Ayuh kita memahami penciptaan dan cabaran yang dihadapi oleh kaum lelaki.

Abu Hurairah berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda,

 

إِذَا دَعَا الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهِ فَأَبَتْ أَنْ تَجِيءَ لَعَنَتْهَا الْمَلَائِكَةُ حَتَّى تُصْبِحَ.

Apabila suami mengajak isterinya ke tempat tidur (untuk hubungan seks) namun dia (isteri) enggan datang, para malaikat melaknatnya hingga ke Subuh. [Shahih al-Bukhari, no.: 4794/5193]

Abdullah bin Abi Aufa berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda,

 

وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَا تُؤَدِّي الْمَرْأَةُ حَقَّ رَبِّهَا حَتَّى تُؤَدِّيَ حَقَّ زَوْجِهَا وَلَوْ سَأَلَهَا نَفْسَهَا وَهِيَ عَلَى قَتَبٍ لَمْ تَمْنَعْهُ.

Demi Dzat yang nyawa Muhammad yang berada di Tangan-Nya, tidaklah seorang isteri menunaikan hak Tuhannya sehinggalah dia menunaikan hak suaminya, meskipun suaminya meminta dirinya (untuk hubungan seks) sementara dia berada di atas belakang unta, maka dia tetap tidak boleh menolak. [Shahih Sunan Ibn Majah, no. 1843/1853]

Kedua-dua hadis ini menimbulkan kemusykilan, bahkan mungkin saja menimbulkan bantahan daripada para pejuang hak wanita. Bagi memahami hadis-hadis ini dan lain-lain yang seumpama, ada baiknya kita memahami terlebih dahulu bagaimana Allah Subhanahu wa Ta'ala mencipta lelaki.

Allah s.w.t. berfirman,

 

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنْطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالْأَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ذَلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَاللَّهُ عِنْدَهُ حُسْنُ الْمَآبِ.

Dijadikan indah pada manusia kecintaan kepada apa yang diingini oleh syahwat, iaitu WANITA-WANITA, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga). [‘Ali Imran 3:14]

 

Sabda Rasulullah s.a.w.,

 

مَا تَرَكْتُ بَعْدِي فِتْنَةً أَضَرَّ عَلَى الرِّجَالِ مِنْ النِّسَاءِ.

Aku tidak meninggalkan satu fitnah pun yang lebih membahayakan para lelaki selain fitnah wanita. [Shahih al-Bukhari no.: 4706/5096]

 

Berdasarkan ayat dan hadis di atas, hendaklah diketahui bahawa Allah telah mencipta lelaki dengan nafsu seks yang tinggi terhadap wanita. Wanita juga memiliki nafsu seks terhadap lelaki, akan tetapi ia tidaklah setinggi nafsu lelaki ke atas wanita.

Meskipun seorang lelaki bersungguh-sungguh mengawal nafsunya, kehidupan pada zaman kini menyebabkan dia tetap mudah terdedah kepada aurat wanita. Sejak dia keluar rumah pada awal pagi, di pejabat, di kedai makan sehinggalah dalam perjalanan balik ke rumah, akan tetap ada pemandangan dan interaksi yang menaikkan nafsu seksnya.

Justeru atas sebab penciptaan ini dan cabaran kehidupan zaman kini, lelaki sangat memerlukan isteri yang dapat dia memuaskan nafsu seksnya secara halal.

Jika lelaki tidak dapat memuaskan nafsu seksnya secara halal, dibimbangi suami akan memuaskannya dengan cara haram seperti onani (masturbation), poligami secara tersembunyi atau zina.

Kebimbangan ini ditunjuki oleh sebuah hadis di mana Rasulullah s.a.w. bersabda,

 

وَفِي بُضْعِ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيَأتِي أَحَدُنَا شَهْوَتَهُ وَيَكُونُ لَهُ فِيهَا أَجْرٌ؟ قَالَ: أَرَأَيْتُمْ لَوْ وَضَعَهَا فِي حَرَامٍ أَكَانَ عَلَيْهِ فِيهَا وِزْرٌ فَكَذَلِكَ إِذَا وَضَعَهَا فِي الْحَلَالِ كَانَ لَهُ أَجْرًا.

“Dan dalam hubungan seks seseorang kalian terdapat nilai sedekah.” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Adakah dalam rangka salah seorang kami memuaskan nafsu syahwatnya, baginya dalam perbuatan itu ada ganjaran pahala?”

Rasulullah menjawab: “Tidakkah kalian perhatikan jika dia melakukan (seks) pada sesuatu yang haram (seperti onani atau zina), dia akan mendapat dosa? Maka demikianlah jika dia melakukan (seks) ke atas apa yang halal baginya, baginya ganjaran pahala.” [Shahih Muslim, no.: 1674/1006]

Apabila seorang isteri memahami penciptaan lelaki dan cabaran yang dihadapi oleh suaminya seharian di luar rumah, sudah tentu isteri tidak akan menolak ajakan suami untuk berhubungan seks. Malah isteri sendiri yang akan bersiap sedia dan datang sebelum diajak oleh suami.

 

Beberapa poin tambahan:

  • Malaikat adalah makhluk yang bijak. Malaikat tidak akan melaknat isteri yang menolak ajakan suami jika dia memiliki sebab yang munasabah seperti sedang sakit, kepenatan atau menjaga anak yang sakit.
  • “Seks di atas belakang unta” bererti isteri tetap memenuhi ajakan suami di mana jua tanpa terhad kepada katil di dalam bilik tidur dalam rumah sendiri.
  • Isteri juga memiliki hak untuk mendapat kepuasan seks daripada suaminya berdasarkan keumuman firman Allah: Dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajibannya menurut cara yang ma'ruf. Akan tetapi para suami mempunyai satu tingkatan kelebihan daripada isterinya. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. [al-Baqarah 2:228]
  • Kedua-dua hadis hanya ditujukan kepada isteri kerana lazimnya isteri lebih kerap menolak ajakan suami.