Baru-baru ini ketika menyemak beberapa hadis, terjumpa hadis berikut yang menarik perhatian saya dan ingin dikongsikan bersama:

----------

 

Daripada Ali bin Rabi‘ah, dia berkata: Aku menyaksikan Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh diberi haiwan untuk dia tunggangi. Apabila dia meletakkan kakinya di pemijak kaki (sanggurdi), dia mengucapkan: “Bismillah” tiga kali. Tatkala dia sudah berada di atas belakang haiwannya, dia mengucapkan: “Alhamdulillah”. Kemudian dia membaca:

 

سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ.

“Maha Suci Dzat yang telah menundukkan untuk kami kenderaan ini, padahal tidaklah kami dapat menguasainya, dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah kami akan dikembalikan.”

 

Kemudian dia mengucapkan: “Alhamdulillah” tiga kali dan: “Allahu Akbar” tiga kali, diikuti dengan:

 

سُبْحَانَكَ إِنِّي قَدْ ظَلَمْتُ نَفْسِي فَاغْفِرْ لِي فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ.

“Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku maka ampunilah aku kerana sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni dosa kecuali Engkau).”

 

Kemudian dia ketawa. Aku (Ali bin Rabi‘ah) bertanya: Kenapa engkau ketawa wahai Amirul Mukminin?

Dia menjawab: Aku melihat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam melakukan seperti apa yang aku lakukan kemudian baginda ketawa. Aku bertanya: Kenapa engkau ketawa wahai Rasulullah? Baginda menjawab:

 

إِنَّ رَبَّكَ لَيَعْجَبُ مِنْ عَبْدِهِ إِذَا قَالَ رَبِّ اغْفِرْ لِي ذُنُوبِي إِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ غَيْرُكَ.

Sesungguhnya Tuhan-Mu sungguh merasa kagum kepada hamba-Nya apabila (hamba-Nya) mengucapkan: “Wahai tuhan-Ku, ampunilahku terhadap dosa-dosaku kerana sesungguhnya tidak ada yang mengampuni dosa selain-Mu.”

[Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 3368/3446]

 

-----------

Hadis ini menerangkan doa atau zikir ketika menaiki kenderaan.

Namun apa yang menarik perhatian saya ialah tindakan Ali bin Abi Thalib ketawa selepas membaca zikir-zikir tersebut. Beliau ketawa kerana mengikuti tindakan Rasulullah yang ketawa.

Ia menunjukkan kesungguhan para sahabat mengikuti sunnah Rasulullah meskipun dalam hal yang amat kecil.

Bezakan bahawa Rasulullah ketawa kegembiraan kerana baginda mendapat wahyu atau khabar bagaimana Allah merasa kagum kepada hamba-Nya.

Akan tetapi Ali tidak mendapat wahyu atau khabar. Beliau ketawa semata-mata kerana mengikuti tindakan Rasulullah ketawa.

Hadis ini menjadi motivasi kepada saya untuk cuba mengikuti sunnah Rasulullah sebanyak mungkin, meskipun dalam hal-hal yang kecil atau dianggap tidak perlu diikuti.

 

10 May,2016