THI: Serukan ke jalan Allah.
- Details
- Written by Kapten Hafiz Firdaus Abdullah
- Category: Tazkirah Hari Ini
- Hits: 6373
Tazkirah hari ini, firman Allah s.w.t.:
Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk. [al-Nahl 16:125]
----------
Peranan kita, sebagaimana perintah Allah dalam ayat di atas, ialah menyeru manusia ke jalan Allah. Yakni jalan Tauhid dan Syariat Allah.
Amatlah bertentangan dengan perintah di atas apabila ada sebahagian umat Islam yang mengucapkan selamat atas perayaan kaum-kaum lain di mana perayaan tersebut menyelisihi jalan Allah.
-----------
Tahun Baru Cina ialah salah satu perayaan dan ia merupakan hak bagi sesiapa yang mahu menyambutnya.
Tahun Baru Cina bukan semata-mata masuknya tahun baru dalam kalendar Cina, akan tetapi bersamaan dengan itu ada ramalan-ramalan pada tahun tersebut yang dikaitkan dengan haiwan tertentu.
Contohnya esok bermulanya Tahun Monyet dalam kalendar Tahun Baru Cina. Sila Google "Year of The Monkey" untuk mengetahui apakah ramalan-ramalan tersebut.
Justeru bagi kita umat Islam, Tahun Baru Cina bukan sekadar kemasukan tahun baru, tetapi merupakan sesuatu yang memberi kesan ke atas aqidah kita umat Islam.
Ini kerana bagi kita umat Islam, kita beriman bahawa semua perkara telah ditaqdirkan oleh Allah dan ia tidak terkait dengan sekian-sekian kalendar atau haiwan.
Di sinilah letak pertentangan antara "menyeru ke jalan Allah" - yakni tidak ada ramalan-ramalan yang terkait dengan kalendar atau haiwan dengan ucapan "Selamat Tahun Baru Cina" - yakni adanya ramalan-ramalan tertentu yang terkait dengan masuknya tahun baru dan haiwan.
--------
Ada yang menyambut Tahun Baru Cina bukan kerana kemasukan kalendar baru dan tidak mempercayai ramalan-ramalan yang terkait dengannya. Akan tetapi mereka menyambut semata-mata sebagai sambutan dan kegembiraan.
Dalam kes seperti ini, ada yang berpendapat boleh mengucapkan "Selamat" kepada yang menyambutnya. Namun ada yang berkata tetap tidak boleh kerana sukar bagi kita untuk membezakan sebab seseorang itu menyambutnya. (Saya cenderung kepada pendapat kedua ini).
Ada yang berkata boleh mengucapkan "Selamat" dengan hati yang tidak memaksudkannya. Pendapat ini ditolak kerana ia merupakan dusta dan Islam melarang umatnya daripada berdusta meskipun kepada kaum lain.
Ada yang mengucapkan "Selamat" setelah menimbang di antara dua mudarat dan mengambil mudarat yang lebih kecil. Ini lazim berlaku kepada seseorang yang telah memeluk Islam, lalu dia ingin menjaga hubungan ahli-ahli keluarganya dengan harapan satu hari kelak mereka juga akan mengikutinya ke jalan Allah. Mereka mengucapkan "Selamat" dengan hati yang tidak tenang dan mengharapkan keampunan Allah. Ini terserah kepada budi bicara dan ijtihad individu tersebut. (Saya berpendapat ini dibolehkan).
Adapun kepada kaum Melayu yang 365 hari tak pernah sebut nama Allah walau sekali kepada rakan atau jiran mereka yang belum Islam, tidak perlu menipu diri sendiri dengan berkata: "Saya ucapkan selamat dalam rangka berdakwah kepada mereka...."
KHFA - 7 Februari 2016
THI: Lelaki sejati.
- Details
- Written by Kapten Hafiz Firdaus Abdullah
- Category: Tazkirah Hari Ini
- Hits: 6015
Tazkirah hari ini kepada para lelaki sejati.
Sabda Nabi s.a.w.:
أَحْفُوا الشَّوَارِبَ وَأَعْفُوا اللِّحَى
Potonglah misai dan biarkan janggut/jambang. (Shahih Muslim, no: 380)
-----------
Dia antara ciri seorang lelaki, sebagaimana yang diajar oleh Islam, ialah dia membiarkan atau memanjangkan janggutnya.
Juga memotong atau mencukur misainya.
Bukan mencukur licin atau "trim" nipis janggutnya.
Bukan juga yang menyimpan misai.
Pengecualian kepada lelaki yang memang tidak ada janggut
KHFA - 23 Januari 2016
THI: Mohonlah keampunan Tuhanmu.
