Firman Allah s.w.t.,

فَمَن كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صَالِحًا وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا

Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah dia mengerjakan amal soleh dan janganlah dia mempersekutukan seorangpun dalam beribadah kepada Tuhannya. (al-Kahf 18:110)

---------

Ayat ini menerangkan salah satu tujuan utama seorang Muslim, iaitu bercita-cita atau berharap akan dapat berjumpa dengan Allah pada Hari Akhirat kelak.

Bagi mencapai cita-cita ini, hendaklah dia beramal soleh dan tidak menyekutukan Allah dalam ibadahnya.

Contoh lazim menyekutukan Allah dalam ibadah ialah riya' dan sum'ah.

Riya' ialah memperlihatkan ibadahnya agar orang lain memujinya.

Sum'ah ialah memperdengarkan (dengan cara membicarakan) ibadahnya agar orang lain memujinya.

Contoh lain menyekutukan Allah dalam ibadah ialah menjadikan ustaz dan ustazah sumber yang mensyari'atkan sesuatu ibadah.

Padahal hak mensyari'atkan sesuatu ibadah hanyalah Allah.

Oleh itu marilah kita memastikan ibadah kita hanya daripada Allah dan hanya untuk Allah.