Zikir Jahr vs Zikir Sirr.

Hafiz Firdaus Abdullah 

   Fiqh   Antara sebab saya gemar membaca Majalah i ialah sikap keterbukaan sidang pengarangnya untuk menyiarkan artikel-artikel yang saling mengkritik secara positif lagi ilmiah antara satu sama lain. Contoh terkini ialah artikel dari akhi Mohd Fitri Asmuni berjudul Pandangan Terhadap Artikel ‘Sanggahan Terhadap Zikir Beramai-Ramai Tak Salah’ (edisi Julai 2007, ms. 75). Artikel tersebut mengkritik artikel Dr. Ahmad Farouk Musa berjudul Sanggahan Terhadap “Berzikir Beramai-Ramai Tak Salah” (edisi Feb 2007, ms. 75). Tak silap saya artikel Dr. Ahmad Farouk itu pula asalnya mengkritik sebuah artikel lain sebelumnya.

Yang saya maksudkan “secara positif” ialah kritikan yang bersikap beradab lagi membina. Manakala yang saya maksudkan secara ilmiah ialah kritikan yang dipenuhi dengan dalil-dalil al-Qur’an dan al-Sunnah serta hujah para ilmuan. Lawan dari dua sikap ini ialah kritikan yang kasar, biadap lagi emosi. Dalam tulisan ini, saya akan mengkritik semula penulisan akhi Mohd Fitri. Saya akan cuba sedaya upaya mengikuti manhaj beliau yang positif lagi ilmiah.

Pertama: Sumber agama ialah al-Qur’an dan al-Sunnah.

      Akhi Mohd Fitri membuka artikelnya di perenggan kedua (ms. 75) dengan penegasan bahawa “para ulama’ adalah golongan yang paling takut kepada Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w.. Tidak akan keluar dari bibir dan peluh keringat mereka sekumit pandangan melainkan ianya didasari oleh petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah.

   Penegasan ini adalah benar, akan tetapi ingin saya memperincikannya bahawa sumber agama ialah al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih, diikuti dengan dalil-dalil agama yang lain seperti ijma’, qiyas, maslahah mursalah, pendapat sahabat dan lain-lain. Ada pun para ulama, peranan mereka ialah menyampaikan al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih serta berijtihad dalam persoalan yang didiamkan oleh dua sumber tersebut. Sumber agama bukanlah para ulama’. Berpijak dari sini terdapat dua perkara penting yang ingin digariskan:

      Pertama: Jika berlaku perselisihan antara pendapat ulama dengan al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih, maka al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih diunggulkan di atas pendapat para ulama. Kemudian, jika berlaku perselisihan pendapat di antara para ulama, maka diunggulkan pendapat yang paling mendekati al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Semua ini adalah berdasarkan firman Allah yang bermaksud:

      Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. [al-Nisa’, ayat 59]

      Kedua: Tidak semua individu yang memakai jubah ulama’ dapat diiktiraf sebagai ulama’. Di antara mereka ada yang benar-benar ikhlas lagi jujur menegakkan kebenaran. Pemikiran, ucapan dan penulisan mereka menepati al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih berdasarkan kefahaman al-Salaf al-Shalih. Individu seperti ini adalah ulama’ yang diiktiraf. Ulama’ seperti ini patut menjadi rujukan umat Islam. Sekali pun sekali-sekala mereka berbuat silap, kesilapan tersebut tidak menjatuhkan martabat mereka sebagai ulama’.

      Di antara mereka ada yang benar-benar ingin menjauhkan umat Islam dari al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Mereka memiliki agenda lain seperti kepentingan diri sendiri, mazhab atau parti. Individu seperti ini tidak boleh digelar sebagai ulama’. Wajib menjelaskan kepada orang ramai akan kerosakan dan keburukan mereka. Antara contoh individu yang duduk dalam kategori kedua ini ialah Hasan Ali al-Saqqaf yang dirujuk oleh akhi Mohd Fitri dalam artikelnya di ms. 77.

 Hasan Ali al-Saqqaf terkenal di tuduh sebagai Syiah yang berselindung di sebalik jubah al-Asya‘irah. Dalam karya-karya dia terdapat banyak bukti pendustaan, pengubahan dan penyelewengan. Saya telah membuktikan sebahagian besar darinya dalam buku saya Pembongkaran Jenayah Ilmiah Buku Salafiyah Wahabiyah Satu Penilaian terbitan Jahabersa, Johor Bahru.

