Baca & Download Koleksi e-Book Kami
Lebih 30 tajuk dihasilkan dan dikongsikan kepada anda.
Tazkirah hari ini, Jabir bin Abdullah radhiallahu 'anh menceritakan:
لَدَغَتْ رَجُلًا مِنَّا عَقْرَبٌ وَنَحْنُ جُلُوسٌ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ رَجُلٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرْقِي! قَالَ: مَنْ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ أَنْ يَنْفَعَ أَخَاهُ فَلْيَفْعَلْ.
Seorang lelaki disengat kala jengking sementara kami saat itu sedang duduk bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Maka lelaki itu berkata: “Wahai Rasulullah, ruqyahlah aku (agar sembuh)!”
Rasulullah menjawab: “Sesiapa yang mampu di antara kalian untuk memberi manfaat kepada saudaranya, maka hendaklah dia melakukannya.” [Shahih Muslim, no: 4076/2199]
----------
Sabda Rasulullah: “Sesiapa yang mampu di antara kalian untuk memberi manfaat kepada saudaranya, maka hendaklah dia melakukannya” merupakan satu dorongan atau motivasi untuk membantu sesama manusia dalam apa jua urusan.
Khusus dalam hadis ini, ia merujuk kepada meruqyah atau menjampi sesiapa yang sakit, baik sakit fizikal seperti sengatan binatang atau sakit tersembunyi - yakni gangguan mahluk ghaib.
Menarik diperhatikan bahawa Rasulullah boleh meruqyah, namun baginda sengaja enggan. Ini membuktikan bahawa ruqyah bukanlah amalan khusus orang-orang tertentu, tetapi boleh dilakukan oleh orang-orang lain.
Pun begitu, meruqyah tetap memerlukan sedikit ilmu. Ayuh kita belajar cara-cara meruqyah.
Pada pandangan saya, antara ciri seorang ayah dan suami yang bagus ialah dia tahu meruqyah. Moga dengan itu dia dapat meruqyah ahli-ahli keluarganya, termasuklah dirinya sendiri, daripada sesuatu penyakit atau gangguan.
12 Jun, 2016
Tazkirah hari ini, sabda Rasulullah s.a.w.:
مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَة.ِ وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ. وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَة.ِ وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ.
وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ. وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمْ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمْ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمْ الْمَلَائِكَةُ وَذَكَرَهُمْ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ.
وَمَنْ بَطَّأَ بِهِ عَمَلُهُ لَمْ يُسْرِعْ بِهِ نَسَبُهُ.
Sesiapa menghilangkan daripada seorang mukmin satu masalah daripada masalah dunia, Allah akan menghilangkan daripadanya satu masalah daripada masalah akhirat. Sesiapa memudahkan orang yang berada dalam kesulitan, Allah akan memudahkan ke atasnya (dalam urusan) dunia dan akhirat. Sesiapa yang menutupi aib seorang Muslim, Allah menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah menolong seorang hamba selagi mana hamba itu menolong saudaranya.
Sesiapa yang menempuh satu jalan dalam rangka mencari ilmu, Allah mempermudahkan baginya jalan ke syurga. Tidaklah berhimpun satu kaum di dalam salah satu masjid Allah, mereka membaca al-Qur’an dan tadarus sesama mereka melainkan diturunkan ke atas mereka ketenangan dan mereka diliputi dengan rahmat sementara dikelilingi oleh malaikat. Allah menyebut-nyebut mereka kepada para malaikat yang berada di sisi-Nya.
Sesiapa yang memperlahankan amalannya (malas, sedikit beramal) maka hubungan nasabnya tidak akan dapat mempercepatkan amalannya. [Shahih Muslim, no: 4867/2699]
3 Jun, 2016
Saya ada pakai tangkal!
Siapa nak juga, maka caranya ialah membaca zikir ini 100 kali:
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ.
Tidak ada tuhan selain Allah yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya seluruh kerajaan dan bagi-Nya segala pujian. Dan Dia-lah yang berkuasa atas segala sesuatu.
