Baca & Download Koleksi e-Book Kami
Lebih 30 tajuk dihasilkan dan dikongsikan kepada anda.
Tazkirah hari ini merujuk kepada sebuah ayat di mana Allah s.w.t. berfirman,
سَابِقُوا إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا كَعَرْضِ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ
أُعِدَّتْ لِلَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ
ذَٰلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَاءُ وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ
Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal soleh) untuk mendapat keampunan daripada Tuhan kamu, dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi,
Yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya;
Yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.
(Hadid 57:21)
Asalnya masa untuk qadha puasa adalah luas, sehingga Ramadhan akan datang.
Namun adalah lebih utama hutang kepada Allah ini segera dilunaskan, selari dengan ayat di atas.
Firman Allah "Berlumba-lumbalah..." atau "Bersegeralah..." adalah satu anjuran dan motivasi untuk kita jangan melengahkan atau menunda sesuatu amal soleh.
Ia tidak terhad kepada qadha puasa, tetapi meluas kepada amal lain seperti:
* Solat pada awal waktu.
* Saf pertama untuk solat di masjid / surau.
* Segera menghadiri majlis ilmu yang disampaikan ayat Allah dan hadis Rasulullah.
* Segera lunaskan hutang wang ringgit atau harta.
* Segera sedekah kepada orang yang memerlukan.
* Segera berbuat baik kepada pasangan (suami -> isteri, isteri -> suami).
* Segera berbuat baik kepada ibu dan bapa.
Firman Allah "Berlumba-lumbalah..." atau "Bersegeralah..." juga memiliki erti persaingan positif.
Maksudnya, anak-anak saling berlumba-lumba berbuat baik kepada ibu dan bapa. Bukan "passing" kepada adik beradik yang lain.
Atau berlumba-lumba menghulurkan sedekah. Bukan membuat alasan "Tak apalah, orang lain dah bagi...kut".
Bolehkah qadha puasa sunat?
Jika tak sempat puasa 6 hari pada bulan Syawal, bolehkah qadha selepas bulan Syawal?
Jawapannya boleh.
Dalilnya adalah hadis berikut daripada Abu Sa'id al-Khudri, bahawa dia berkata,
صَنَعْت لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَعَامًا
فَلَمَّا وُضِعَ قَالَ رَجُلٌ أَنَا صَائِمٌ
فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : دَعَاك أَخُوك وَتَكَلَّفَ لَك , أَفْطِرْ فَصُمْ مَكَانَهُ إِنْ شِئْت
Aku pernah menyediakan makanan untuk Nabi s.a.w..
Apabila siap dihidangkan, berkata seorang lelaki (yang turut hadir), “Saya berpuasa.”
Maka Rasulullah s.a.w. bersabda: “Saudara kamu menjemput kamu dan dia telah bersusah-payah (menyediakan makanan) untuk kamu. Berbukalah dan gantikan puasa itu pada hari lain jika kamu mahu.”
[Hadis ini dikemukakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani dalam Fath al-Bari, jld 4, ms 209-210 (Maktabah Syamilah, syarah kepada hadis no.: 1967) dan beliau berkata, "Sanad hadis ini hasan, dikeluarkan oleh al-Baihaqi."]
Hati-hati dengan ipar!
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda,
إِيَّاكُمْ وَالدُّخُولَ عَلَى النِّسَاءِ
فَقَالَ رَجُلٌ مِنْ الْأَنْصَارِ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَفَرَأَيْتَ الْحَمْوَ
قَالَ الْحَمْوُ الْمَوْتُ
"Janganlah kalian memasuki tempat wanita."
Seorang lelaki dari kalangan Anshar bertanya, "Wahai Rasulullah, apa pandangan kamu tentang ipar (jika dia memasuki tempat wanita)?"
Rasulullah menjawab, "Ipar adalah maut!"
(Shahih al-Bukhari, no. 4831/5232)
Kehadiran ipar-duai, khasnya seperti ketika musim perayaan, dianggap biasa-biasa kerana mereka semua adalah keluarga. Sebenarnya tidak. Tetap perlu dijaga aurat, pandangan mata dan batas pergaulan. Bahkan anggapan "biasa-biasa inilah" kehadiran ipar-duai adalah lebih bahaya sehingga Rasulullah menyebutnya sebagai "maut"!
Betapa tidak. Banyak berlaku kemungkaran disebabkan kehadiran ipar-duai.
Firman Allah s.w.t.,
وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ
وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا
يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا
وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahwa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa,
Dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentausa.
Mereka tetap menyembahku-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku.
Dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.
(an-Nur 24:55)
‐----------
Bagi ramai orang, jalan bagi mendapatkan pemerintah yang akan membela Islam lagi bijak, amanah dan berjiwa rakyat adalah dengan memangkah kotak yang betul setiap 5 tahun. Mereka beraqidah (berkeyakinan) bahawa penentuan pemerintah berada di bawah kuasa pilihan mereka. Adapun kami Ahli Sunnah, kami beraqidah bahawa penentuan pemerintah adalah urusan Allah. Dan Allah hanya akan berikan pemerintah yang membela Islam jika rakyat terlebih dahulu beriman dan beramal soleh.
Aqidah ini adalah berdasarkan ayat 55 surah an-Nur.
Sila semak baik-baik ayat di atas.
Maksud beriman adalah memiliki keyakinan yang betul terhadap Allah, bukan keyakinan yang keliru seperti mendakwa Allah di mana-mana dan menafikan / mentakwilkan sifat-sifat-Nya. Maksud beramal soleh adalah beramal sesuai dengan sunnah Nabi s.a.w., bukan amalan yang bid'ah atau bercampur aduk antara sunnah dan bid'ah. Atas sebab ayat 55 surah an-Nur inilah, kami Ahli Sunnah lebih memberi fokus kepada dakwah iman dan sunnah. Bukan kerana kami tidak pandang penting urusan pemerintah, tetapi kerana kami menyakini bahawa Allah hanya akan berikan pemerintah yang selari dengan keadaan iman dan amal soleh rakyat.
Page 21 of 67
![]() | |
Hubungi Penulis di: 019-3848467 (SMS sahaja) |