Soalan:

Apakah satu kesalahan dalam Islam untuk kencing berdiri?

Kamalia Kefli, Kota Kinabalu, Sabah.

 

Jawapan: Etika yang ditekankan dalam Islam ialah kencing secara duduk. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda: Tiga hal termasuk perangai yang kasar: iaitu (1) seorang lelaki yang menyapu wajahnya dari debu tanah sebelum selesai solat, (2) meniup debu tanah di tempat wajahnya (tempat untuk bersujud) ketika sedang solat dan (3) apabila kencing, dia melakukannya sambil berdiri. [Riwayat al-Thabarani dalam al-Ausath, no: 5998 dengan sanad yang sahih]

Akan tetapi jika keadaan tidak sesuai untuk kencing secara duduk, dibolehkan kencing secara berdiri. Seorang sahabat yang bernama Hudzaifah menceritakan: Adalah aku bersama Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, baginda membuang air kecil berhampiran kawasan pembuangan sampah sebuah kabilah sambil berdiri. [Shahih Muslim, no: 402/273]

Tujuan kencing secara duduk ialah bagi mengelakkan percikan kencing daripada terkena diri sendiri atau pakaian. Jika keadaan menyebabkan perlu kencing secara berdiri, hendaklah menjaga diri atau membersihkan diri daripada percikan air kencing.