Kesembilan: Daripada Suami Kepada Suami

Dalam edisi cetakan pertama mukasurat 70, saya menyatakan:

Soalan Lazim: Adakah suami menanggung dosa ahli keluarga yang tidak mempraktikkan perintah dan larangan agama?

Jawapannya bergantung kepada dua keadaan. Pertama, jika suami mengabaikan penerapan nilai-nilai agama dalam keluarga, tidak memberi tunjuk ajar yang berhikmah dan bertahap-tahap serta tidak mempraktikkannya untuk dijadikan contoh yang baik, maka suami menanggung dosa ahli keluarganya.

Kedua, jika suami menerapkan nilai-nilai agama dalam keluarga, berterusan memberi tunjuk ajar secara hikmah lagi bertahap-tahap serta mempraktikkannya, maka suami tidak menanggung dosa ahli keluarganya. Ini kerana dia telah melaksanakan tanggungjawabnya semampu mungkin.

 

Pembetulan:

Soalan Lazim: Adakah suami menanggung dosa ahli keluarga yang tidak mempraktikkan perintah dan larangan agama?

Jawapannya tidak kerana dalam Islam ada satu asas di mana seseorang itu tidak menanggung dosa orang lain. Masing-masing mendapat dosa atau pahala berdasarkan apa yang dia usahakan sendiri. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala,

أَلَّا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى (38) وَأَنْ لَيْسَ لِلْإِنْسَانِ إِلَّا مَا سَعَى (39)

Ketahuilah (bahawa) seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain dan bahawasanya seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang telah diusahakannya. [al-Najm 53:38-39]

Jika isteri tidak mendirikan solat misalnya, maka isterilah yang menanggung dosa tidak solat. Suami hanya akan berdosa jika dia tidak mendidik mahupun menegur isterinya yang tidak solat. Suami berdosa kerana tidak mempraktikkan ayat keenam surah al-Tahrim.

Terima kasih kepada Dr. Farhani Azizan atas pembetulan ini.