Kritik Ilmiah Atas Buku SKM, ms 527 oleh Ustaz Mohd Masri Mohd Ramli.


Isu: Benarkah Imam-Imam Terdahulu Tidak Membezakan Poligami dan Monogami?

 

Jawapan:

Kesimpulan penulis SKM adalah salah. Beliau menyatakan imam terdahulu TIDAK membezakan monogami dan poligami.

Hakikatnya, mereka membezakan. Lihatlah bukti di bawah:

Imam al-Mawardi yang merupakan seorang ulama mazhab Syafie menyebutkan dalam Al-Hawi Al-Kabir, Kitab an-Nafaqaat.

 

:فَصْلٌ : فَإِذَا ثَبَتَ أَنَّ نَفَقَاتِ الزَّوْجَاتِ وَاجِبَةٌ فَقَدْ أَبَاحَ اللَّهُ تَعَالَى أَنْ يَنْكِحَ أَرْبَعًا بِقَوْلِهِ


[3:مَثْنَى وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ [ النِّسَاءِ


:وَنَدَبَهُ إِلَى الِاقْتِصَارِ عَلَى وَاحِدَةٍ بِقَوْلِهِ


فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً وَذَهَبَ ابْنُ دَاوُدَ وَطَائِفَةٌ مِنْ أَهْلِ الظَّاهِرِ إِلَى أَنَّ الْأَوْلَى أَنْ يَسْتَكْمِلَ


نِكَاحَ الْأَرْبَعِ إِذَا قَدَرَ عَلَى الْقِيَامِ بِهِنَّ وَلَا يَقْتَصِرَ عَلَى وَاحِدَةٍ ؛


لِأَنَّ النَّبِيَّ {صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ} لَمْ يَقْتَصِرْ عَلَيْهَا

 

Fasal: Apabila telah jelas bahawa hukum memberikan nafkah kepada isteri-isteri adalah wajib. Sesungguhnya Allah telah membenarkan untuk seorang lelaki berkahwin empat dengan firmanNya: (Kahwinlah) dua, tiga, dan empat. Dan Allah menggalakkan untuk berkahwin satu sahaja dengan firmannya: Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka [kahwinilah] seorang sahaja. Imam Ibn Daud dan sekelompok ulama’ Zahiri berpendapat bahawa yang lebih baik ialah menyempurnakan pernikahan sehingga empat isteri seandainya seorang suami itu berkemampuan untuk menyara mereka, dan tidak mencukupkan sekadar seorang isteri sahaja kerana nabi sallallahu ‘alaihi wasallam tidak mencukupkan dirinya untuk sekadar mempunyai seorang isteri.

 

وَاسْتَحَبَّ الشَّافِعِيُّ أَنْ يَقْتَصِرَ عَلَى وَاحِدَةٍ وَإِنْ أُبِيحَ لَهُ أَكْثَرُ


،لِيَأْمَنَ الْجَوْرَ بِالْمَيْلِ إِلَى بَعْضِهِنَّ أَوْ بِالْعَجْزِ عَنْ نَفَقَاتِهِنَّ


وَأَوْلَى الْمَذْهَبَيْنِ
عِنْدِي اعْتِبَارُ حَالِ الزَّوْجِ ؛


،فَإِنْ كَانَ مِمَّنْ تُقْنِعُهُ الْوَاحِدَةُ فَالْأَوْلَى أَنْ لَا يَزِيدَ عَلَيْهَا


وَإِنْ كَانَ مِمَّنْ لَا تُقْنِعُهُ الْوَاحِدَةُ لِقُوَّةِ شَهْوَتِهِ وَكَثْرَةِ 
جِمَاعِهِ


فَالْأَوْلَى أَنْ يَنْتَهِيَ إِلَى الْعَدَدِ الْمُقْنِعِ مِنَ اثْنَتَيْنِ أَوْ ثَلَاثٍ أَوْ أَرْبَعٍ


لِيَكُونَ أَكْنَى لِبَصَرِهِ وَأَعَفَّ لِفَرْجِهِ ، وَاللَّهُ أَعْلَمُ

 

Imam al-Syafie pula berpendapat bahawa digalakkan untuk cukup dengan seorang isteri sahaja walaupun dia boleh untuk mempunyai lebih daripada seorang isteri. Ini untuk mengelakkan berlakunya ketidakadilan apabila seorang suami cenderung kepada sebahagian isteri atau dia kurang mampu menafkahi kesemua isterinya. Daripada kedua pendapat ini, yang paling baik di sisi aku (iaitu di sisi Imam al-Mawardi) ialah ia bergantung kepada situasi si suami. Jika seorang isteri itu sudah cukup untuk dirinya, maka lebih baik untuk dia tidak menambah isteri. Jika seorang isteri tidak cukup untuk dirinya kerana kuatnya nafsu dia, kerapnya dia berjima’, maka lebih baik dia berkahwin pada jumlah yang mencukupi daripada dua, tiga atau empat kerana itu akan lebih menundukkan pandangannya dan menjaga maruah kemaluannya.

Kesimpulan perkataan imam al-Mawardi:

Ulama terpecah kepada tiga kelompok:

Pertama: Monogami lebih afdhal. Ini pendapat mazhab Syafie. 
Kedua: Poligami lebih afdhal. Ini pegangan mazhab Zahiri.
Ketiga: Ia bergantung kepada keadaan suami. Ini pendapat Imam al-Mawardi.

Mereka yang berpegang pendapat pertama berkata hukum afdhal monogami akan berubah kepada kurang afdhal apabila si suami itu ada keperluan untuk mempunyai isteri ramai.

Mereka yang berpegang kepada pendapat kedua pula menyatakan hukum afdhal itu hanya untuk suami yang mampu dan adil, jika tidak hendaklah mencukupkan diri dengan seorang isteri.

Lihat pula pandangan ulama mazhab Hanbali di bawah:

Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi menukilkan dalam al-Syarh al-Kabir, 

والاولى ان لا يزيد على امرأة واحدة ذكره في المحرر لقول الله تعالى


(فان خفتم ألا تعدلوا فواحدة) ولقوله سبحانه


(ولن تستطيعوا ان تعدلوا بين النساء ولو حرصتم)


Yang lebih utama ialah untuk tidak mengahwini lebih daripada seorang isteri. Beliau menyebutkannya dalam al-Muharrar. Ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud: Jika kalian takut tidak dapat berlaku adil, maka kahwinilah seorang sahaja. Begitu juga firman Allah: Kalian tidak akan mampu berlaku adil antara isteri-isteri kalian walaupun kalian berusaha.

Imam di atas merumuskan monogami lebih afdhal.

Kesimpulan: Dakwaan penulis SKM bahawa ulama-ulama terdahulu tidak membezakan monogami dan poligami adalah silap. Mereka memBEZAkannya. Penulis SKM telah SILAP dalam kesimpulan pada muka surat 527.

Kesimpulannya: Saya berharap agar untuk cetakan seterusnya SKM pembetulan fakta ini perlu dilakukan.