Tazkirah hari ini, sabda Rasulullah s.a.w.:

 

لاَ تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ قُبُورًا وَلاَ تَجْعَلُوا قَبْرِي عِيدًا وَصَلُّوا عَلَيَّ فَإِنَّ صَلاَتَكُمْ تَبْلُغُنِي حَيْثُ كُنْتُمْ.

 

Jangan jadikan rumah-rumah kalian seperti perkuburan dan jangan jadikan kuburku sebagai tempat perayaan (Eid). Berselawatlah ke atasku kerana sesungguhnya selawat kalian akan sampai kepadaku di mana jua kalian berada.

[Shahih Sunan Abu Daud, no: 1746/2042. Para ahli hadis berbeza dalam menilai darjat hadis ini. Ada yang menilainya hasan (Ibn Taimiyyah, Ibn Hajar al-Asqalani, al-Albani) dan ada yang menilainya sahih (al-Nawawi).]

-------------

"Jangan jadikan rumah-rumah kalian seperti perkuburan", maksudnya jangan menjadikan rumah kalian kosong daripada solat, berdoa, membaca al-Qur'an dan zikir sehingga seolah-olah ia kawasan perkuburan.

Hadis ini memberi isyarat bahawa kubur bukanlah tempat melakukan ibadah kerana rumah yang kosong daripada ibadah diumpamakan sebagai kubur.

 

------------

"Dan jangan jadikan kuburku sebagai tempat perayaan (Eid)".

Apa maksud perayaan di sini?

 

Imam Syamsul Haq Abadi ketika mensyarahkan hadis ini dalam Aunul Ma'bud Syarh Sunan Abi Daud berkata:

 

وَالْعِيد اِسْم مَا يَعُود مِنْ الِاجْتِمَاع الْعَامّ عَلَى وَجْه مُعْتَاد عَائِدًا مَا يَعُود السَّنَة أَوْ يَعُود الْأُسْبُوع أَوْ الشَّهْر وَنَحْو ذَلِكَ .

 

"Dan yang dinamakan “Eid” adalah apa yang berulang dari perhimpunan umum dalam bentuk yang berlaku secara rutin lagi berulang, baik ulangan itu secara tahunan atau mingguan atau bulanan dan yang seumpama itu."

Secara ringkasnya, jangan jadikan kubur Nabi s.a.w. sebagai tempat ziarah yang dirutinkan pada ulangan tertentu.

Jika perbuatan menjadikan kubur Nabi sebagai tempat perayaan dilarang, maka sudah lebih layak perbuatan ini dilarang pada kubur-kubur yang lain. Ini sebagaimana jelas Imam al-Sayuthi:

"Sisi penghujahan dari dalil-dalil di atas adalah bahawa kubur Nabi s.a.w. adalah kubur yang paling utama di bumi. Pun begitu, baginda melarang menjadikannya sebagai tempat perayaan (Eid). Maka kubur-kubur selain kubur baginda adalah lebih layak untuk masuk dalam larangan ini." [al-Amr bi al-Ittiba' wa al-Nahiy 'an al-Ibtida', ms. 81]

 

---------

"Berselawatlah ke atasku kerana sesungguhnya selawat kalian akan sampai kepadaku di mana jua kalian berada."

Maksudnya, di mana saja kita berselawat kepada Rasulullah, ia akan sampai kepada baginda. Justeru tak perlu bersusah payah untuk ke kubur baginda bagi mengucapkan selawat atau berpesan kepada orang yang ke Madinah untuk "kirim salam kepada Nabi".

 

========

Kebiasaan sebahagian masyarakat kita ialah menziarahi kubur orang-orang tua mereka pada pagi 1 Syawal. Ini mereka lakukan secara rutin, iaitu setiap 1 Syawal pada setiap tahun.

Menziarahi kubur adalah sesuatu yang dianjurkan oleh Islam, namun hendaklah diperhatikan adab-adab yang digariskan oleh Islam. Antaranya ialah jangan menjadikan ziarah tersebut satu perayaan, yakni rutin setiap 1 Syawal.

Alasan "saya balik kampung hanya pada 1 Syawal" adalah tidak kukuh kerana ziarah kubur boleh dilakukan pada mana-mana kubur dan bukan pada kubur orang-orang tua di kampung sahaja.

Ini kerana tujuan ziarah kubur bukanlah untuk memberi manfaat kepada ahli kubur, tetapi memberi manfaat kepada orang yang menziarahi kubur.

Ya, manfaat ziarah kubur adalah untuk PENZIARAH dan bukan yang DIZIARAH. Manfaat yang dimaksudkan ialah mengingatkan diri kepada mati.

Jika hendak mendoakan orang tua dan mensedekahkah pahala amal soleh kepada mereka, ia boleh dilakukan di mana-mana tanpa perlu berada di sisi kubur mereka.

 

27 Jun, 2016