"Nabi tak buat tetapi Nabi tak kata tak boleh buat!"

Apakah alasan seperti di atas boleh diterima sebagai hujah agama untuk menokok tambah ibadah? Marilah kita semak hadis berikut.

 

Anas bin Malik radhiallahu 'anh berkata,

جَاءَ ثَلَاثَةُ رَهْطٍ إِلَى بُيُوتِ أَزْوَاجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْأَلُونَ عَنْ عِبَادَةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمَّا أُخْبِرُوا كَأَنَّهُمْ تَقَالُّوهَا.

Ada tiga orang mendatangi rumah isteri-isteri Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan bertanya tentang ibadah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Maka tatkala dikhabarkan kepada mereka tentang (ibadah baginda), mereka merasakan ia hanyalah sedikit.

 

فَقَالُوا وَأَيْنَ نَحْنُ مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَا تَأَخَّرَ.

Mereka berkata, “Di manakah kita jika dibandingkan dengan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, kerana sudah diampunkan untuk baginda dosa-dosa yang telah lalu dan juga yang akan datang?”

 

قَالَ أَحَدُهُمْ: أَمَّا أَنَا فَإِنِّي أُصَلِّي اللَّيْلَ أَبَدًا: وَقَالَ آخَرُ: أَنَا أَصُومُ الدَّهْرَ وَلَا أُفْطِرُ: وَقَالَ آخَرُ: أَنَا أَعْتَزِلُ النِّسَاءَ فَلَا أَتَزَوَّجُ أَبَدًا.

Berkata salah seorang daripada mereka, “Adapun aku, maka sesungguhnya aku akan solat malam sepanjang malam.” Berkata yang lain, “Aku akan berpuasa sepanjang tahun dan aku tidak akan berbuka.” Dan berkata yang lain, “Aku akan menjauhi wanita dan aku tidak akan menikah selama-lamanya.”

فَجَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَيْهِمْ فَقَالَ: أَنْتُمْ الَّذِينَ قُلْتُمْ كَذَا وَكَذَا؟ أَمَا وَاللَّهِ إِنِّي لَأَخْشَاكُمْ لِلَّهِ وَأَتْقَاكُمْ لَهُ لَكِنِّي أَصُومُ وَأُفْطِرُ وَأُصَلِّي وَأَرْقُدُ وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي.

Maka datanglah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kepada mereka lalu bertanya, “Kaliankah yang berkata begini dan begitu? Demi Allah! Sesungguhnya aku adalah orang yang paling takut kepada Allah di antara kalian dan aku juga yang paling bertaqwa kepada-Nya. Akan tetapi aku berpuasa dan juga berbuka, aku shalat dan juga tidur serta aku menikahi wanita. Sesiapa yang membenci sunnahku, maka dia bukanlah daripada golonganku.” [Shahih al-Bukhari, hadis no.: 4675/5063]

 

Sebahagian orang masa kini, mereka suka menokok tambah ibadah itu dan ini dengan alasan, “Nabi tak buat tetapi Nabi tak kata tak boleh buat!"

Maka hadis di atas menjadi hujah ke atas alasan tersebut.

Tiga sahabat tersebut, mereka juga ingin menokok tambah ibadah. Niat mereka baik. Mereka berpendapat ibadah Nabi hanya sedikit kerana baginda orang yang telah diampunkan dosa-dosanya dahulu dan yang akan datang. Mereka ingin menambah ibadah yang tidak dilakukan oleh Nabi tetapi tidak juga dilarang oleh Nabi. Solat sepanjang malam misalnya, ia tidak dilakukan oleh Nabi dan tidak pula dilarang oleh Nabi.

Akan tetapi niat baik mereka dibantah oleh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Bahkan baginda menganggap niat baik mereka itu sebagai satu bentuk kebencian ke atas sunnah baginda.

Baginda bersabda, “Demi Allah! Sesungguhnya aku adalah orang yang paling takut kepada Allah di antara kalian dan aku juga yang paling bertaqwa kepada-Nya. Akan tetapi aku berpuasa dan juga berbuka, aku shalat dan juga tidur serta aku menikahi wanita. Sesiapa yang membenci sunnahku, maka dia bukanlah daripada golonganku.”

Kepada orang-orang yang suka menokok tambah ibadah atas alasan “Nabi tak buat tetapi Nabi tak kata tak boleh buat!", apakah kalian lebih takut dan lebih bertaqwa kepada Allah berbanding Nabi shallallahu 'alaihi wasallam?

Tidakkah kalian takut kepada ancaman, “Sesiapa yang membenci sunnahku, maka dia bukanlah daripada golonganku.” Ini kerana, jika seseorang itu bukan daripada golongan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, maka dia berada pada golongan yang mana?

Oleh itu marilah kita belajar sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dalam beribadah dan mencukupkan diri dengannya. Tidak perlu menokok tambah ibadah itu dan ini kerana ia hanyalah baik pada ukuran diri sendiri, tidak pada ukuran Allah dan Rasul-Nya. Ia adalah sunnah diri sendiri, bukan sunnah Rasulullah.