Baca & Download Koleksi e-Book Kami
Lebih 30 tajuk dihasilkan dan dikongsikan kepada anda.
Soalan: Patutkah Saya Takut Kepada Doa Orang Yang Dizalimi?
Jawapan:
Pada asalnya, semua Muslim patut takut dan menjauhi perbuatan menzalimi orang lain. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda, Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman,
يَا عِبَادِي إِنِّي حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا فَلَا تَظَالَمُوا.
Wahai hamba-Ku, Sesungguhnya Aku mengharamkan kezaliman ke atas diri-Ku dan Aku menjadikannya haram di antara kalian, maka janganlah berbuat zalim.[1]
Bahkan hendaklah takut daripada mencenderungi, yakni menyokong atau reda[2] dengan tindakan zalim orang lain. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala,
وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لَا تُنْصَرُونَ.
Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim, yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolongpun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan. [Hud 11:113]
Soalan: Apakah Keutamaan Doa Ketika Musafir?
Jawapan:
Antara ruang yang Allah Subhanahu wa Ta'ala buka bagi memakbulkan doa para hamba-Nya adalah ketika musafir. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menerangkan keutamaan ini,
ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٌ لَا شَكَّ فِيهِنَّ دَعْوَةُ الْمَظْلُومِ وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ وَدَعْوَةُ الْوَالِدِ عَلَى وَلَدِهِ.
Tiga suasana di mana doa adalah mustajab tanpa keraguan padanya, (1) doa orang yang dizalimi, (2) doa orang yang bermusafir dan (3) doa ibu dan bapa ke atas anaknya.[1]
Orang yang musafir dapat memanfaatkan keutamaan ini dalam dua keadaan. Pertama, ketika semuanya berjalan tenang dan seperti yang dirancang. Lebih-lebih lagi musafir yang melibatkan perjalanan yang panjang di dalam kapal terbang, keretapi dan bas. Maka manfaatkan masa yang ada dalam suasana musafir itu bagi memperbanyakkan doa kepada Allah. Jika tidak ada doa khusus yang ingin diminta, maka berdoalah dengan doa-doa umum seperti mana yang disyorkan dalam soalan Apakah doa yang sesuai dibaca ketika senang?
Kedua, ketika timbul kesukaran-kesukaran yang tidak disangka dan perjalanan menjadi tidak seperti yang dirancang. Pada saat-saat mencabar ini, usah merungut, marah atau mengeluarkan kata-kata yang tidak baik. Sebaliknya berdoalah kepada Allah agar kesukaran menjadi kesenangan dan perjalanan kembali menjadi seperti yang dirancang.
Notakaki:
[1] Hasan: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya dan beliau mendiamkan darjatnya. Ia dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no.: 1828/1905 (Kitab al-Birr wa al-Silah ‘an Rasulullah, Bab berkenaan panggilan ibu dan bapa). Hadis ini dinilai hasan li ghairihi oleh Syu’aib al-Arna’uth dan ‘Abd al-Latheif Harzallah dalam semakan mereka ke atas al-Jami’ al-Kabir (nama lain bagi Sunan al-Tirmizi), hadis no.: 2107.
Soalan: Apakah Keutamaan Doa Ketika Hujan?
Jawapan:
Terdapat beberapa riwayat yang menerangkan bahawa saat dimakbulkan doa adalah apabila hujan sedang turun. Semua riwayat tersebut beserta jalan-jalan periwayatannya memiliki kelemahan namun ia saling menyokong antara satu sama lain sehingga dapat diangkat ke darjat hasan. Salah satu daripadanya adalah,
اطْلُبُوا اسْتِجَابَةَ الدُّعَاءِ عِنْدَ الْتِقَاءِ الْجُيُوشِ، وَإِقَامَةِ الصَّلَاةِ، ونُزُولِ الْغَيْثِ.
