Keluhan lazim poligami.

Isteri: Saya bersusah payah menanggung hampir 70% belanja isi keluarga, tiba-tiba suami nak kahwin lagi.... cis!

Menyesal aku!!

 

Ulasan saya:

Tanggungjawab menafkahi keluarga terletak pada bahu suami. Apabila isteri membantu suami dalam urusan nafkah keluarga, maka dia telah melakukan kebaikan dan amal soleh yang besar.

Sabda Rasulullah s.a.w.,

 

دِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

وَدِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ فِي رَقَبَةٍ

وَدِينَارٌ تَصَدَّقْتَ بِهِ عَلَى مِسْكِينٍ

وَدِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ عَلَى أَهْلِكَ

أَعْظَمُهَا أَجْرًا الَّذِي أَنْفَقْتَهُ عَلَى أَهْلِكَ.

Dinar (harta) yang kamu belanjakan di jalan Allah, dinar yang kamu berikan kepada seorang budak wanita, dinar yang kamu sedekahkan kepada orang miskin serta dinar yang kamu nafkahkan kepada keluargamu. Maka yang paling besar ganjaran pahalanya adalah yang kamu nafkahkan kepada keluargamu.

[Shahih Muslim no.: 1661/995]

 

Namun Allah akan menguji sama ada sesuatu amal soleh yang kita lakukan, apakah ia ikhlas kepada-Nya atau kepada mengharapkan reda manusia (suami)?

Allah Rabbul 'alamin, Yang mengatur alam ini, akan mengatur sesuatu peristiwa yang menguji keikhlasan orang yang beramal soleh.

Daripada ujian tersebut akan terserlah kepada orang itu sendiri: apakah dia beramal soleh kerana Allah atau kerana manusia (suami).

Orang yang positif akan mengambil iktibar daripada ujian tersebut dan membetulkan niat dan tujuan dia beramal soleh.

Justeru isteri hendaklah memandang suami sebagai SARANA untuk dia beramal soleh, atas tujuan mendapatkan reda Allah, pahala dan syurga-Nya.

Isteri JANGAN jadikan suami tujuan dia beramal soleh.

Amal soleh itu tidak terhad kepada membantu ekonomi keluarga, tetapi pelbagai lagi yang lazim dilakukan oleh isteri seperti menjaga kecantikan badan, berhias untuk suami, melayan kehendak suami dan menguruskan rumah untuk keselesaan suami.