalam keadaan amat memerlukan dan juga mempunyai keluarga. Oleh itu aku kasihan kepadanya dan aku melepaskannya.” Nabi bersabda: “Dia telah berdusta padamu dan dia akan kembali lagi.”

Pada (malam) ketiga, aku terus mengawasinya. Dia datang, menumpahkan makanan lalu mengambilnya. (Setelah berjaya menangkapnya) Aku mengatakan: “Aku akan mengutarakan perbuatan kamu ini kepada Rasulullah. Ini sudah kali ketiga, engkau katakan tidak akan kembali namun masih kembali.”

Dia berkata: “Biarkan aku. Aku akan mengajar kamu satu kalimat yang dengannya Allah akan memberi manfaat untukmu.” Aku bertanya: “Apakah itu?” Dia menjawab:

 

إِذَا أَوَيْتَ إِلَى فِرَاشِكَ فَاقْرَأْ آيَةَ الْكُرْسِيِّ{ اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ }حَتَّى تَخْتِمَ الْآيَةَ فَإِنَّكَ لَنْ يَزَالَ عَلَيْكَ مِنْ اللَّهِ حَافِظٌ وَلَا يَقْرَبَنَّكَ شَيْطَانٌ حَتَّى تُصْبِحَ.

 

“Apabila engkau hendak tidur di katilmu, bacalah ayat kursi Allahu laa ilaha illa huwal hayyul qoyyum … hingga engkau selesaikan ayat tersebut. Ini kerana sesungguhnya Allah akan senantiasa menjagamu dan syaitan tidak akan mendekatimu hingga ke waktu pagi.”

Aku melepaskannya dan pada (esok) pagi Rasulullah bertanya padaku: “Apa yang dilakukan oleh tawananmu semalam?” Abu Hurairah menjawab, “Wahai Rasulullah, dia mendakwa bahawa dia akan mengajarku satu kalimat yang dengannya Allah akan memberi manfaat untukmu, lalu aku melepaskannya.”

Rasulullah bertanya: “Apakah itu?” Dia berkata kepadaku: “Apabila engkau hendak tidur di katilmu, bacalah ayat kursi Allahu laa ilaha illa huwal hayyul qoyyum … hingga engkau selesaikan ayat tersebut. Ini kerana sesungguhnya Allah akan senantiasa menjagamu dan syaitan tidak akan mendekatimu hingga ke waktu pagi.” Sementara adalah kami amat bersemangat untuk melakukan apa-apa amal kebaikan (sehingga berasa gembira apabila menerima pengajaran ini).

Maka Rasulullah bersabda:

 

أَمَا إِنَّهُ قَدْ صَدَقَكَ وَهُوَ كَذُوبٌ. تَعْلَمُ مَنْ تُخَاطِبُ مُنْذُ ثَلَاثِ لَيَالٍ يَا أَبَا هُرَيْرَةَ؟ قَالَ: لَا. قَالَ: ذَاكَ شَيْطَانٌ!

 

“Adapun di kala itu dia berkata benar, namun asalnya dia memang pendusta. Engkau tahu siapa yang bercakap denganmu sampai tiga malam itu, wahai Abu Hurairah?” Aku menjawab: “Tidak.” Rasulullah menjelaskan: “Itu adalah syaitan.”

[Shahih al-Bukhari, jld. 8, ms. 102 secara mu’allaq]

-------------

 

Beberapa pengajaran hadis:

[1] Jin boleh menjelma menjadi manusia.

[2] Jelmaannya begitu "ori" sehingga tidak dapat dibezakan oleh Abu Hurairan meskipun telah menangkap dan berbicara dengannya selama 3 malam berturut-turut.

[3] Ada yang berkata, makhluk jelmaan jin matanya tidak berkelip. Petua ini perlu disemak semula. Mungkin, ia bergantung kepada jin yang menjelma itu, apakah dia pro atau amatur.

[4] Berdasarkan riwayat ini, ada yang berkata jin apabila menjelma menjadi makhluk yang dapat dilihat oleh manusia, ia berada dalam keadaan yang lemah. Oleh itulah Abu Hurairah berjaya menangkapnya.

Pendapat ini tidak semestinya benar. Sebelum ini saya ada kongsikan bagaimana jin yang menjelma menjadi ular berjaya mengalahkan seorang lelaki pada zaman Nabi (ular itu juga terbunuh akhirnya).

Apa yang benar, jin yang berbeza memiliki kekuatan dan kemampuan yang berbeza.

[5] Zakat fitrah pada zaman Nabi s.a.w. adalah dalam bentuk makanan. Zakat fitrah boleh dikutip sebelum 1 Syawal.

[6] Berdasarkan kata-kata Abu Hurairah: "Sementara adalah kami amat bersemangat untuk melakukan apa-apa amal kebaikan (sehingga berasa gembira apabila menerima pengajaran ini)",

ia menunjukkan bahawa para sahabat Nabi - semoga Allah meredhai mereka - amat bersemangat untuk melakukan amal-amal ibadah. Justeru jika mereka tidak melakukan sesuatu ibadah, bererti ia bukanlah satu kebaikan yang selari dengan syari'at Islam.

[7] Petua agama yang dianjurkan, baik oleh manusia atau jin, tidak boleh diterima melainkan ia diiktiraf oleh Allah dan/atau Rasul-Nya. Dalam kes ini, petua membaca Ayat Kursi sebelum tidur diiktiraf oleh Rasulullah dan boleh kita amalkan.

Selepas kewafatan Rasulullah, Islam sudah menjadi sempurna sehingga tak memerlukan kepada apa-apa petua ibadah yang lain.

Maka jika ada yang menganjurkan - misalnya anjuran membaca selawat 7 kali sebelum tidur - maka ia tidak perlu diamalkan meskipun di sisi akal kita ia nampak bagus.

 

KHFA 22Mac