Tazkirah hari ini ialah kisah Rasulullah yang pernah kena sihir. A’isyah radhiallahu 'anha menerangkan:

 

سَحَرَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلٌ مِنْ بَنِي زُرَيْقٍ يُقَالُ لَهُ لَبِيدُ بْنُ الْأَعْصَمِ حَتَّى كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُخَيَّلُ إِلَيْهِ أَنَّهُ كَانَ يَفْعَلُ الشَّيْءَ وَمَا فَعَلَهُ حَتَّى إِذَا كَانَ ذَاتَ يَوْمٍ أَوْ ذَاتَ لَيْلَةٍ وَهُوَ عِنْدِي لَكِنَّهُ دَعَا وَدَعَا.

 

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah disihir oleh seorang lelaki dari Bani Zuraiq, dikatakan orang itu ialah Labid bin al-‘Asham. (Kesan sihir itu) memberikan khayalan kepada Rasulullah bahawa baginda melakukan sesuatu padahal baginda tidak melakukannya.
Sehinggalah pada satu hari atau malam ketika baginda berada di sisiku, baginda berterusan berdoa dan berdoa.

 

ثُمَّ قَالَ: يَا عَائِشَةُ أَشَعَرْتِ أَنَّ اللَّهَ أَفْتَانِي فِيمَا اسْتَفْتَيْتُهُ فِيهِ؟ أَتَانِي رَجُلَانِ فَقَعَدَ أَحَدُهُمَا عِنْدَ رَأْسِي وَالْآخَرُ عِنْدَ رِجْلَيَّ. فَقَالَ أَحَدُهُمَا لِصَاحِبِهِ: مَا وَجَعُ الرَّجُلِ؟ فَقَالَ: مَطْبُوبٌ. قَالَ: مَنْ طَبَّهُ؟ قَالَ: لَبِيدُ بْنُ الْأَعْصَمِ. قَالَ: فِي أَيِّ شَيْءٍ؟ قَالَ: فِي مُشْطٍ وَمُشَاطَةٍ وَجُفِّ طَلْعِ نَخْلَةٍ ذَكَرٍ. قَالَ: وَأَيْنَ هُوَ؟ قَالَ: فِي بِئْرِ ذَرْوَانَ.

 

Kemudian beliau bersabda: “Wahai ‘Aisyah, apakah kamu tahu bahawa Allah telah memberikanku jawapan tentang (masalah khayalan) yang aku tanyakan kepada-Nya? (Aku bermimpi) ada dua orang lelaki yang mendatangiku, salah seorang duduk dekat kepalaku dan seorang lagi dekat kakiku.

Lalu berkata salah seorang itu kepada temannya: “Apakah masalah orang ini?”
Dia menjawab: “Disihir.”
“Siapa menyihirnya?”
“ Labid bin al-‘Asham.”
“Dengan apa dia menyihir?”
“Dengan sikat dan rambut yang terjatuh ketika disikat serta mayang kurma jantan.”
“Di mana semuakah semua itu?”
“Dalam Perigi Dzarwan.”

فَأَتَاهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي نَاسٍ مِنْ أَصْحَابِهِ. فَجَاءَ فَقَال:َ يَا عَائِشَةُ كَأَنَّ مَاءَهَا نُقَاعَةُ الْحِنَّاءِ أَوْ كَأَنَّ رُءُوسَ نَخْلِهَا رُءُوسُ الشَّيَاطِينِ. قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَفَلَا اسْتَخْرَجْتَهُ؟ قَالَ: قَدْ عَافَانِي اللَّهُ فَكَرِهْتُ أَنْ أُثَوِّرَ عَلَى النَّاسِ فِيهِ شَرًّا. فَأَمَرَ بِهَا فَدُفِنَتْ.

 

Maka Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mendatangi perigi itu bersama sebahagian sahabatnya. Apabila kembali, baginda bersabda: “Wahai Aishah, seakan-akan airnya berwarna merah seperti perahan daun pacar atau seakan-akan hujung dahan pokok kurma, seperti kepala syaitan.”

