Abu Hurairah radhiallahu 'anh berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda:

رَغِمَ أَنْفُهُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُهُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُهُ!

“Sungguh hina, sungguh hina, sungguh hina!”

Baginda ditanya: “Siapakah wahai Rasulullah (yang hina itu)?” Baginda menjawab:

مَنْ أَدْرَكَ وَالِدَيْهِ عِنْدَ الْكِبَرِ أَحَدَهُمَا أَوْ كِلَيْهِمَا ثُمَّ لَمْ يَدْخُلْ الْجَنَّةَ.

Sesiapa yang mendapati orang tuanya dalam keadaan tua, sama ada salah seorang atau kedua-duanya, kemudian dia tidak memasuki syurga.

[Shahih Muslim,no.: 4627/2551]

 

Ibubapa yang sudah tua sangat memerlukan anak-anak mereka. Ini kerana ketika umur tua, ibubapa lazimnya memerlukan anak-anak untuk merawat sesuatu penyakit yang mereka hadapi. Seperti membawa ke hospital berjumpa doktor, memberi makan ubat, menyuap nasi, menukar lampin dewasa, memandikan.... dan banyak lagi.

Anak-anak pula pada masa ini lazimnya sudah berkeluarga dan sibuk dengan anak-anak sendiri yang masih kecil.

Kadang wujud pula suami yang menggunakan kuasa veto melarang isteri daripada menjaga ibubapanya yang sudah tua.

Oleh itu sungguhlah mulia anak-anak yang dapat membahagikan masanya antara menjaga keluarga sendiri dan menjaga ibubapanya yang sudah tua.

Sungguhlah mulia para suami yang menganjurkan dan memudahkan isterinya meluangkan masa menjaga ibubapanya (ibubapa isteri).

Sungguhlah hina anak-anak yang membiarkan ibubapa mereka yang sudah tua. Sungguhlah hina suami yang melarang isteri daripada menjaga ibubapanya.

Apabila Nabi bersabda "Sesiapa yang mendapati orang tuanya dalam keadaan tua, sama ada salah seorang atau kedua-duanya, kemudian dia tidak memasuki syurga", ia seolah-olah memberi gambaran ibubapa yang tua itu sedang terbaring di hadapan pintu syurga.

Ibubapa akan membuka pintu syurga kepada anak yang merawatnya, menutup pintu syurga bagi anak yang mengabaikan mereka.