THI 2019: Untuk ayah-ayah yang bekerja.
- Details
- Written by Kapten Hafiz Firdaus Abdullah
- Category: Tazkirah Hari Ini
- Hits: 911
Hadis ini didedikasikan kepada semua ayah-ayah yang bekerja keras menafkahi anak-anak dan keluarganya.
Moga menjadi motivasi untuk terus bekerja keras tanpa mengenal lelah mahupun letih.
Ka’ab bin Ujrah radhiallahu 'anh di mana menceritakan,
Ada seorang lelaki yang melintas berhampiran Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, lalu (kami) para sahabat Rasulullah ternampak (kesan-kesan) kerja keras dan semangatnya (dalam bekerja).
Lantas mereka berkata, “Wahai Rasulullah alangkah baiknya jika ia (pekerjaan itu) dilakukan di jalan Allah (fi sabilillah)?”
Rasulullah menjawab,
إِنْ كَانَ خَرَجَ يَسْعَى عَلَى وَلَدِهِ صِغَارًا فَهُوَ فِي سَبِيْلِ اللهِ
وَإِنْ كَانَ خَرَجَ يَسْعَى عَلَى أَبَوَيْنِ شَيْخَيْنِ كَبِيْرَيْنِ فَهُوَ فِي سَبِيْلِ اللهِ
وَإِنْ كَانَ خَرَجَ يَسْعَى عَلَى نَفْسِهِ يَعِفُّهَا فَهُوَ فِي سَبِيْلِ اللهِ
وَإِنْ كَانَ خَرَجَ يَسْعَى رِيَاءً وَمُفَاخَرَةً فَهُوَ فِي سَبِيْلِ الشَّيْطَانِ.
“Jika dia keluar bekerja demi anak-anaknya yang masih kecil (belum berdikari), maka itu di jalan Allah.
Jika dia keluar bekerja demi ibubapanya yang sudah tua (lalu tidak dapat bekerja), maka itu di jalan Allah.
Jika dia keluar bekerja demi dirinya agar tidak meminta-minta (sebagai peminta sedekah), maka itu di jalan Allah.
Akan tetapi jika dia keluar bekerja kerana riya’ dan berbangga diri, maka itu di jalan syaitan.”
[Dikeluarkan oleh al-Thabarani dan dinilai sahih li ghairihi oleh al-Albani dalam Shahih al-Tarhib wa al-Targhib, no.: 1692.]
PS: Dedikasi dan motivasi sempena Father's Day esok (16 Jun).
THI 2019: Maaf Zahir Dan Batin?
- Details
- Written by Kapten Hafiz Firdaus Abdullah
- Category: Tazkirah Hari Ini
- Hits: 893
Para ilmuan berpendapat, ucapan sempena 'Idul Fitri memiliki keluasan. Bererti setiap masyarakat atau kaum boleh mengucapkan apa yang baik dan lazim di sisi mereka. Di Malaysia, ucapan yang lazim adalah "Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin".
Menyentuh tentang ucapan minta maaf ini, ada sebuah hadis yang ingin saya kongsikan. Sekali gus menjadi tazkirah hari ini.
Rasulullah s.a.w. bersabda,
مَنْ كَانَتْ لَهُ مَظْلَمَةٌ لِأَخِيهِ مِنْ عِرْضِهِ أَوْ شَيْءٍ، فَلْيَتَحَلَّلْهُ مِنْهُ اليَوْمَ، قَبْلَ أَنْ لاَ يَكُونَ دِينَارٌ وَلاَ دِرْهَمٌ،
إِنْ كَانَ لَهُ عَمَلٌ صَالِحٌ أُخِذَ مِنْهُ بِقَدْرِ مَظْلَمَتِهِ،
وَإِنْ لَمْ تَكُنْ لَهُ حَسَنَاتٌ أُخِذَ مِنْ سَيِّئَاتِ صَاحِبِهِ فَحُمِلَ عَلَيْهِ
Sesiapa yang pernah menzalimi kehormatan saudaranya atau apa jua (kesalahan yang lain), maka hendaklah dia meminta halal daripadanya (meminta maaf) pada hari ini (ketika di dunia) sebelum datang hari yang ketika itu dinar dan dirham tidak lagi bermanfaat (yakni di Akhirat).
Pada ketika itu (di Akhirat), jika dia memiliki amal soleh, akan diambil daripadanya sebanyak kezaliman yang telah dilakukan (kepada saudaranya itu ketika di dunia).
Dan jika dia tidak memiliki apa-apa kebaikan, akan diambil dosa kesalahan saudara (yang dizalimi itu ketika di dunia) dan dibebankan ke atasnya.