      Oleh itu pesan saya kepada akhi Mohd Fitri dan para pembaca sekalian, hendaklah menyemak latar belakang seseorang individu sebelum menganggapnya sebagai ulama’. Paling penting, hendaklah disemak alirannya sama ada Syiah, Muktazilah, Liberal, Anti Hadis atau selainnya.

Kedua: al-Qur’an dan al-Sunnah saling melengkap antara satu sama lain.

      Al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih adalah dua sumber agama Islam. Sekali pun disebut dua sumber, ia sebenarnya adalah satu kerana kedua-duanya adalah wahyu yang bersumber dari Allah. Oleh itu al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih adalah sumber yang saling melengkap, menjelas dan memperinci antara satu sama lain.

      Jika dikaji pelbagai aliran yang menyelisihi Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah dari dulu hingga kini, akan di dapati aliran-aliran tersebut juga mendasari pendapat mereka kepada al-Qur’an dan al-Sunnah. Hanya sahaja mereka memisah-misahkannya dengan mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian. Berbeza dengan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, kita berpegang kepada keseluruhan al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih tanpa memisah-misahkannya. Lebih lanjut berkenaan manhaj Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah dalam berinteraksi dengan kedua sumber wahyu di atas, silalah mengkaji buku saya Marilah Berkenalan Dengan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah terbitan Jahabersa, Johor Bahru.

      Merujuk kepada artikel akhi Mohd Fitri, terdapat dua hujah beliau yang perlu dianalisa semula:

      Pertama: Akhi Mohd Fitri (ms. 75-76) menggunakan hadis Ibn ‘Abbas r.a. bahawa dia dapat mengetahui selesainya solat dengan kedengaran suara zikir dan takbir sebagai dalil dibolehkan zikir secara jahr. Hadis tersebut memang sahih, tetapi tidak boleh memisahkannya dari keumuman firman Allah: Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut dan dengan tidak pula menyaringkan suara (jahr), pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai. [al-A’raaf, ayat 205]

      Gandingan antara hadis Ibn ‘Abbas dan ayat 205 surah al-A’raaf menunjukkan bahawa hukum asal bagi zikir ialah dengan suara yang perlahan (sirr). Ada pun hadis Ibn ‘Abbas, sebagaimana jelas jumhur ilmuan, ia hanyalah dalam rangka mengajar makmum bacaan zikir. Apabila makmum sudah pandai dengan bacaan zikir, maka ia dibaca secara sirr. Ini sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Dr. Ahmad Farouk dalam artikelnya, ms. 76.

      Sebagai tambahan, hadis Ibn ‘Abbas tidak boleh dijadikan dalil untuk membenarkan amalan zikir secara jahr yang dilakukan di Malaysia selepas solat berjamaah. Ini kerana zikir-zikir yang dibaca secara jahr tersebut, tidak satu jua yang berasal dari al-Sunnah yang sahih melainkan telah ditokok tambah lafaz atau jumlah bilangannya. Jika hendak melakukan zikir secara jahr atas tujuan mengajar, hendaklah diajar zikir yang diajar oleh Rasulullah s.a.w..

Kedua: Akhi Mohd Fitri (ms. 77) menukil pendapat Imam Fakh ar-Razi dan Imam al-Alusi bahawa ayat 205 surah al-A’raaf hendaklah ditafsir dengan ayat 110 surah al-Isra’ yang bermaksud: Dan janganlah engkau nyaringkan (jahr) bacaan doa atau solatmu juga janganlah engkau perlahankannya, dan gunakanlah sahaja satu cara yang sederhana antara itu.

      Setelah menukil pandangan dua Imam tafsir di atas serta ayat 110 surah al-Isra’, akhi Mohd Fitri menulis: “Oleh itu ayat ini menunjukkan kepada keharusan zikir secara perlahan dan jahar.” Beliau juga membuat kesimpulan di akhir artikel (ms. 77): “Dalil-dalil yang dibentangkan menunjukkan keharusan zikir jahar.”

      Saya musykil bagaimana beliau dapat sampai kepada kesimpulan boleh zikir secara jahr padahal ayat 110 surah al-Isra turut menggunakan istilah jahr, bermaksud dilarang berdoa atau solat secara jahr. Jika dikatakan ayat 110 surah al-Isra’ saling menafsiri dengan ayat 205 surah al-A’raaf, maka kedua-duanya menggunakan istilah jahr, bererti tidak boleh zikir secara jahr. Justeru strategi menggandingkan ayat 110 surah al-Isra’ dengan ayat 205 surah al-A’raaf adalah betul, tetapi kesimpulan yang dibuat darinya adalah salah.