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menerangkan bahawa sesiapa yang membaca zikir ini seratus kali pada siang hari, maka:
كَانَتْ لَهُ عَدْلَ عَشْرِ رِقَابٍ وَكُتِبَتْ لَهُ مِائَةُ حَسَنَةٍ وَمُحِيَتْ عَنْهُ مِائَةُ سَيِّئَةٍ وَكَانَتْ لَهُ حِرْزًا مِنْ الشَّيْطَانِ يَوْمَهُ ذَلِكَ حَتَّى يُمْسِيَ وَلَمْ يَأْتِ أَحَدٌ بِأَفْضَلَ مِمَّا جَاءَ بِهِ إِلَّا أَحَدٌ عَمِلَ أَكْثَرَ مِنْ ذَلِكَ.
Dia akan mendapat ganjaran seperti membebaskan 10 budak hamba, ditulis baginya 100 kebaikan, dipadamkan daripadanya 100 keburukan dan ia menjadi tangkal yang mendindingnya daripada syaitan pada hari itu sehinggalah malam.
Dan tidaklah seseorang itu dapat mendatangkan amalan yang lebih utama berbanding ini melainkan orang yang berzikir lebih banyak daripada itu (melebihi 100 kali). [Shahih al-Bukhari, no: 3050/3293]
30 May, 2016
Baru-baru ini ketika menyemak beberapa hadis, terjumpa hadis berikut yang menarik perhatian saya dan ingin dikongsikan bersama:
----------
Daripada Ali bin Rabi‘ah, dia berkata: Aku menyaksikan Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh diberi haiwan untuk dia tunggangi. Apabila dia meletakkan kakinya di pemijak kaki (sanggurdi), dia mengucapkan: “Bismillah” tiga kali. Tatkala dia sudah berada di atas belakang haiwannya, dia mengucapkan: “Alhamdulillah”. Kemudian dia membaca:
سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ.
“Maha Suci Dzat yang telah menundukkan untuk kami kenderaan ini, padahal tidaklah kami dapat menguasainya, dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah kami akan dikembalikan.”
Kemudian dia mengucapkan: “Alhamdulillah” tiga kali dan: “Allahu Akbar” tiga kali, diikuti dengan:
سُبْحَانَكَ إِنِّي قَدْ ظَلَمْتُ نَفْسِي فَاغْفِرْ لِي فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ.
“Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku maka ampunilah aku kerana sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni dosa kecuali Engkau).”
Kemudian dia ketawa. Aku (Ali bin Rabi‘ah) bertanya: Kenapa engkau ketawa wahai Amirul Mukminin?
Dia menjawab: Aku melihat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam melakukan seperti apa yang aku lakukan kemudian baginda ketawa. Aku bertanya: Kenapa engkau ketawa wahai Rasulullah? Baginda menjawab:
إِنَّ رَبَّكَ لَيَعْجَبُ مِنْ عَبْدِهِ إِذَا قَالَ رَبِّ اغْفِرْ لِي ذُنُوبِي إِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ غَيْرُكَ.
Sesungguhnya Tuhan-Mu sungguh merasa kagum kepada hamba-Nya apabila (hamba-Nya) mengucapkan: “Wahai tuhan-Ku, ampunilahku terhadap dosa-dosaku kerana sesungguhnya tidak ada yang mengampuni dosa selain-Mu.”
[Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 3368/3446]
-----------
Hadis ini menerangkan doa atau zikir ketika menaiki kenderaan.
Namun apa yang menarik perhatian saya ialah tindakan Ali bin Abi Thalib ketawa selepas membaca zikir-zikir tersebut. Beliau ketawa kerana mengikuti tindakan Rasulullah yang ketawa.
Ia menunjukkan kesungguhan para sahabat mengikuti sunnah Rasulullah meskipun dalam hal yang amat kecil.
Bezakan bahawa Rasulullah ketawa kegembiraan kerana baginda mendapat wahyu atau khabar bagaimana Allah merasa kagum kepada hamba-Nya.
Akan tetapi Ali tidak mendapat wahyu atau khabar. Beliau ketawa semata-mata kerana mengikuti tindakan Rasulullah ketawa.
Hadis ini menjadi motivasi kepada saya untuk cuba mengikuti sunnah Rasulullah sebanyak mungkin, meskipun dalam hal-hal yang kecil atau dianggap tidak perlu diikuti.
10 May,2016
Page 59 of 67
![]() | |
Hubungi Penulis di: 019-3848467 (SMS sahaja) |