Tazkirah hari ini:

 

عَنْ خَارِجَةَ بْنِ الصَّلْتِ التَّمِيمِيِّ عَنْ عَمِّهِ قَالَ: أَقْبَلْنَا مِنْ عِنْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَتَيْنَا عَلَى حَيٍّ مِنْ الْعَرَبِ.

Daripada Kharijah bin al-Sholti al-Tamimi, daripada pakciknya, dia berkata: Kami kembali daripada sisi Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam lalu kami mendatangi satu perkampungan Arab (pendalaman).

 

فَقَالُوا: إِنَّا أُنْبِئْنَا أَنَّكُمْ قَدْ جِئْتُمْ مِنْ عِنْدِ هَذَا الرَّجُلِ بِخَيْرٍ. فَهَلْ عِنْدَكُمْ مِنْ دَوَاءٍ أَوْ رُقْيَةٍ؟ فَإِنَّ عِنْدَنَا مَعْتُوهًا فِي الْقُيُودِ.

Mereka berkata: “Sesunguhnya kami diberitahu bahawa kalian datang dari sisi seorang lelaki (Rasulullah) yang memiliki banyak kebaikan. Apakah di sisi kalian terdapat ubat atau jampian? Ini kerana sesungguhnya di sisi kami ada seorang gila yang diikat dengan rantai besi.”

 

قَالَ: فَقُلْنَا: نَعَمْ. قَالَ: فَجَاءُوا بِمَعْتُوهٍ فِي الْقُيُودِ. قَالَ: فَقَرَأْتُ عَلَيْهِ فَاتِحَةَ الْكِتَابِ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ غُدْوَةً وَعَشِيَّةً كُلَّمَا خَتَمْتُهَا أَجْمَعُ بُزَاقِي ثُمَّ أَتْفُلُ. فَكَأَنَّمَا نَشَطَ مِنْ عِقَالٍ.

Kami menjawab: “Ya”. Lalu mereka membawakan orang gila yang dirantai itu. Aku (pakcik Kharijah) membacakan ke atasnya surah al-Fatihah selama tiga hari, pagi dan petang. Setiap kali selesai membaca (surah al-Fatihah), aku kumpulkan ludah dan kemudian meludah (kepada orang gila itu). Maka (dia sembuh) sehingga seolah-olah terbebas daripada ikatan rantainya.

 

قَالَ: فَأَعْطَوْنِي جُعْلًا فَقُلْتُ: لَا حَتَّى أَسْأَلَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. فَقَالَ: كُلْ فَلَعَمْرِي مَنْ أَكَلَ بِرُقْيَةِ بَاطِلٍ لَقَدْ أَكَلْتَ بِرُقْيَةِ حَقٍّ.

Maka mereka memberikan aku hadiah, namun aku katakan: “Tidak, (tunggu dulu) sehingga aku bertanya kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam (sama ada boleh menerimanya atau tidak).” (Setelah kembali kepada Rasulullah dan bertanya, baginda menjawab): “Ambillah kerana demi agamaku, ada orang yang mengambil (harta) melalui jampi yang batil sementara engkau mengambilnya dengan jampi yang benar.”

[Shahih Sunan Abu Daud, no: 3402/3901]

 

------------

Beberapa pengajaran hadis:

[1] Sesiapa saja boleh meruqyah atau menjampi. Tidak semestinya memanggil atau berjumpa dengan ustaz. Yang terbaik, jampi dilakukan di kalangan orang-orang yang dipercayai seperti sesama ahli keluarga atau rakan-rakan. Contohnya, ayah menjampi anak atau anak menjampi ayah.

Boleh saja panggil atau jumpa ustaz tetapi perlu waspada sebab banyak kes penipuan yang berlaku.

 

[2] Jampi hanya dengan membaca surah al-Fatihah. Orang gila dalam hadis di atas, kegilaannya mungkin disebabkan oleh masalah biologi diri sendiri atau rasukan jin (histeria). Namun dengan izin Allah, dapat disembuhkan dengan jampian surah al-Fatihah.

Dalam sebuah hadis sahih yang lain, ada orang yang disengat binatang berbisa juga disembuhkan dengan jampian surah al-Fatihah. Ini menunjukkan jampian juga dibolehkan ke atas penyakit fizikal.

Yang penting ialah yakin kepada kesembuhan daripada Allah.

 

[3] Kebiasaan sebahagian masyarakat kita, jampi hendaklah berjela-jela panjangnya. Faham atau tidak lain cerita. Asalkan panjaaang.

Jika ada penjampi yang baca surah al-Fatihah saja, pasti akan ada yang berkata: "Huh! Dia ni amatur. Pergilah cari tukang jampi yang pro!".

Padahal hadis ini membuktikan cukup dengan surah al-Fatihah. Ini kerana yang menyembuhkan bukanlah penjampi yang pro atau amatur tetapi Allah s.w.t..

 

8 May, 2016