      Tempat terpenting bagi zikir ialah di dalam hati. Ada pun sebutannya, maka ada empat cara sebutan di mana hanya satu yang betul:

  1. Zikir tanpa menggerak-gerakkan lidah dan bibir. Inilah zikir yang dilarang oleh oleh ayat 110 surah al-Isra’. Perkataan tukhafit dalam ayat 110 berasal dari kata khafata yang bererti merahsiakannya. Jika sekali pun ada gerakan lidah dan bibir, ia sangat perlahan sehingga tidak dapat didengar oleh pembacanya atau oleh orang di sebelahnya.
  2. Zikir dengan gerakan lidah dan bibir yang menghasilkan suara perlahan sehingga dapat didengar oleh orang yang berzikir serta orang yang berada di sebelahnya. Inilah yang disebut sebagai zikir sirr yang diperintah oleh ayat 110 surah al-Isra’.
  3. Zikir dengan getaran kotak suara di kerongkong yang menghasilkan suara yang dapat didengar oleh orang di sekeliling. Inilah yang disebut sebagai zikir jahr yang dilarang oleh ayat 205 surah al-A’raaf dan ayat 110 surah al-Isra’.
  4. Zikir dengan jeritan yang mengeluarkan udara dari kerongkong sehingga dapat didengari oleh orang yang jauh. Zikir seperti ini dilarang berdasarkan hadis Abu Musa al-Asya‘ari r.a. yang dikemukakan oleh Dr. Ahmad Farouk dalam artikelnya, ms. 75.

Ketiga: Tidak boleh menokok tambah di atas al-Qur’an dan al-Sunnah.

      Akhi Mohd Fitri (ms. 76) telah mengemukakan beberapa hadis sahih yang semuanya menerangkan keutamaan majlis zikir, kelompok zikir dan zikir di kalangan orang ramai. Saya mengetahui bahawa dalam bab ini terdapat banyak lagi hadis-hadis yang sahih. Akan tetapi persoalannya, bagaimana hadis-hadis yang menerangkan keutamaan majlis zikir, kelompok zikir dan zikir di kalangan orang ramai dapat ditarik menjadi dalil zikir secara jahr?

      Ini kerana sesuatu ibadah yang dilakukan secara beramai-ramai tidak semestinya bererti dilakukan secara jahr. Satu contoh mudah ialah solat berjamaah. Ia adalah satu ibadah yang dilakukan secara beramai-ramai. Akan tetapi ini tidak bererti ia dilaksanakan secara jahr. Sama-sama kita ketahui bahawa solat Zohor dan Asar dilakukan secara sirr manakala solat Subuh, Maghrib dan Isyak dilakukan secara jahr. Yang membezakan antara sirr dan jahr bukanlah ulama’ tetapi dalil al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.

      Kembali kepada hadis-hadis keutamaan majlis zikir, kelompok zikir dan zikir di kalangan orang ramai, di manakah dalil al-Qur’an dan/atau al-Sunnah yang sahih untuk mengatakan bahawa ia dilaksanakan secara jahr? Sejauh kajian saya tidak ada. Bahkah yang ada ialah dalil yang melarangnya, iaitu ayat 205 surah al-A’raaf dan ayat 110 surah al-Isra’.

      Contoh mudah meraih keutamaan dari hadis-hadis tersebut ialah apa yang lazim dilakukan oleh para jamaah di masjid sementara menunggu azan solat Jumaat. Di antara jamaah ada yang mendirikan solat sunat mutlak, ada yang membaca al-Qur’an, ada yang berzikir, ada yang berselawat dan ada yang membaca buku. Semua ini masuk dalam pengertian zikir yang dianjurkan oleh hadis-hadis di atas. Yang penting, masing-masing melakukannya secara sirr dan bukan jahr. Jika dilakukan secara secara jahr, nescaya akan mengganggu jamaah di sekeliling.

      Kesimpulannya, menggunakan hadis-hadis keutamaan majlis zikir, kelompok zikir dan zikir di kalangan orang ramai sebagai dalil zikir secara jahr ialah menokok tambah di atas al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Bahkan menyelisihi perintah ayat 205 surah al-A’raaf dan ayat 110 surah al-Isra’. Ada pun pendapat beberapa ulama’ yang membolehkan zikir jahr berdasarkan hadis-hadis keutamaan tersebut, maka ayat 59 surah al-Nisa’ memerintahkan kita untuk kembali kepada al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.

