Firman Allah s.w.t.:

 

وَمَنْ يَعْشُ عَنْ ذِكْرِ الرَّحْمَنِ نُقَيِّضْ لَهُ شَيْطَانًا فَهُوَ لَهُ قَرِينٌ (36) وَإِنَّهُمْ لَيَصُدُّونَهُمْ عَنِ السَّبِيلِ وَيَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ مُهْتَدُونَ (37).

 

Dan sesiapa yang membutakan diri (tidak mengendahkan) pengajaran al-Quran (yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya syaitan, lalu menjadilah syaitan itu qarin baginya.

Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. [al-Zukhruf 43:36-37]

---------

Apabila manusia tidak mengendahkan ajaran al-Qur’an, maka jin syaitan datang kepadanya dan menjadi pendampingnya (qarin). Manusia yang dimaksudkan di sini tidak terhad kepada orang belum Islam, tetapi juga kepada orang Islam.

Ini kerana di kalangan umat Islam ada yang tidak mengendahkan ajaran al-Qur’an. Mereka menjadikan al-Qur’an hanya sebagai bacaan ketika berlaku kematian, hantaran perkahwinan dan memeriahkan majlis-majlis tertentu. Amat sedikit yang benar-benar membaca ayat-ayat al-Qur’an, menelaah (tadabbur) maksudnya dan mempraktikkannya dalam kehidupan harian.

Satu contoh tidak mengendahkan ajaran al-Qur’an ialah berbuat baik kepada ibubapa. Perhatikan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala berikut ini:


وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا.

 

Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa. [al-Nisa’ 4:36]

Berdasarkan ayat ini, dapat difahami bahawa al-Qur’an meletakkan amalan berbuat baik kepada ibubapa di tangga kedua selepas mentauhidkan Allah. Namun ada yang tidak mengendahkan ajaran al-Qur’an ini dengan membiarkan ibubapa mereka kesunyian di kampung. Sepanjang hari tangan tidak pernah lekang daripada talifon pintar. Semua orang dihubungi baik melalui percakapan (voice), media sosial dan tulisan (text) kecuali ibubapa.

Maka jin syaitan datang mendampingi orang seperti ini dan membisikkan bahawa kesibukan itu adalah satu kebaikan kerana kononnya agama mahukan umatnya berjaya dalam dunia. Akhirnya berlakulah seperti yang disebut oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala: Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.

----------

 

Bezakan bahawa qarin yang disebut dalam ayat 36 surah al-Zukhruf bukanlah qarin yang disebut oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam hadis baginda:

 

مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ إِلَّا وَقَدْ وُكِّلَ بِهِ قَرِينُهُ مِنْ الْجِنِّ. قَالُوا: وَإِيَّاكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: وَإِيَّايَ إِلَّا أَنَّ اللَّهَ أَعَانَنِي عَلَيْهِ فَأَسْلَمَ فَلَا يَأْمُرُنِي إِلَّا بِخَيْرٍ.

 

“Tidak ada seorang jua dari kalian melainkan dia didampingi oleh qarin dari makhluk jin.” Para sahabat bertanya: “Engkau juga wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Ya, aku juga. Akan tetapi sesungguhnya Allah telah membantu aku sehingga dia masuk Islam dan tidak menghasutku melainkan dengan sesuatu yang baik.” [Shahih Muslim, no: 5034/2814]

Justeru bagi orang yang tidak mengendahkan ajaran al-Qur’an, baginya ada dua qarin.

Pertama: Qarin yang mendampingi sejak awal sebagaimana hadis Shahih Muslim di atas.

Kedua: Qarin yang mendampinginya apabila dia tidak mengendahkan ajaran al-Qur’an. Apabila ada dua qarin yang mengganggu dengan pelbagai jenis dan bentuk gangguan, bagaimana mungkin seseorang itu dapat hidup tenang?

Oleh itu cara untuk mencegah daripada gangguan jin syaitan ialah melazimkan diri membaca al-Qur’an, menelaah (tadabbur) maksudnya dan mempraktikkannya dalam kehidupan harian.

 

KHFA 5 April