Apakah Tauhid al-Uluhiyah?
Ia adalah keyakinan bahawa hanya Allah:
(1) Yang mensyari'atkan sesuatu ibadah.
(2) Yang ditujukan sesuatu ibadah.
Dalam erti kata lain, ibadah itu hanya datang daripada Allah dan kembali kepada Allah.
Apakah dalil Tauhid al-Uluhiyah?
Antaranya ialah apa yang biasa kita baca dalam surah al-Fatihah,
إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan.
Apakah manfaat Tauhid al-Ulihiyah?
Pegangan teguh kepada Tauhid al-Uluhiyah akan menyebabkan kita tidak akan melakukan apa-apa ibadah melainkan ia disyariatkan oleh Allah melalui al-Qur'an dan Sunnah Nabi-Nya Muhammad s.a.w..
Seterusnya, kita tidak akan beribadah kepada sekian wali-wali dan ahli kubur mahupun beribadah demi meraih pujian manusia.
Keyakinan yang rapuh atau kejahilan dalam Tauhid al-Uluhiyah telah menyebabkan sebahagian umat Islam menjadikan tok guru, tuan syaikh dan kebiasaan masyarakat sebagai "tuhan" yang mensyari'atkan sesuatu ibadah.