THI: 09.06.2017 - Inginkan kasih sayang dan keampunan daripada Allah?
- Details
- Written by Kapten Hafiz Firdaus Abdullah
- Category: Tazkirah Hari Ini
- Hits: 3169
Perhatikan ayat berikut:
قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Katakanlah: "Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu". Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Ali Imran 3:31)
Ayat ini memiliki dua pengajaran penting:
(1) Ia menerangkan kayu ukur sebenar kecintaan seseorang itu kepada Allah.
(2) Ia menerangkan keutamaan mengikut sunnah Rasulullah s.a.w.
Secara mudah ia bermaksud,
Katakanlah wahai Muhammad kepada umatmu,
Jika kamu benar mencintai Allah maka buktikanlah cinta itu dengan mengikuti Rasulullah.
Jika kamu melakukan demikian, ia bukan saja membuktikan kebenaran cintamu kepada Allah tetapi menghasilkan kasih sayang Allah kepada kamu dan keampunan-Nya kepada kamu.
Demikianlah Allah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
--------
Sebahagian orang mendakwa dirinya mencintai Allah dan membuktikan kecintaan itu dengan mempelbagaikan ibadahnya kepada Allah.
Mereka tidak peduli apakah ibadah itu menepati sunnah Rasulullah atau tidak.
Apabila ditegur, mereka berkata, "Apa salahnya, bukankah ia baik?"
Orang-orang seperti ini sebenarnya tidak mencintai Allah tetapi mencintai dirinya sendiri.
Atas cinta diri sendiri inilah mereka beribadah mengikut apa yang mereka suka dan anggap baik.
----------
Mengikuti sunnah Rasulullah dalam ibadah bererti melakukan apa yang baginda ajar (sunnah qauliyah), lakukan (sunnah fi'iliyah) dan persetujui (sunnah taqririyah) serta meninggalkan apa yang baginda tinggalkan (sunnah tarkiyah).
Hanya dengan cara ini seseorang itu mengikuti sunnah Rasulullah sepenuhnya dan layak mendapat kasih sayang dan keampunan Allah.
Tidaklah dinamakan mengikut sunnah Rasulullah dalam ibadah jika seseorang itu mempelbagaikan ibadahnya sesuka hati.
Lalu apabila ditegur, mereka menjawab, "Rasulullah tidak buat bukan bererti kami tak boleh buat."
Mereka tidak tahu atau tidak faham bahawa meninggalkan apa yang Rasulullah tinggalkan dalam urusan ibadah kepada Allah termasuk dalam erti kata "mengikuti Rasulullah".
Sunnah tarkiyah ada beberapa jenis:
(1) Dalam urusan ibadah kepada Allah, jika Rasulullah meninggalkannya kerana ada faktor penghalang, maka boleh melakukannya apabila faktor penghalang sudah tiada.
Contoh, solat tarawih berjemaah secara berterusan sepanjang Ramadhan.
Baginda berjemaah pada beberapa malam sahaja kerana bimbang jika dilakukan sepanjang Ramadhan, akan turun wahyu mewajibkannya sepanjang Ramadhan.
Apabila baginda wafat, faktor penghalang ini sudah tiada (kerana wahyu tidak turun lagi), maka boleh melakukannya secara berjemaah sepanjang Ramadhan.
(2) Dalam urusan ibadah kepada Allah, jika Rasulullah meninggalkannya sementara tidak ada faktor penghalang, maka hendaklah kita turut meninggalkannya.
Kebanyakan sunnah tarkiyah dalam ibadah duduk dalam jenis kedua ini.
Contoh, doa berjemaah selepas solat berjemaah.
Rasulullah pernah doa berjemaah, seperti dalam qunut nazilah.
Tetapi tidak pernah melakukannya selepas solat berjemaah. Padahal tidak ada faktor penghalangnya. Ini bererti ia memang patut ditinggalkan.
(3) Dalam urusan dunia, maka boleh melakukan apa yang ditinggalkan oleh Rasulullah.
Contoh, menggunakan h/phone untuk menaip dan menyebarkan tazkirah ini.
--------
Ayat ini dimulakan dengan arahan "Qul (katakanlah)...", bererti ia merupakan ayat yang perlu sering disebut-sebut dan disebar-sebarkan.
Dalam erti kata lain, hendaklah sering mengingatkan diri sendiri dan orang ramai untuk mengikuti sunnah Rasulullah.
Ia bukanlah satu tindakan remeh temeh, mengelirukan orang awam atau memecah-belahkan umat.
Justeru,
Ayuh kita perhati dan amalkan ayat ini (Ali Imran 3:31)
Ayuh kita buktikan kecintaan kepada Allah dengan mengikuti Rasulullah.
Ayuh kita meraih kasih sayang Allah dan keampunan-Nya dengan mengikuti Rasulullah.
THI:08.06.2017 - Solat Tarawih
- Details
- Written by Kapten Hafiz Firdaus Abdullah
- Category: Tazkirah Hari Ini
- Hits: 3623
Nama "Solat Tarawih" tidak ada pada zaman Nabi s.a.w.
Pada zaman itu, ia disebut sebagai "Qiyam Ramadhan", bererti menghidupkan malam Ramadhan dengan ibadah solat.
Nama "Solat Tarawih" hanya wujud beberapa kurun selepas itu. "Tarawih" bermaksud berehat, di mana orang yang solat berehat sebentar di antara solat-solat sunat pada malam Ramadhan.
Ketika berehat, boleh saja jika SESEORANG itu ingin tasbih, tahmid, takbir, istighfar, selawat, doa atau baca Qur'an.
Boleh juga jika nak termenung, urut-urut kaki atau minum air.
