Tazkirah hari ini, sabda Rasulullah s.a.w.,

ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٌ لَا شَكَّ فِيهِنَّ دَعْوَةُ الْمَظْلُومِ وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ وَدَعْوَةُ الْوَالِدِ عَلَى وَلَدِهِ.

Tiga suasana di mana doa adalah mustajab tanpa keraguan padanya, (1) doa orang yang dizalimi, (2) doa orang yang bermusafir dan (3) doa ibu dan bapa ke atas anaknya.

[Shahih Sunan al-Tirmizi, no.: 1828/1905]

 

Ulasan secara ringkas:

[1] Orang yang dizalimi, dia boleh berdoa ke atas orang yang menzaliminya. Di sini dia miliki dua pilihan, sama ada:

(a) Berdoa agar Allah menimpa yang semisal ke atas orang yang menzaliminya.

Perkataan "semisal" atau "seumpama" adalah penting kerana kita tidak mahu orang yang dizalimi bertindak lebih zalim dengan mendoakan pelbagai kemudaratan besar ke atas orang yang menzaliminya.

(b) Berdoa agar Allah mengubah orang itu agar tidak lagi berbuat zalim sama ada ke atas dirinya atau sesiapa lain. Ini adalah pillihan yang lebih utama lagi mulia.

 

[2] Apabila bermusafir, manfaatkan untuk banyak berdoa.

Apabila ada ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat yang bermusafir, titipkan kepada dia untuk mendoakan anda dengan sekian-sekian doa. Musafir di sini bermaksud ke mana jua, jangan dibataskan kepada musafir haji dan umrah sahaja. Jika mereka (ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat) ke Genting Highland atau Las Vegas untuk berjudi, maka titipkan doa agar Allah berikan kekuatan kepada mereka untuk menjauhi permainan judi 🤣

 

[3] Anak-anak apabila sudah mencapai usia belasan tahun dan ke atas, berasa tidak perlukan lagi kepada ibu dan bapa mereka.

Padahal di sisi ibu dan bapa mereka ada satu perkara yang amat bernilai, iaitu kemustajaban doa. Oleh itu manfaatkan ibu dan bapa dengan meminta mereka doakan apa jua seperti cabaran pembelajaran, kerjaya, perkahwinan, rumahtangga dan kewangan.

Perhatikan bahawa dalam hadis di atas, Rasulullah tidak menyebut "doa ibu dan bapa yang SOLEH...."

Ini saya tekankan kerana terdapat sebahagian anak-anak yang memandang rendah kepada ibu dan bapa mereka yang "biasa-biasa saja" kesolehannya sehingga dirasakan tidak layak untuk dititipkan doa.

Yang benar doa ibu dan bapa tetap mustajab tanpa mengira kadar kesolehan mereka.