Article Index



Beberapa Kritik Atas Ilmu Tasawuf dan Jawapannya.

Menjadi lumrah manusia bahawa setiap yang baik itu pasti menerima kritikan dan ilmu tasawuf tidak terkecuali. Berikut kita akan kupas secara ringkas tiga kritikan yang paling lazim dilontarkan kepada ilmu tasawuf diikuti dengan jawapannya.

Kritikan Pertama:

Istilah “Tasawuf” atau “Sufi” tidak wujud di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Ini menunjukkan bahawa ilmu tasawuf tidak memiliki tempat di dalam Islam.

Jawapan:

Yang penting bukanlah istilah tetapi intipati dan kandungan yang dibawa oleh istilah tersebut. Istilah “Tasawuf” dan “Sufi” memang tidak wujud di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah akan tetapi ilmu dan peranan yang dimiliki olehnya memiliki dasar daripada al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Sesiapa yang lazim mengkaji ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis Nabi akan mendapati kedua-dua sumber yang mulia ini sentiasa memberi perhatian ke arah membersihkan umat Islam daripada sifat-sifat yang tercela sambil menerapkan sifat-sifat mulia sebagaimana yang digariskan di atas.

Apabila mengupas istilah “Tasawuf”, Abu Ishaq al-Syathibi rahimahullah (790H) berkata:[8]

    Merujuk kepada kata “Tasawuf” di sisi mereka (Ahli Tasawuf) ia menghasilkan dua makna: Yang pertama berakhlak dengan akhlak yang baik dan melepaskan diri dari akhlak yang rendah. Yang kedua ialah kebinasaan (الفناء) bagi diri manusia sendiri sedangkan keabadian (البقاء) adalah bagi Tuhan (Allah).

    Kedua-duanya pada penelitian lanjut mengarah kepada makna yang satu. Hanya sahaja yang pertama ditujukan kepada tahap permulaan manakala yang kedua ditujukan kepada tahap akhir. Kedua-dua makna ini adalah satu penyifatan kecuali yang pertama tidak memerlukan kewujudan keadaan rohani (لا يلزمه الحال) manakala yang kedua memerlukan keadaan rohani (يلزمه الحال). Kedua-dua makna tersebut adakalanya diungkap dengan istilah yang lain, yang pertama adalah perbuatan yang dibebankan manakala yang kedua adalah hasil daripada perbuatan tersebut. Oleh itu yang pertama adalah penyifatan yang zahir manakala yang kedua adalah penyifatan yang batin. Perhimpunan kedua-duanya – itulah (yang dinamakan) “Tasawuf.”

    Jika telah sabit hal ini, maka perbicaraan tasawuf dengan makna pertama bukanlah satu bid‘ah kerana sesunguhnya ia hanyalah merujuk kepada makna memahami (تفقه). (Dengan tasawuflah) amal perbuatan dibangunkan dan perkara-perkara yang menjadi penghalangnya dapat dikenali secara terperinci. Termasuklah juga pembaikan ke atas perkara-perkara yang dapat menghindari keburukan. Dan ini adalah pemahaman yang benar (وهو فقه صحيح) yang dasar-dasarnya terdapat di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah yang jelas.[9]