Asal usul pembahagian Tauhid Uluhiyah dan Rububiyah.allah.gif

Dari marwan mohamad 
Sun, 01 Jun 2003 10:28:38 +0800

Assalamualaikum ...

Saya ada menerima satu email ... agak terkejut kandungan nya ... adakah benar semua ini ? Tolong jelaskan ...

Sat, 17 May 2003 22:19:31 -0700 (PDT)
ULUHIYYAH DAN RUBUBIYYAH
Suatu Kerapuhan Aqidah Uluhiyyah dan Rububiyyah Ciptaan Ibnu Taimiyah
Pembahagian tauhid kepada dua iaitu tauhid uluhiyyah dan tauhid rububiyyah telah dicipta dan dipelopori oleh Ibnu Taimiyyah Al Harrani (wafat 728H). Pembahagian seperti ini boleh mengelirukan terutamanya orang awam yang kurang mendalami ilmu. Kegelincirin Dari Landasan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. 

Tidak pernah disebut di dalam sunnah nabawiyah bahawa tauhid itu terbahagi kepada uluhiyyah dan rububiyyah. Dan bahawa mereka yang tidak mengerti tauhid uluhiyyah adalah yang mengetahui tauhid rububiyyah sebagaimana yang diketahui oleh golongan musyrikin. Perkara ini tidak pernah disebut langsung oleh mana-mana sahabat, tabi`in mahupun atba` tabi`in termasuklah Imam Ahmad bin Hanbal sebagai mana yang didakwa oleh Ibnu Taimiyah. Malah tidak terdapat juga di dalam karya-karya murid-muridnya yang terkenal, Ibnu Al Jauzi dan Al Hafiz Ibnu Kathir.

Jawapan:

wa'alaikumussalam warahmatullah,

Saya dapati persoalan yang ditimbulkan ialah asal usul istilah dan kefahaman antaranya.

Perlu dibezakan, bahawa istilah mungkin sahaja direka cipta manusia asalkan kandungan istilah tersebut menepati al-Qur'an dan al-Sunnah. Contohnya "Rukun solat 13 perkara" tidak pernah disebut oleh al-Qur'an dan al-Sunnah, sama ada dari sudut penamaan atau pembahagian 13 perkara. Namun semua intipati 13 rukun tersebut kandungannya memiliki asas daripada al-Qur'an dan al-Sunnah yang sahih.

Justeru yang penting bukanlah istilah tetapi kandungan yang dibawa oleh istilah tersebut.

Kedua, kefahaman atau kekeliruan antara Tauhid Uluhiyah, Rububiyah dan Asma wa Sifat adalah satu faktor kemanusiaan (Human factor) yang bergantung kepada sikap (attitude) dan arah pemikiran seseorang. Jika seseorang itu memiliki sikap yang positif serta pemikiran yang sentiasa terbuka, maka dia akan memahaminya, bahkan segala perkara yang rumit lagi mendalam akan difahami dengan mudah. Akan tetapi jika seseorang itu memiliki sikap yang negatif dan pemikiran yang tertutup, dia tidak akan memahaminya, bahkan sekalipun terhadap perkara-perkara yang mudah.

Justeru asal masalah ialah faktor kemanusiaan dan bukannya selain itu.

Sedikit sebagai tambahan, dan ini sebagai bukti akan kekosongan nilai ilmiah yang terkandung di dalam artikel tersebut. Pengarangnya telah menamakan Ibnu al-Jauzi sebagaimana anak murid Ibnu Taimiyyah padahal Imam Ibn al-Jauzi yang meninggal dunia pada tahun 597H tidak pernah bertemu dengan Imam Ibn Taimiyah yang meninggal dunia pada tahun 728H. Justeru bagaimana mungkin dikatakan Ibn al-Jauzi adalah anak murid Ibn Taimiyah ? Jika hal semudah ini dia telah terkeliru, pasti bertambah kelirulah dia di dalam hal lain yang lebih besar.