      Di sini ingin saya tambah bahawa terdapat juga orang yang menggunakan hadis-hadis keutamaan majlis zikir, kelompok zikir dan zikir di kalangan orang ramai sebagai dalil untuk zikir secara jahr dan serentak. Sekali lagi, sesuatu ibadah yang dilakukan secara beramai-ramai tidak semestinya bererti dilakukan secara serentak. Sebagai contoh bandingkan antara solat berjamaah dan tawaf di Ka’bah. Kedua-duanya dilakukan secara beramai-ramai. Akan tetapi solat jamaah dilakukan secara serentak manakala tawaf tidak. Di kalangan orang yang tawaf, ada yang dalam pusingan pertama, ada yang dalam pusingan keenam, ada yang berlari-lari anak, ada yang berjalan pantas dan ada yang berjalan perlahan. Di antara solat jamaah dan tawaf, yang membezakan antara serentak atau bersendirian ialah dalil al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.

      Kembali kepada hadis-hadis yang menerangkan keutamaan majlis zikir, kelompok zikir dan zikir di kalangan orang ramai, pihak yang melakukannya secara serentak perlu memiliki dalil al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Sejauh kajian saya, dalil sedemikian tidak ada.

Keempat: Ayat 205 surah al-A’raaf dan ayat 110 surah al-Isra’ tetap sah.

      Akhi Mohd Fitri seterusnya dalam ms. 77 menukil kata-kata Imam al-Sayuthi bahawa: “Makna yang terkandung di dalam ayat tersebut telah hilang. Apabila hilang ‘illatnya (sebab) maka hilanglah larangannya.” Ringkasnya, apa yang cuba disampaikan oleh Imam al-Sayuthi ialah sebab (‘illat) di sebalik ayat 205 surah al-A’raaf dan ayat 110 surah al-Isra’ sudah hilang selepas Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah. Ini kerana sebab (‘illat) larangan jahr di sebalik kedua-dua ayat tersebut ialah supaya orang-orang musyrik tidak mencela ayat-ayat al-Qur’an yang dibaca oleh umat Islam ketika di Mekah. Hujah ini ditolak dari dua sudut:

      Sudut Pertama: Sesungguhnya ‘illat membaca al-Qur’an secara jahr bukan sahaja untuk mengelak daripada dicela oleh orang musyrik tetapi juga daripada menganggu orang lain yang sedang beribadah. Imam Ahmad mengeluarkan sebuah hadis yang dinilai sahih oleh Syaikh Syu‘aib al-Arna‘uth (Musnad Ahmad, hadis no: 19022) bahawa: al-Bayaadhiyyi r.a. berkata:

      Nabi s.a.w. pada suatu ketika keluar kepada orang ramai. Didapatinya banyak orang bersolat dan banyak pula yang mengeraskan suara dalam membaca al-Qur’an. (Melihat yang sedemikian, baginda bersabda: “Sesungguhnya orang yang bersolat itu sedang munajat atau bercakap-cakap dengan Tuhannya ‘Azza wa Jalla, maka seharusnya dia mengetahui apa yang dipercakapkan itu! Dan janganlah pula sebahagianmu mengeraskan suaranya (jahr) mengatasi yang lain dalam membaca al-Qur’an”.

      Sudut Kedua: Para ulama’ umat Islam yang diiktiraf sejak zaman sahabat sehingga mutakhir tidak ada yang menganggap ayat 205 surah al-A’raaf dan ayat 110 surah al-Isra’ sudah dibatalkan sehingga larangannya boleh diabaikan. Jika hendak dikatakan sesuatu ayat atau hadis dapat dibatalkan kerana ‘illat di sebaliknya telah dihilangkan oleh peradaban zaman, nescaya hampir keseluruhan ayat al-Qur’an dan hadis Rasulullah s.a.w. dapat diabaikan pada masa kini. Tidak ada yang mengemukakan hujah seperti ini melainkan aliran Islam Liberal. Justeru yang benar ayat 205 surah al-A’raaf dan ayat 110 surah al-Isra’ masih tetap sah sehingga masa kini dan seterusnya hingga ke tiupan sangkakala.

