Article Index


Tidak Termasuk Fiqh al-Awlawiyat.
      Ukuran sama ada sesuatu perkara adalah utama atau tidak bukan bergantung kepada semangat atau kecenderungan peribadi, tetapi bergantung kepada dalil dan hujah. Kadangkala kita mendengar orang-orang yang kononnya memiliki “wawasan besar terhadap agama” melaungkan kata-kata “Persoalan wudhu’ dan zikir hal kecil, persoalan negara Islam dan Palestin hal besar! Jangan disibuk-sibukkan dengan hal kecil!”. Kenyataan ini salah paling kurang dari dua sudut:

1. Jika dikaji sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, akan didapati baginda memberi perhatian yang besar sekalipun terhadap perkara yang mungkin di sisi sebahagian orang dianggap kecil. Ambil saja contoh bab wudhu’, baginda pernah melihat sebahagian sahabat berwudhu’ tetapi mereka tidak membasuh tumit kaki mereka dengan sempurna. Melihat yang sedemikian Rasulullah menegur beberapa kali dengan suara yang tegas lagi tinggi:

وَيْلٌ لِلأَعْقَابِ مِنْ النَّارِ!

  Celakalah tumit-tumit (yang bakal terkena) api neraka! [Shahih al-Bukhari, hadis no: 60]


Nah! Persoalan tumit yang tidak terkena air mungkin dianggap kecil oleh orang yang memiliki “wawasan besar terhadap agama”. Akan tetapi di sisi Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, ia tetap merupakan isu besar yang perlu ditegur serta merta secara tegas.

2. Jika seorang muslim cuai dan jahil dalam persoalan “kecil”, lalu bagaimana mungkin dia dianggap mampu bersikap cemerlang dan bijak dalam persoalan “besar”? Tentu saja tidak. Maka tidak hairanlah kita lazim mendengar atau membaca pandangan-pandangan yang lebih mafsadat dari maslahat dari orang-orang yang konon memiliki “wawasan besar terhadap agama” dalam isu negara Islam, Palestin dan pemulauan barangan negara Barat.

Penutup.
      Para tokoh generasi awal umat Islam (al-Salaf al-Shalih) pernah berpesan, seorang muslim yang bijak bukanlah mereka tahu membezakan antara yang halal dan haram. Akan tetapi dia ialah seorang yang mampu membezakan antara dua perkara yang halal, manakah yang lebih utama untuk diambil dan antara dua perkara yang haram, manakah yang lebih utama untuk dijauhkan.

      Semoga risalah ringkas ini berkenaan Fiqh al-Awlawiyat mampu membawa kita ke arah ciri-ciri muslim yang bijak. Apatah lagi dalam suasana umat Islam sekarang ini yang mundur dalam serba serbi persoalan, janganlah pula kita menjadi mundur dalam persoalan agama kita sendiri.