Soalan:

Apakah hukumnya, solat berjemaah tetapi kedudukan saf berasingan dan berjarak sedikit?

Akma, Hulu Terengganu.

 

Jawapan:

Setiap ibadah dalam Islam ada syarat-syarat dan adab-adabnya. Di antara adab solat berjamaah adalah meluruskan saf dengan setiap orang berdiri rapat sehingga tidak ada ruang di antara mereka. Rasulullah telah mengajar adab ini:

Tegakkanlah saf-saf, sejajarkanlah antara bahu-bahu, tutuplah celah-celah dan lemah lembutlah terhadap kedua tangan saudara kalian. Janganlah kalian membiarkan celah-celah itu untuk syaitan, sesiapa yang menyambungkan saf maka Allah akan menyambungnya dan sesiapa yang memutuskan saf maka Allah akan memutusnya. [Shahih Sunan Abu Daud, no: 570/666]

Berdasarkan hadis ini hendaklah kita berdiri tegak dalam saf, bukan membongkok seperti orang yang lemah. Sejajarkan antara bahu-bahu, ertinya luruskan bahu-bahu sehingga semuanya selari dan sebaris. Selain itu hendaklah juga dirapatkan dan diluruskan antara kaki-kaki sebagaimana jelas Anas bin Malik dalam hadis berikut: Dan setiap orang dari kami merapatkan bahunya kepada bahu temannya dan kakinya kepada kaki temannya. [Shahih al-Bukhari, no: 683/725]

Hendaklah semua berdiri rapat di dalam saf sehingga tiada celah atau ruang yang tertinggal. Bahkan tapak kaki juga lurus menghadap kiblat supaya ia rapat seluruhnya dengan orang di sebelah. Jangan berdiri kengkang kerana itu bererti ada celah di antara tapak kaki jemaah. Mana-mana celah yang tertinggal, syaitan akan masuk mencelah dan mengganggu orang yang sedang solat itu.

Meskipun semuanya berdiri rapat, hendaklah tetap membuka ruang jika ada orang lain yang baru hendak masuk di celah saf. Inilah maksud sabda Rasulullah lemah lembutlah terhadap kedua tangan saudara kalian sebagaimana jelas Imam Abu Daud setelah meriwayatkan hadis di atas.

Sesiapa yang berusaha menyambungkan saf, yakni meluruskan dan merapatkannya, Allah akan menyambungkannya kepada Rahmat-Nya. Sementara sesiapa yang berusaha untuk memutuskan saf, yakni sengaja menjadikannya bengkok atau menjarakkannya, Allah akan memutuskannya dari Rahmat-Nya.

Adapun dari sudut hukum, solat orang yang safnya bengkok, berasingan atau berjarak adalah sah. Akan tetapi keutamaan serta ganjaran dia bersolat berjamaah akan berkurang selari dengan kadar dia membengkokkan atau menjarakkan safnya. Tidak ketinggalan, dia akan terputus dari Rahmat Allah dan ini adalah satu kerugian yang tidak ternilai.