Tazkirah hari ini, orang-orang bertanya,

 

يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الْإِسْلَامِ أَفْضَلُ قَالَ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

"Wahai Rasulullah, bagaimanakah Islam yang terbaik?"

Baginda menjawab, "Sesiapa yang orang-orang Islam lain selamat daripada lidah dan tangannya." [Shahih al-Bukhari, no.: 10]

---------

Orang-orang Islam tentu mengucapkan syahadah, melaksanakan solat, berpuasa pada bulan Ramadhan, membayar zakat harta dan berusaha pergi haji.

Semua ini membentuk ciri minima seorang Muslim.

Namun apakah ciri-ciri yang menjadikan seseorang itu Muslim itu terbaik?

Hadis di atas menerangkannya, iaitu "Sesiapa yang orang-orang Islam lain selamat daripada lidah dan tangannya."

Maksudnya, seorang Muslim yang terbaik tidak akan keluar dari mulutnya fitnah, tuduhan dan gossip ke atas Muslim yang lain.

Seorang Muslim yang terbaik juga tidak akan menggunakan tangannya untuk bertindak zalim ke atas Muslim yang lain.

Perkara ini hendaklah diperhatikan kerana sebahagian Muslim memang istiqamah solat dan puasa, namun mulutnya juga istiqamah membuat fitnah, tudahan dan gossip sesama Muslim yang lain.

Bahkan dengan kemajuan teknologi masa kini, jari-jemarinya juga amat istiqamah menaip fitnah, tudahan dan gossip, lalu memanjangkannya (forward/share) ke sana sini.

Moga Allah membantu kita menjadi Muslim terbaik.