Article Index


Adab Kedua: Tidak Berbangga-Bangga Dengan Jamaah Sendiri.
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

وَلاَ تَكُونُوا مِنْ الْمُشْرِكِينَ (31) مِنْ الَّذِينَ فَرَّقُوا دِينَهُمْ وَكَانُوا شِيَعًا كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُونَ (32).

Dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang menyekutukan Allah, iaitu orang-orang yang memecah-belahkan agama mereka dan mereka menjadi beberapa golongan. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka. [al-Rum 30:31-32]

Merujuk kepada firman Allah yang bermaksud: “Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka”, maka setiap jamaah tidak boleh berbangga-bangga dengan menganggap diri mereka sebagai yang terbaik. Ini dilarang kerana sikap sedemikian akan melahirkan persaingan yang negatif antara jamaah seperti saling berburuk sangka, saling memfitnah dan saling bermusuhan. Seterusnya sikap ini akan melahirkan jamaah-jamaah yang berpuak-puak dan bersuku-suku.

Sikap yang benar ialah merasa rendah diri lagi serba kekurangan. Sikap ini seterusnya akan melahirkan budaya positif saling memahami, saling bertukar pendapat dan saling bekerja sama antara jamaah. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلاَ تَعَاوَنُوا عَلَى الإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ.

Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya. [al-Maidah 5:02]

Adab Ketiga: Hanya Berpegang Kepada Tali Allah.

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلاَ تَفَرَّقُوا.

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai. [Ali Imran 3:103]
Allah memerintahkan kita untuk hanya berpegang kepada tali-Nya, iaitu menjadikan Allah sebagai satu-satunya sumber ketaatan, arah tujuan, tempat pergantungan, fokus kecintaan, curahan kesetiaan, dasar pembelaan dan sebab kemarahan.

Maka dalam rangka berjamaah, tidak boleh berpegang kepada tali jamaah. Tidak boleh menjadikan jamaah sebagai sumber ketaatan, arah tujuan, tempat pergantungan, fokus kecintaan, curahan kesetiaan, dasar pembelaan dan sebab kemarahan. Justeru dalam rangka berjamaah, hendaklah diperhatikan perkara-perkara berikut:

1.    Pemimpin jamaah (amir) tidak boleh mengeluarkan syarat yang bertentangan dengan perintah larangan Allah. Seorang amir tidak boleh melarang ahlinya daripada mengikuti majlis-majlis ilmu yang di dalamnya disampaikan ayat-ayat Allah dan hadis-hadis Rasulullah atau melarang ahlinya daripada menyertai aktiviti agama yang tidak termasuk dalam senarai aktiviti jamaahnya. Allah Subhanahu wa Ta'ala memberi amaran keras kepada orang yang melarang orang lain daripada jalan-Nya:
أَلاَ لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الظَّالِمِينَ (18) الَّذِينَ يَصُدُّونَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ وَيَبْغُونَهَا عِوَجًا.

Ketahuilah (sesungguhnya) laknat Allah tertimpa kepada orang-orang yang zalim! (Iaitu) orang-orang yang menghalang dirinya sendiri dan orang lain dari jalan Allah dan berusaha supaya jalan itu menjadi bengkok terpesong. [Hud 11:18-22]

2.    Ahli jamaah tidak boleh mentaati syarat pemimpin jamaah yang bertentangan dengan perintah larangan Allah, iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah. Mentaatinya bererti melakukan maksiat dan dalam hal ini Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah mengingatkan:

السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِمَعْصِيَةٍ فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلاَ سَمْعَ وَلاَ طَاعَةَ.

Diwajibkan mendengar dan taat (kepada pemimpin) ke atas setiap muslim sama ada dalam hal yang dia suka atau benci selagi mana dia tidak diperintah untuk melakukan maksiat. Jika dia diperintah melakukan maksiat maka tiada wajib mendengar dan tidak wajib taat.

3.    Perasaan gembira dan sedih, suka dan marah, redha dan benci, Wala’ (kesetiaan) dan Bara’ (tidak setia) tidak boleh dibataskan kepada hal-ehwal jamaah. Sebaliknya hendaklah didasari kepada hal-ehwal agama dan umat. Sebagai contoh:
  • Hendaklah merasa marah seandainya umat Islam diperangi, bukan marah kepada ahli jamaah yang tidak aktif (futur) atau yang ingin keluar jamaah (bughat dan mutasakitun).
  • Hendaklah merasa gembira seandainya dapat menjemput orang bukan Islam memeluk Islam, bukan sedih jika tidak dapat mengkader ahli baru ke dalam jamaahnya.
  • Hendaklah setia (Wala’) kepada seluruh umat Islam, membela mereka, mengunggulkan mereka, mencintai mereka dan membantu mereka. Sikap Wala’ tidak boleh dibataskan kepada jamaah sahaja kerana:
إِنَّمَا وَلِيُّكُمْ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلاَةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُونَ
(55) وَمَنْ يَتَوَلَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا فَإِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمْ الْغَالِبُونَ (56)

Sesungguhnya Wali kamu tidak lain hanyalah Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang beriman yang mendirikan solat dan menunaikan zakat sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah).

Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman itu Walinya (maka mereka itulah golongan Allah), kerana sesungguhnya golongan Allah itulah yang tetap menang. [al-Maidah 5:55-56]