‘Aisyah bertanya: “Wahai Rasulullah, tidakkah engkau meminta ia dikeluarkan?” Baginda menjawab: “Allah telah menyembuhkanku, maka aku tidak suka ia memberi pengaruh buruk kepada orang ramai.” Kemudian baginda memerintahkan agar perigi itu ditimbun. [Shahih al-Bukhari, no: 5321/5763]

 

---------------
Beberapa pengajaran yang dapat kita ambil:

 

[1] Sihir adalah sesuatu yang benar ada, namun semua sihir hanya akan berjaya jika ia diizinkan oleh Allah. Firman Allah:

Dan mereka itu (ahli sihir) tidak memberi mudharat dengan sihirnya kepada seorangpun kecuali dengan izin Allah. [al-Baqarah 2:102]

Justeru jika ada sihir yang berjaya, ia bukanlah kerana kehebatan ahli sihir tetapi kerana keizinan Allah, sesuai dengan kehendak-Nya dan hikmah-Nya.

 

[2] Allah mengizinkan Rasulullah kena sihir supaya kita dapat belajar daripada baginda cara-cara berubat daripada sihir itu.

Berdasarkan kisah ini, dapat kita pelajari bagaimana Rasulullah mengubati dirinya daripada sihir. Baginda hanya berdoa dan berterusan dalam berdoa sehingga Allah menunjukkan cara untuk baginda mengatasi sihir tersebut.

Dalam sebahagian riwayat, dikatakan bahawa baginda bersama para sahabat membaca surah al-Falaq dan al-Nas ketika di Perigi Dzarwan sehingga terbuka simpulan-simpulan sihir. [Fath al-Bari, syarah kepada hadis no: 5763]

 

[3] Oleh itu sesiapa yang terkena sihir atau mempercayai dirinya terkena sihir, hendaklah mendoakan kesembuhan daripada Allah . Hendaklah berdoa tanpa putus asa sebagaimana Rasulullah juga berterusan dalam berdoa kepada Allah.

Moga-moga Allah akan menyembuhkannya atau menunjukkan kepada orang yang boleh mengubati secara jujur dan benar. Sambil itu hendaklah meruqyah diri sendiri dengan membaca surah al-Falaq dan surah al-Nas dengan penuh kefahaman dan keyakinan.

Sihir bukanlah umpama sakit kepala yang dapat sembuh selepas 15 minit makan Panadol.

 

[4] Hadis ini juga menunjukkan bagaimana sihir berfungsi. Jin yang bersepakat dengan ahli sihir hanya dapat mengenali mangsanya melalui sisa tinggalan mangsa seperti rambut, kuku atau pakaiannya yang belum dibasuh.

Diriwayatkan bahawa Labid bin al-‘Asham menghantar seorang kanak-kanak Yahudi untuk berpura-pura menjadi pelayan Rasulullah. Kanak-kanak itu mengutip rambut Rasulullah yang jatuh ketika baginda menyikat rambut, atau mengambil rambut yang terlekat pada sikat Rasulullah. Rambut itu diserahkan kepada Labid untuk dia menjalankan sihirnya ke atas baginda.

 

[5] Ada yang menolak kisah Rasulullah pernah disihir dengan alasan jika ia benar berlaku, nescaya ada ajaran baginda yang salah/keliru ketika baginda dalam pengaruh sihir itu.

Alasan ini ditolak kerana pengaruh sihir yang baginda alami hanyalah khayalan bersama dengan isteri-isteri baginda, padahal baginda tidak bersama mereka. A’isyah menerangkannya dalam satu riwayat lain:

 

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سُحِرَ حَتَّى كَانَ يَرَى أَنَّهُ يَأْتِي النِّسَاءَ وَلَا يَأْتِيهِنَّ.

 

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah disihir sehingga baginda menganggap telah mendatangi isteri-isterinya padahal baginda tidak mendatangi mereka. [Shahih al-Bukhari, no: 5323/5765]

Oleh itu khayalan Rasulullah bukanlah sesuatu yang salah kerana apa yang baginda khayalkan hanyalah mendatangi isteri-isteri baginda yang sememangnya halal untuk baginda. Adapun selain itu, semua urusan harian Rasulullah adalah seperti biasa.

Apa yang lebih penting, baginda tidak melakukan sesuatu yang haram atau mensyari’atkan sesuatu yang salah mahupun baru. Justeru sihir tersebut tidak memberi apa-apa pengaruh negatif kepada peranan baginda sebagai seorang Rasul Allah.

 

29 July, 2016