      Ada pun pendapat Imam al-Sayuthi, maka beliau sendiri telah menyelisihinya dalam kitab beliau yang lain berjudul Tafsir Jalalain. Ketika menafsirkan ayat 205 surah al-A’raaf pada kalimah “…dan dengan tidak pula menyaringkan suara (jahr)…”, beliau menjelaskannya sebagai: “usahakanlah di antara keduanya”, iaitu di pertengahan antara zikir di dalam hati dan jahr. [Tafsir Jalalain dikarang oleh Imam Jalal al-Din al-Sayuthi dari surah al-Baqarah hingga surah al-Isra’ dan oleh Imam Jalal al-Din al-Mahalli dari surah al- Kahf hingga surah al-Nas, diikuti surah al-Fatihah]

Kelima: Hadis Ibn Mas‘ud.

      Akhir sekali, akhi Mohd Fitri dalam ms. 77 menukil kata-kata Imam al-Sayuthi yang meragui sama ada hadis Ibn Mas‘ud r.a. yang melarang zikir secara jahr dapat dijadikan hujah. Hadis Ibn Mas‘ud tersebut secara lengkap telah dikemukakan oleh Dr. Ahmad Farouk dalam artikelnya di ms. 77-78.

      Keraguan Imam al-Sayuthi ini dapat ditolak dengan merujuk kepada kitab beliau yang lain berjudul al-Amr bi al-Ittiba’ wa al-Nahyu ‘an al-Ibtida’ (Dar Ibn al-Qayyim, Riyadh), ms. 49 (Bab perbezaan antara sunnah dan bid‘ah) di mana Imam al-Sayuthi sendiri telah mengemukakan hadis yang sama (dengan lafaz yang lebih ringkas) sebagai hujah untuk menjelaskan perbezaan antara Sunnah dan Bid‘ah.

Kesimpulan.

      Pada satu pagi pada 31 Ogos 2007, ada satu orang bersolat sunat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Dalam solatnya itu, dia bersujud terlebih dahulu kemudian bangun untuk rukuk. Setelah selesai, orang ramai yang menyaksikan beliau bertanya: “Ya akhi, anda solat apa?” Dia menjawab: “Saya solat sunat Hari Merdeka.” Orang ramai membalas balik: “Itu satu bid‘ah! Mana ada solat sunat Hari Merdeka? Lagi pun, dalam solat kita rukuk terlebih dahulu, kemudian sujud.”

      Orang yang solat itu menggeleng kepala dan menjawab: “Isy! Isy! Tidakkah kalian semua membaca dalam al-Qur’an? Terdapat banyak ayat yang bermaksud: ‘Dan dirikanlah solat’. Disebabkan Allah menyuruh kita bersolat, maka saya pun bersolatlah. Tak kira apa solatnya sama ada kerana Hari Merdeka, Hari Pekerja atau Hari Warga Tua. Dalam al-Qur’an, perkataan sujud berulang 46 kali manakala perkataan rukuk berulang 7 kali. Maka sujud lebih utama dari rukuk, lalu saya mendahulukan sujud daripada rukuk. Kenapa kalian mengatakan aku melakukan bid‘ah? Semua ini ada dalam al-Qur’an!”

      Dalam contoh di atas, orang yang bersolat itu juga memiliki dalil. Tetapi apakah dalil tersebut dia gunakan secara betul? Saya yakin ramai pembaca yang menggeleng kepala. Mesej yang ingin saya bawa ialah, dalil al-Qur’an dan al-Sunnah saja tidak cukup. Kaedah penggunaan dalil mestilah juga betul.

      Selain itu, manhaj Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah ialah menghimpun semua ayat al-Qur’an dan hadis Rasulullah s.a.w. yang sahih, menggabungkannya dan mengkajinya. Setelah itu barulah dilakukan sesuatu ibadah berdasarkan hasil himpunan, gabungan dan kajian tersebut. Berbeza dengan aliran yang menyelisihi Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, mereka melakukan ibadah kemudian barulah mencari dalil untuk menjustifikasikannya.

      Zikir secara jahr dan serentak adalah satu amalan yang dicipta tanpa dalil. Apabila dipersoalkan, barulah orang-orang yang melakukannya bertungkus lumus mencari dalil untuk menjustifikasikannya. Pada mata kasar, ia kelihatan betul. Akan tetapi dengan sedikit penelitian, ternyata ia salah.

      Saya harap melalui penulisan ini saya bukan sekadar mengkritik hujah-hujah zikir secara jahr, tetapi juga dapat menerangkan kepada para pembaca semua kaedah penggunaan dalil yang betul. Perkara ini hendaklah dicermati oleh semua, bukan sahaja dalam bab zikir tetapi dalam semua persoalan agama.