Soalan 5: Apakah Maksud Dan Dalil Ikhlas Dalam Berdoa?
- Details
- Written by Kapten Hafiz Firdaus Abdullah
- Category: Soal-Jawab Adab-Adab Berdoa
- Hits: 491
Soalan: Apakah Maksud Dan Dalil Ikhlas Dalam Berdoa?
Jawapan:
Ikhlas bermaksud melakukan sesuatu ibadah – seperti berdoa – kepada Allah semata-mata tanpa apa-apa pengaruh daripada makhluk, baik positif mahupun negatif. Contoh pengaruh positif adalah seseorang berdoa kerana mengharapkan pujian dan sanjungan daripada orang lain. Contoh pengaruh negatif adalah seseorang itu berdoa selepas solat kerana bimbang “Apa pula kata orang jika aku tidak berdoa selepas solat!”
Dalil ikhlas dalam berdoa adalah firman Allah Subhanahu wa Ta'ala,
فَادْعُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ.
Maka berdoalah kepada Allah dengan ikhlas beragama kepada-Nya, meskipun ia dibenci oleh orang-orang kafir. [al-Mu’min 40:14]
Maksudnya berdoalah kepada Allah secara ikhlas kerana doa itu termasuk dalam ajaran agama Islam yang diredai Allah. Usah terpengaruh dengan sikap orang-orang kafir yang akan menunjukkan kebencian mereka apabila melihat anda berdoa.
Dalam sebuah ayat lain Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman,
هُوَ الَّذِي يُسَيِّرُكُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ حَتَّى إِذَا كُنْتُمْ فِي الْفُلْكِ وَجَرَيْنَ بِهِمْ بِرِيحٍ طَيِّبَةٍ وَفَرِحُوا بِهَا
جَاءَتْهَا رِيحٌ عَاصِفٌ وَجَاءَهُمُ الْمَوْجُ مِنْ كُلِّ مَكَانٍ وَظَنُّوا أَنَّهُمْ أُحِيطَ بِهِمْ دَعَوُا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ لَئِنْ أَنْجَيْتَنَا مِنْ هَذِهِ لَنَكُونَنَّ مِنَ الشَّاكِرِينَ.
Dialah yang menjalankan kamu di darat dan di laut (dengan diberi kemudahan menggunakan berbagai jenis kenderaan); sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera dan bahtera itu pula bergerak laju membawa penumpang-penumpangnya dengan tiupan angin yang baik dan mereka pun bersukacita dengannya; tiba-tiba datanglah kepadanya angin ribut yang kencang dan mereka pula didatangi ombak yang menimpa dari segala penjuru, serta mereka percaya bahawa mereka diliputi oleh bahaya;
Pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan ikhlas beragama kepada-Nya (sambil merayu dengan berkata): Demi sesungguhnya! Jika Engkau (Ya Allah) selamatkan kami daripada bahaya ini, nescaya kami menjadi orang-orang yang bersyukur. [Yunus 10:22]
Soalan 4 - Apakah Kesan Apabila Dikatakan Doa Adalah Ibadah?
- Details
- Written by Kapten Hafiz Firdaus Abdullah
- Category: Soal-Jawab Adab-Adab Berdoa
- Hits: 601
Soalan: Apakah Kesan Apabila Dikatakan Doa Adalah Ibadah?
Jawapan:
Ya, doa adalah ibadah sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam,
الدُّعَاءُ هُوَ الْعِبَادَةُ.
Doa adalah ibadah.[1]
Bahkah ia merupakan ibadah yang paling mulia di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala,
لَيْسَ شَيْءٌ أَكْرَمَ عَلَى اللَّهِ تَعَالَى مِنْ الدُّعَاءِ.
Tidak ada sesuatu yang lebih mulia di sisi Allah Ta‘ala berbanding doa.[2]
Doa menjadi ibadah yang paling mulia kerana ketika berdoa, seorang hamba itu berusaha menghadirkan hati, menumpukan fokus, merendahkan diri, merasakan kedekatan, berasa cemas lagi takut namun tetap berharap lagi yakin kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala.