- Details
- Written by Kapten Hafiz Firdaus Abdullah
- Category: Tazkirah Hari Ini
- Hits: 6374
Tazkirah hari ini:
Imam Al-Qurthubi menyebutkan dari Ibnu Shabih, bahawasanya dia berkata:
"Ada seorang laki-laki mengadu kepada Al-Hasan Al-Bashri tentang kegersangan (bumi) maka beliau berkata kepadanya, 'Ber-istighfar-lah kepada Allah!.
Yang lain mengadu kepadanya tentang kemiskinan maka beliau berkata kepadanya, 'Ber-istighfar-lah kepada Allah!.
Yang lain lagi berkata kepadanya, 'Do'akanlah (aku) kepada Allah, agar Dia memberiku anak!, maka beliau mengatakan kepadanya, 'Ber-istighfar-lah kepada Allah!.
Dan yang lain lagi mengadu kepadanya tentang kekeringan kebunnya maka beliau mengatakan (pula) kepadanya, 'Ber-istighfar-lah kepada Allah!".
Dan kami menganjurkan demikian kepada orang yang mengalami hal yang sama.
Dalam riwayat lain disebutkan:
"Maka Ar-Rabi' bin Shabih berkata kepadanya, 'Banyak orang yang
macam-macam (perkara) dan Anda memerintahkan mereka semua untuk ber-istighfar.
Maka Al-Hasan Al-Bashri menjawab, 'Aku tidak mengatakan hal itu dari diriku sendiri. Tetapi sungguh Allah telah berfirman dalam surat Nuh.
اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا﴿١٠﴾يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُمْ مِدْرَارًا﴿١١﴾وَيُمْدِدْكُمْ بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَلْ لَكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَلْ لَكُمْ أَنْهَارًا
"Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, niscaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan membanyakkan harta dan anak-anakmu dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai- sungai". [Nuh /71: 10-12]
(Tafsir Al-Qurthubi, 18/302-303. Lihat pula Al-Muharrar Al-Wajiz, 16/123)
Dari FB Abu Sofiyyah Al-Bahari dengan ucapan terima kasih.
KHFA - 21 Januari 2016
THI: Perhitungkan nikmat Allah
- Details
- Written by Kapten Hafiz Firdaus Abdullah
- Category: Tazkirah Hari Ini
- Hits: 6884
Tazkirah hari ini, firman Allah s.w.t.:
وَآتَاكُم مِّن كُلِّ مَا سَأَلْتُمُوهُ وَإِن تَعُدُّوا نِعْمَتَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا إِنَّ الْإِنسَانَ لَظَلُومٌ كَفَّارٌ
Dan Dia telah memberikan kepadamu segala apa yang kamu mohonkan kepadanya.
Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghitungnya.
Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah). [Ibrahim 14:34]
------------
Masa yang ada dalam penerbangan semalam saya manfaatkan membaca sedikit al-Quran.
Terhenti pada ayat di atas.
Saya teringat kepada SEBAHAGIAN rakan kerja saya yang asyik merungut tentang majikan. Jika ada penerbangan 8 jam, maka 8 jam itu dimanfaatkan untuk merungut dari A ke Z.
Seolah-olah tiada langsung nikmat Allah melalui majikan itu.
Seolah-olah tiada yang lebih dibenci di alam ini melainkan majikan itu.
Akan tetapi apabila majikan itu mengalami masalah kegawatan ekonomi dan terpaksa membuang sebahagian pekerja, orang yang sama merungut lagi.
Padahal jika tiada langsung kebaikan dan nikmat Allah pada majikan itu, kenapa tidak bergembira dan berhijrah ke majikan yang lain?
Memang, sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah).
Perkara ini tidak terhad kepada rakan-rakan sekerja saya. Jika bertemu dengan rakan-rakan lain dalan kerjaya yang lain, hampir setiap orang ada saja rungutan mereka terhadap majikan masing-masing.
Perkara ini juga tidak terhad kepada urusan antara pekerja dan majikan. Tetapi meluas kepada pelbagai aspek lain seperti antara rakyat dan pemerintah, antara suami dan isteri, antara anak dan ibubapa.
Ayuh sahabat-sahabat semua, kita menghitung nikmat yang Allah berikan melalui pemimpin, majikan, pasangan dan ahli keluarga. Tentu amat banyak sehingga tidak terhitung.
Pasti saja ada perkara-perkara yang kita tidak puas hati. Maka salurkanlah ketidakpuasan itu melalui jalan yang sepatutnya.
--------
Dalam permulaan ayat di atas Allah berfirman: Dan Dia telah memberikan kepadamu segala apa yang kamu mohonkan kepadanya.
Hendaklah kita yakini bahawa pemberian Allah itu berlaku dalam pelbagai bentuk.
Ada yang Allah tangguhkan, ada yang Allah ganti dengan sesuatu lain yang lebih baik dan ada yang Allah tahan kerana mengetahui ia tidak baik untuk kita.
Justeru kita tetap bersyukur dengan apa jua yang Allah beri dan tidak beri.
KHFA - 20 Januari 2016
Page 64 of 67