Masing-masing melakukan apa yang dia ingini ketika waktu rehat itu.
Cuma yang perlu disemak adalah apabila masa rehat itu ditetapkan kepada bacaan (laungan?) zikir, selawat dan doa dengan lirik khusus oleh imam (atau orang tertentu) lalu disambut oleh makmum.
Penetapan ini seolah-olah merupakan pakej Solat Tarawih di Malaysia.
Sehingga dianggap sunnah oleh sebahagian orang. Bahkan ada yang merasakan Solat Tarawih tidak meriah tanpanya.
Demikianlah hakikat bid'ah. Ia bermula secara kecil-kecilan, kemudian membesar, merebak dan meresap. Sehingga apa yang sunnah dianggap bid'ah dan apa yang bid'ah dianggap sunnah.
Marilah kita menghidupkan malam Ramadhan dengan sunnah Rasulullah, yakni tanpa laungan zikir, selawat dan doa yang khusus secara beramai-ramai.
THI: 02.06.2017 - Doa berjemaah
- Details
- Written by Kapten Hafiz Firdaus Abdullah
- Category: Tazkirah Hari Ini
- Hits: 4505
Dalam alQur'an terdapat kisah Nabi Musa dan Harun, di mana Allah berfirman,
وَقَالَ مُوسَىٰ رَبَّنَا إِنَّكَ آتَيْتَ فِرْعَوْنَ وَمَلَأَهُ زِينَةً وَأَمْوَالًا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا رَبَّنَا لِيُضِلُّوا عَن سَبِيلِكَ رَبَّنَا اطْمِسْ عَلَىٰ أَمْوَالِهِمْ وَاشْدُدْ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ فَلَا يُؤْمِنُوا حَتَّىٰ يَرَوُا الْعَذَابَ الْأَلِيمَ
Dan Musa berkata: "Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau telah memberi kepada Fir'aun dan pemuka-pemuka kaumnya perhiasan dan harta kekayaan dalam kehidupan dunia, ya Tuhan Kami -- akibatnya mereka menyesatkan (manusia) dari jalan Engkau.
Ya Tuhan kami, binasakanlah harta benda mereka, dan kunci matilah hati mereka, maka mereka tidak beriman hingga mereka melihat siksaan yang pedih". (Yunus 10:88)
Walau pun Nabi Musa seorang yang berdoa, Allah berfirman dalam ayat selanjutnya,
قَالَ قَدْ أُجِيبَت دَّعْوَتُكُمَا فَاسْتَقِيمَا وَلَا تَتَّبِعَانِّ سَبِيلَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ
AlIah berfirman: "Sesungguhnya telah diperkenankan permohonan kamu BERDUA, sebab itu tetaplah kamu berdua pada jalan yang lurus dan janganlah sekali-kali kamu mengikuti jalan orang-orang yang tidak mengetahui". (Yunus 10:89)
Kenapa disebut "berdua" padahal yang berdoa hanya Nabi Musa seorang?
Dalam kitab-kitab tafsir disebut bahawa mereka doa bersama dengan Musa membacakan doa sementara Harun mengaminkannya.
Ayat ini menjadi dalil bahawa doa berjemaah adalah sesuatu yang dibolehkan.
Selain itu kita temui beberapa contoh doa berjemaah dalam sunnah Rasulullah seperti doa qunut nazilah, doa semasa khutbah jumaat dan ketika solat minta hujan (istisqa').
Malah dalam solat jemaah yang jahr, makmum mengaminkan bacaan surah alFatihah imam secara kuat. Isi kandungan surah alFatihah itu sendiri adalah satu doa.
Sunnah-sunnah ini juga menunjukkan doa berjemaah adalah sesuatu yang dibolehkan.
Cuma.....
Apabila ia dilakukan secara berterusan selepas setiap solat berjemaah, maka ia menjadi sebahagian drpd pakej solat.
Bahkan ada yang menganggap ia satu sunnah yang sahih sehingga memandang serong kepada imam yang tidak berdoa selepas solat.
Setahu saya tidak ada riwayat sahih (mahu pun dha'if?) bahawa Nabi s.a.w. berdoa secara berjemaah selepas solat fardhu.
Seandai ia baik, nescaya baginda akan mencontohinya.
THI: Apakah yang SUNNAH untuk diucapkan apabila tiba bulan Ramadhan?
- Details
- Written by Kapten Hafiz Firdaus Abdullah
- Category: Tazkirah Hari Ini
- Hits: 3265
Abu Hurairah r.a. berkata,
لَمَّا حَضَرَ رَمَضَانُ، قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: قَدْ جَاءَكُمْ رَمَضَانُ، شَهْرٌ مُبَارَكٌ، افْتَرَضَ اللهُ عَلَيْكُمْ صِيَامَهُ، تُفْتَحُ فِيهِ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ، وَتُغْلَقُ فِيهِ أَبْوَابُ الْجَحِيمِ، وَتُغَلُّ فِيهِ الشَّيَاطِينُ، فِيهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ، مَنْ حُرِمَ خَيْرَهَا، فَقَدْ حُرِمَ.
Tatkala tiba Ramadhan, Rasulullah s.a.w. bersabda,
"Sungguh telah tiba kepada kalian Ramadhan, bulan yang diberkati. Allah telah mewajibkan ke atas kalian puasa padanya.
Padanya, dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka, dan diikat syaitan-syaitan.
Padanya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Barangsiapa tidak meraih kebaikan pada malam itu, maka dia terhalang (daripada kebaikan yang besar).”
Musnad Ahmad, no.: 7148 dan dinilai sahih oleh Syu'aib al-Arna'uth dan rakan-rakan.
Page 56 of 67