Pernah merancang atau melakukan satu perkara mungkar lalu ditimpa musibah?

Bergembiralah kerana itu tanda Allah menginginkan kebaikan kepada kamu, maka ambillah iktibar dan jauhi perkara mungkar tersebut.

Berbeza dengan orang yang Allah biarkan dia berterusan dalam perkara mungkar dan hanya akan menghukum ketika di Hari Akhirat kelak.

Marilah kita menyemak hadis berikut daripada ‘Abdullah bin Mughaffal:

Bahawa seorang lelaki menemui seorang wanita yang pada masa jahiliyyah adalah seorang pelacur. Maka lelaki itu bercanda (flirting) dengannya sehingga menghulurkan tangan (untuk menyentuh)nya.

Wanita itu berkata, “Tahanlah (tangan kamu)! Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla telah menghilangkan kesyirikan (dalam lafaz lain: menghilangkan zaman jahiliyyah) dan mendatangkan Islam!” (ertinya dia sudah bertaubat dari kerjaya melacur masa lalu dan sudah memeluk Islam).

Maka lelaki itu beralih pergi, (sambil berjalan) mukanya melanggar tembok sehingga cedera (mungkin kerana dia masih menoleh ke belakang melihat wanita tersebut).

Maka lelaki itu mendatangi Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan mengkhabarkan apa yang berlaku. Maka baginda bersabda:

أَنْتَ عَبْدٌ أَرَادَ اللهُ بِكَ خَيْرًا .

إِذَا أَرَادَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ بِعَبْدٍ خَيْرًا عَجَّلَ لَهُ عُقُوبَةَ ذَنْبِهِ،

وَإِذَا أَرَادَ بِعَبْدٍ شَرًّا أَمْسَكَ عَلَيْهِ بِذَنْبِهِ حَتَّى يُوَافِى بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَأَنَّهُ عَيْرٌ.

“Anda seorang yang Allah kehendaki kebaikan untuk anda.

Apabila Allah ‘Azza wa Jalla menghendaki kebaikan bagi seorang hamba, maka akan disegerakan hukuman dosa-dosanya (di dunia).

Sementara jika dikehendaki keburukan bagi seorang hamba, ditangguhkan ke atasnya dosa-dosanya sehinggalah dibalas pada Hari Kiamat.”

[Musnad Ahmad, hadis no.: 16204/16806 dan dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arna’uth dan rakan-rakannya]