Doa sebagai ibadah memiliki beberapa kesan, seperti mana juga ibadah solat, puasa dan haji, iaitu:
- Ikhlas.
- Membuat persiapan sebelum berdoa.
- Menepati syarat-syarat.
- Tidak membuat bid’ah, yakni ubah suai atau rekaan yang baru.
Perkara-perkara ini akan dijelaskan dengan lebih lanjut dalam soalan-soalan yang akan datang, insyaAllah.
[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya dan beliau berkata, “Hadis ini hasan sahih.” Ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no.: 3294/3372 (Kitab al-Da‘awat ‘an Rasulullah, Bab berkenaan keutamaan doa).
[2] Hasan: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya dan beliau berkata, “Hadis ini hasan sahih gharib.” Ia dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no.: 3292/3370 (Kitab al-Da‘awat ‘an Rasulullah, Bab berkenaan keutamaan doa).
THI 2019: Empat yang amat dicintai Allah
- Details
- Written by Kapten Hafiz Firdaus Abdullah
- Category: Tazkirah Hari Ini
- Hits: 515
Tazkirah hari ini, Rasulullah s.a.w. bersabda,
أَحَبُّ الْكَلَامِ إِلَى اللَّهِ أَرْبَعٌ سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ لَا يَضُرُّكَ بِأَيِّهِنَّ بَدَأْتَ.
Empat perkataan yang amat dicintai oleh Allah:
"Subhanallah"
"Alhamdulillah"
"La ilaha illalLah"
"Allahu Akbar"
Kamu tidak bersalah jika hendak memulakan dengan yang mana-mana.
(Shahih Muslim 3985/2137)
------
(1) Sempena 10 hari pertama bulan Zulhijjah, dianjurkan untuk memperbanyakan zikir kepada Allah.
(2) Sebenarnya, hendaklah selalu dan lazim berzikir sepanjang tahun. Hanya pada 10 hari pertama ini, ia dipertingkatkan.
(3) Berzikir juga tidak terhad ketika duduk di atas sejadah selepas solat, tetapi meluas kepada bila-bila masa dan apa jua aktiviti harian. Baik ketika berdiri, duduk atau baring. (Rujuk Ali Imran 3:191)
(4) Berzikir kepada Allah bukanlah dengan apa jua kalimah, tetapi dengan apa yang Allah dan Rasul-Nya ajar. Contohnya, seperti hadis di atas.
(5) Berzikir kepada Allah adalah dengan suara yang perlahan dan perasaan merendah diri serta takut. (Rujuk al-A'raaf 7:205)
Sebab yang kita sebut-sebut tu bukanlah member lepak di kedai kopi, tetapi Allah 'Azza wa Jalla.
Jika sunnah Rasulullah adalah berzikir secara kuat sempena sesuatu masa atau peristiwa, maka barulah kita berzikir secara kuat. Contoh: Zikir takbir hari Raya.
(6) Tidak diketahui riwayat yang sahih bahawa Rasulullah atau para sahabat berzikir sambil menggerak-gerakkan badan, menghayun-hayunkan kepala atau menari.
Padahal mereka adalah insan yang paling banyak dan paling khusyuk berzikir kepada Allah.
Maka berzikirlah tanpa pergerakan fizikal, kecuali apa yang berlaku tanpa disedari / tanpa disengajakan.
Soalan 3 - Apakah Orang Yang Berdosa Layak Berdoa?
- Details
- Written by Kapten Hafiz Firdaus Abdullah
- Category: Soal-Jawab Adab-Adab Berdoa
- Hits: 570
Soalan: Apakah Orang Yang Berdosa Layak Berdoa? Saya Telah Banyak Melakukan Dosa Sehingga Rasa Tidak Layak Berdoa Terus Kepada Allah.
Jawapan:
Apapun sejarah seseorang itu, janganlah dia berputus asa daripada Rahmat Allah. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman,
قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.
Katakanlah: “Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan dosa besar), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [al-Zumar 39:53]
Page 17 of 67