[Shahih al-Bukhari, hadis no.: 2269/2449]
Berdasarkan hadis di atas, apabila berbuat salah kepada orang lain maka segeralah meminta maaf.
Dikatakan segera kerana kita semua tidak memiliki temu janji dengan Malaikat Maut. Bila-bila masa saja Malaikat Maut boleh datang mengambil nyawa dan pada saat itu, kita tidak akan lagi sempat meminta maaf. Setelah itu, di Akhirat kelak, akan berlakulah pertukaran pahala dan dosa antara kita dan orang yang kita salahi itu. Sudah tentu ini adalah kerugian yang amat besar.
Oleh itu, janganlah ditangguhkan pemintaan maaf. Jangan tunggu datang 1 Syawal atau sebelum pergi umrah dan haji baru nak minta maaf. Sebaliknya bersegeralah minta maaf. Minta maaf secara jelas dan lancar, tanpa diikuti dengan apa-apa syarat tambahan.Ia bukan sahaja sesuatu yang dianjurkan oleh Islam, tetapi sesuatu yang membuktikan anda orang yang kuat, jujur dan suci hati.
THI 2019: Bila nak qadha puasa?
- Details
- Written by Kapten Hafiz Firdaus Abdullah
- Category: Tazkirah Hari Ini
- Hits: 866
Tazkirah hari ini merujuk kepada sebuah ayat di mana Allah s.w.t. berfirman,
سَابِقُوا إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا كَعَرْضِ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ
أُعِدَّتْ لِلَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ
ذَٰلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَاءُ وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ
Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal soleh) untuk mendapat keampunan daripada Tuhan kamu, dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi,
Yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya;
Yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.
(Hadid 57:21)
Asalnya masa untuk qadha puasa adalah luas, sehingga Ramadhan akan datang.
Namun adalah lebih utama hutang kepada Allah ini segera dilunaskan, selari dengan ayat di atas.
Firman Allah "Berlumba-lumbalah..." atau "Bersegeralah..." adalah satu anjuran dan motivasi untuk kita jangan melengahkan atau menunda sesuatu amal soleh.
Ia tidak terhad kepada qadha puasa, tetapi meluas kepada amal lain seperti:
* Solat pada awal waktu.
* Saf pertama untuk solat di masjid / surau.
* Segera menghadiri majlis ilmu yang disampaikan ayat Allah dan hadis Rasulullah.
* Segera lunaskan hutang wang ringgit atau harta.
* Segera sedekah kepada orang yang memerlukan.
* Segera berbuat baik kepada pasangan (suami -> isteri, isteri -> suami).
* Segera berbuat baik kepada ibu dan bapa.
Firman Allah "Berlumba-lumbalah..." atau "Bersegeralah..." juga memiliki erti persaingan positif.
Maksudnya, anak-anak saling berlumba-lumba berbuat baik kepada ibu dan bapa. Bukan "passing" kepada adik beradik yang lain.
Atau berlumba-lumba menghulurkan sedekah. Bukan membuat alasan "Tak apalah, orang lain dah bagi...kut".
THI 2019: Bolehkah Mengqadha Puasa Sunat?
- Details
- Written by Kapten Hafiz Firdaus Abdullah
- Category: Tazkirah Hari Ini
- Hits: 794
Bolehkah qadha puasa sunat?
Jika tak sempat puasa 6 hari pada bulan Syawal, bolehkah qadha selepas bulan Syawal?
Jawapannya boleh.
Dalilnya adalah hadis berikut daripada Abu Sa'id al-Khudri, bahawa dia berkata,
صَنَعْت لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَعَامًا
فَلَمَّا وُضِعَ قَالَ رَجُلٌ أَنَا صَائِمٌ
فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : دَعَاك أَخُوك وَتَكَلَّفَ لَك , أَفْطِرْ فَصُمْ مَكَانَهُ إِنْ شِئْت
Aku pernah menyediakan makanan untuk Nabi s.a.w..
Apabila siap dihidangkan, berkata seorang lelaki (yang turut hadir), “Saya berpuasa.”
Maka Rasulullah s.a.w. bersabda: “Saudara kamu menjemput kamu dan dia telah bersusah-payah (menyediakan makanan) untuk kamu. Berbukalah dan gantikan puasa itu pada hari lain jika kamu mahu.”
[Hadis ini dikemukakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani dalam Fath al-Bari, jld 4, ms 209-210 (Maktabah Syamilah, syarah kepada hadis no.: 1967) dan beliau berkata, "Sanad hadis ini hasan, dikeluarkan oleh al-Baihaqi."]
Page 21 of 67