Carilah saat-saat dimakbulkan doa ketika bertembung dua pasukan (muslim dan kafir), ketika didirikan solat dan ketika turunnya hujan.[1]
Dalam sebuah riwayat lain,
ثِنْتَانِ مَا تُرَدَّانِ الدُّعَاءُ عِنْدَ النِّدَاءِ وَتَحْتَ المَطَرِ.
Dua suasana doa tidak ditolak, ketika azan dilaungkan dan di bawah hujan.[2]
Oleh itu dianjurkan berdoa ketika hujan sedang turun.
Notakaki:
[1] Hasan: Dikeluarkan oleh al-Baihaqi dalam Ma’rifah al-Sunan wa al-Atsar, hadis no.: 7236 (Kitab al-Istisqa’, Bab mencari saat dimakbulkan doa ketika hujan turun). Berkata al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah, hadis no.: 1469 bahawa sanadnya mursal tetapi dapat diangkat ke darjat hasan. Lihat juga penjelasan Syu’aib al-Arna’uth dalam semakannya ke atas Sunan Abu Daud, notakaki bagi hadis no.: 2540 (Kitab al-Jihad, Bab doa ketika bertemu musuh).
[2] Hasan: Dikeluarkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak, hadis no.: 2534 dan beliau mensahihkannya, dipersetujui sahih oleh al-Dzahabi. al-Sayuthi menghimpunkannya dalam al-Jami’ al-Shogheir dan ia dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih al-Jami’ al-Shogheir, hadis no.: 3078.
Soalan: Apakah Keutamaan Doa Ketika Bersedekah?
Jawapan:
Sedekah adalah satu amal soleh yang amat penting dalam Islam. Sedekah tidak terhad kepada bantuan harta, tetapi luas merangkumi apa jua kelebihan yang dapat dihulurkan kepada orang lain. Orang yang memiliki kekuatan fizikal, dia menyedekahkannya dengan membantu orang lain dalam kerja berat. Orang yang memiliki kelebihan ilmu, dia menyedekahkannya dengan menyampaikan ilmu itu kepada orang lain. Orang yang memiliki kepakaran dalam bidang tertentu, dia menyedekahkannya dengan membimbing orang lain dalam bidang tersebut. Orang yang arif dalam adab berdoa, dia bersedekah dengan mendoakan orang lain. Bahkan orang yang memiliki dusun, dia bersedekah apabila membiarkan orang lain dan haiwan memetik serta memakan buah-buahannya.
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda,
كُلُّ سُلَامَى مِنَ النَّاسِ عَلَيْهِ صَدَقَةٌ، كُلَّ يَوْمٍ تَطْلُعُ فِيهِ الشَّمْسُ.
Pada setiap hari yang matahari terbit padanya, setiap anggota tubuh badan manusia padanya ada tanggungjawab bersedekah.
تَعْدِلُ بَيْنَ الِاثْنَيْنِ صَدَقَةٌ، وَتُعِينُ الرَّجُلَ فِي دَابَّتِهِ فَتَحْمِلُهُ عَلَيْهَا، أَوْ تَرْفَعُ لَهُ عَلَيْهَا مَتَاعَهُ صَدَقَةٌ.
Mendamaikan antara dua orang yang berselisih adalah sedekah, menolong seseorang menaiki kenderaan tunggangannya atau mengangkat barangnya ke atas tunggangannya adalah sedekah.
وَالْكَلِمَةُ الطَّيِّبَةُ صَدَقَةٌ، وَكُلُّ خُطْوَةٍ تَمْشِيهَا إِلَى الصَّلَاةِ صَدَقَةٌ، وَتُمِيطُ الْأَذَى عَنِ الطَّرِيقِ صَدَقَةٌ.
Berkata-kata yang baik adalah sedekah, setiap langkah yang digerakkan untuk solat adalah sedekah dan menyingkirkan duri dari jalan adalah sedekah.[1]
Page 3 of 67
![]() | |
Hubungi Penulis di: 019-3848467 (SMS sahaja) |