Allah s.w.t. berfirman,

 

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ هَلْ مِنْ خَالِقٍ غَيْرُ اللَّهِ يَرْزُقُكُم مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ فَأَنَّىٰ تُؤْفَكُونَ

Wahai umat manusia, kenangkanlah nikmat Allah yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu; tidak ada sama sekali yang menciptakan sesuatu selain daripada Allah; Dia memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi. Tiada Tuhan melainkan Dia, maka mengapa kamu rela dipalingkan (darimenyembahnya)?

(Fatir 35:03)

Jika dirujuk dalam al-Qur'an, terdapat banyak ayat di mana Allah mengingatkan manusia akan sekian nikmat-Nya kepada mereka.

Ayat-ayat ini bukanlah "mengungkit" kebaikan, tetapi sebagai peringatan (reminder) kepada manusia yang mudah lupa atau tidak menghargainya.

Demikianlah juga bagi sesama manusia. Adakalanya perlu diberi peringatan (reminder) ke atas sesuatu kebaikan yang telah dilakukan kepada satu sama lain.

Ia bukanlah ungkitan tetapi peringatan kepada yang lupa atau yang tidak menghargai.

Seorang isteri misalnya, mungkin menerangkan kepada suami pelbagai kebaikan yang telah dilakulannya. Ia bukan ungkitan tetapi peringatan kepada suami yang lupa atau tidak menghargainya.

Seorang suami misalnya, mungkin menerangkan kepada isteri pelbagai kebaikan yang telah dilakulannya. Ia bukan ungkitan tetapi peringatan kepada isteri yang lupa atau tidak menghargainya.

Justeru apabila seseorang itu diberi peringatan ke atas kebaikan yang pernah diterimanya, hendaklah dia bersikap positif atas peringatan tersebut.

Usah bersikap negatif dengan menganggap ia satu "ungkitan" tetapi jadikanlah ia sebagai peluang menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih.

Ini kerana meskipun semua kebaikan asalnya adalah daripada Allah, menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada manusia tetap ditekankan.

Rasulullah s.a.w. bersabda,

لَا يَشْكُرُ اللَّهَ مَنْ لَا يَشْكُرُ النَّاسَ

Tidaklah berterima kasih kepada Allah sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia. (Shahih Sunan Abu Daud, no.: 4177/4811)