Baca & Download Koleksi e-Book Kami
Lebih 30 tajuk dihasilkan dan dikongsikan kepada anda.
Tazkirah hari ini, Nabi s.a.w. bersabda,
لَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلَاثٍ يَلْتَقِيَانِ فَيَصُدُّ هَذَا وَيَصُدُّ هَذَا وَخَيْرُهُمَا الَّذِي يَبْدَأُ بِالسَّلَامِ.
Tidak dihalalkan bagi seorang muslim mendiamkan saudaranya (yang muslim) melebihi tiga hari.
(Apabila mereka berdua) bertemu, masing-masing memasamkan muka.
Dan yang terbaik di antara mereka berdua adalah yang pertama mengucapkan salam. (Shahih al-Bukhari, no.: 5768/6237)
-------
Sekali baca, kelihatan seperti sukar mempraktikkan hadis ini. Sukar hendak berhubung dengan setiap orang dalam setiap 3 hari.
Sebenarnya hadis ini ditujukan kepada sesiapa yang sedang berkonflik atau bergaduh.
Konflik boleh berlaku antara suami dan isteri, anak dan ibu, saudara-mara, sesama jiran dan rakan kerja.
Apabila berkonflik, masing-masing akan bersikap diam diri, enggan menegur sapa.
Maka dalam hadis di atas, Nabi s.a.w. memberi tempoh maksimum 3 hari untuk saling mendiamkan.
Tempoh ini diberikan untuk masing-masing menyejukkan hati dan merawat emosi.
Sebelum genap 3 hari, hendaklah kembali berbaik-baik dan siapa yang pertama memulakan usaha berbaik-baik, dialah yang terpuji.
-----
Tempoh 3 hari adalah tempoh maksimum.
Jika dapat berbaik-baik lebih awal - misalnya sejam - tentulah ia lebih terpuji.
Dalam zaman canggih masa kini, berbaik-baik boleh dilakukan dengan pelbagai cara, seperti menghantar video, audio atau teks berbunga-bunga melalui smart phone.
Berhati-hatilah apa yang diucapkan.
Baik secara lisan mahupun secara bertulis di media sosial.
Baik secara jelas, bisik-bisikan atau di belakang orang di whatsapp group.
Ini kerana sentiasa ada dua malaikat yang mencatat semuanya dan akan dilaporkan pada Hari Akhirat kelak.
Firman Allah s.w.t.:
وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ وَنَعْلَمُ مَا تُوَسْوِسُ بِهِ نَفْسُهُ وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْ حَبْلِ الْوَرِيدِ
Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya,
إِذْ يَتَلَقَّى الْمُتَلَقِّيَانِ عَنِ الْيَمِينِ وَعَنِ الشِّمَالِ قَعِيدٌ
Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya, dan yang satu lagi di sebelah kirinya.
مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ
Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).
(Qaf 15:16-18)
Sempena musim Piala Dunia ini, mungkin ada yang sekadar mengajak atau mencabar sahabatnya bertaruh.... pasukan manakah yang akan menang?
Ketahuilah bahawa bertaruh atau berjudi hukumnya haram meskipun sekadar ajak-ajakan.
Nabi s.a.w. bersabda,
وَمَنْ قَالَ لِصَاحِبِهِ تَعَالَ أُقَامِرْكَ فَلْيَتَصَدَّقْ
Sesiapa yang berkata kepada sahabatnya, "Marilah aku berjudi / bertaruh dengan kamu" maka hendaklah dia bersedekah. (Shahih al-Bukhari, no: 4482/4860)
Peranan sedekah dalam hadis di atas adalah sebagai kaffarah (penghapus) dosa.
Pernah merancang atau melakukan satu perkara mungkar lalu ditimpa musibah?
Bergembiralah kerana itu tanda Allah menginginkan kebaikan kepada kamu, maka ambillah iktibar dan jauhi perkara mungkar tersebut.
Berbeza dengan orang yang Allah biarkan dia berterusan dalam perkara mungkar dan hanya akan menghukum ketika di Hari Akhirat kelak.
Marilah kita menyemak hadis berikut daripada ‘Abdullah bin Mughaffal:
Bahawa seorang lelaki menemui seorang wanita yang pada masa jahiliyyah adalah seorang pelacur. Maka lelaki itu bercanda (flirting) dengannya sehingga menghulurkan tangan (untuk menyentuh)nya.
Wanita itu berkata, “Tahanlah (tangan kamu)! Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla telah menghilangkan kesyirikan (dalam lafaz lain: menghilangkan zaman jahiliyyah) dan mendatangkan Islam!” (ertinya dia sudah bertaubat dari kerjaya melacur masa lalu dan sudah memeluk Islam).
Maka lelaki itu beralih pergi, (sambil berjalan) mukanya melanggar tembok sehingga cedera (mungkin kerana dia masih menoleh ke belakang melihat wanita tersebut).
Maka lelaki itu mendatangi Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan mengkhabarkan apa yang berlaku. Maka baginda bersabda:
أَنْتَ عَبْدٌ أَرَادَ اللهُ بِكَ خَيْرًا .
إِذَا أَرَادَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ بِعَبْدٍ خَيْرًا عَجَّلَ لَهُ عُقُوبَةَ ذَنْبِهِ،
وَإِذَا أَرَادَ بِعَبْدٍ شَرًّا أَمْسَكَ عَلَيْهِ بِذَنْبِهِ حَتَّى يُوَافِى بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَأَنَّهُ عَيْرٌ.
“Anda seorang yang Allah kehendaki kebaikan untuk anda.
Apabila Allah ‘Azza wa Jalla menghendaki kebaikan bagi seorang hamba, maka akan disegerakan hukuman dosa-dosanya (di dunia).
Sementara jika dikehendaki keburukan bagi seorang hamba, ditangguhkan ke atasnya dosa-dosanya sehinggalah dibalas pada Hari Kiamat.”
[Musnad Ahmad, hadis no.: 16204/16806 dan dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arna’uth dan rakan-rakannya]
Page 31 of 67
![]() | |
Hubungi Penulis di: 019-3848467 (SMS sahaja) |