36 Kritikan Ke Atas Buku
Amalan Sunnah Selepas Solat Dan Kelebihannya

 

Hafiz Firdaus Abdullah

 
 

 

 

 

# 1: Isu Lapok, Panas Atau Khilaf?

 

“Sekapur Sireh” menjadi pendahuluan atau muqaddimah untuk buku Amalan Sunnah Selepas Solat Dan Kelebihannya. Namun sekalipun seawal ini, wujud tiga kenyataan yang mengundang kritikan, sekali gus menjadi kritikan pertama. Iaitu:

 

ASSSDK 1:[1]

Di antara isu lapok yang dikaitkan dengan Bida’ah, yang cuba ditimbulkan semula oleh sesetengah pihak yang terpengaruh dengan Fahaman golongan tadi ialah berzikir selepas solat.

 

ASSSDK  2:

Insya-Allah, dengan membaca buku ini, masyarakat akan dapat mengetahui dan memahami dengan jelas dan nyata mengenai segala jawapan terhadap persoalan-persoalan yang ditimbulkan di atas tadi yang sedang PANAS DAN HANGAT diperbahaskan sekarang ini.

 

ASSSDK  2:

Secara ringkasnya saya ingin tegaskan bahawa kita semua mesti menerima hakikat dan realiti bahawa perselisihan pendapat di dalam perkara furu’ dan cabang, dibenarkan di dalam Islam semenjak zaman Rasulullah lagi.

 

 

Kritikan:

Pada awalnya pihak ASSSDK menyatakan isu zikir selepas solat adalah sesuatu yang lapok. Jika demikian, kenapakah mereka berusaha menulis berkenaan satu subjek yang sudah lapok? Bukankah lebih baik dan bermanfaat jika mereka memberi fokus kepada isu yang lebih terkini yang melibatkan kepentingan agama dan umat?

Di pasaran sekarang ini sudah diterbitkan sekian banyak buku yang menghuraikan zikir-zikir selepas solat sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Melalui buku-buku ini umat Islam telah dapat membezakan antara bacaan zikir yang sunnah dan tidak sunnah, antara cara berzikir yang sunnah dan tidak sunnah. Bagi mereka yang mengharapkan keredhaan Allah, balasan baik di Hari Akhirat dan ingin berzikir kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala, maka tentu saja bacaan dan cara zikir Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menjadi pilihan mereka:

 

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

 

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak. [al-Ahzab 33:21][2]

 

Namun di sebalik kenyataan bahawa ia adalah isu lapok, pihak ASSSDK sendiri kemudian menyatakan subjek zikir selepas solat adalah sesuatu yang panas dan hangat diperbahaskan sekarang ini. Justeru di sebalik kenyataan yang saling bertentangan ini, apa yang terserlah adalah pihak ASSSDK sendiri yang sebenarnya menimbulkan semula sesuatu yang sudah lapok itu.

Kemudian pihak ASSSDK menyatakan bahawa perselisihan pendapat adalah sesuatu yang hendaklah diterima hakikatnya. Kelihatannya pihak ASSSDK telah menerima hakikat ini dengan menggunakan perkataan atau bahasa yang kasar, meletakkan dalil al-Qur’an dan hadis bukan pada tempatnya, menyembunyikan perkataan ulama’ yang tidak mereka sukai dan menyelewengkan terjemahan kata-kata ulama’ semata-mata untuk memenangkan hujah. Semua ini bukanlah sikap orang yang menerima hakikat perselisihan pendapat, apatah lagi untuk meraih rahmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala di sebalik perselisihan itu sebagaimana firman-Nya:

 

وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ النَّاسَ أُمَّةً وَاحِدَةً وَلَا يَزَالُونَ مُخْتَلِفِينَ

 

إِلَّا مَن رَّحِمَ رَبُّكَ وَلِذَٰلِكَ خَلَقَهُمْ وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ لَأَمْلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ

 

Dan kalaulah Tuhanmu menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia semuanya umat yang satu. (Tetapi Dia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan.

Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka tidak berselisihan) dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menciptakan manusia. [Hud 11:118-119]

 

Adapun penulisan buku di tangan anda ini, fokus utamanya bukanlah subjek zikir-zikir selepas solat fardhu. Fokus utamanya ialah menerangkan kesalahan manhaj pihak ASSSDK yang cuba membela sunnah tradisional di atas sunnah Rasulullah dalam subjek amalan-amalan selepas solat fardhu. Di samping itu akan dibongkarkan juga kekeliruan dalam mengemukakan dalil, kesalahan dalam memberikan hujah, penyembunyian dalam menukil kata-kata ulama’, penyelewengan dalam menterjemah kata-kata ulama’, kesilapan dalam menjelaskan kata-kata ulama’ dan pelbagai lagi. Jemputlah membaca kritikan-kritikan seterusnya. Para pembaca akan menemui apa yang saya maksudkan.


 

 


[1]               ASSSDK 1 ialah singkatan ke atas tajuk buku yang dikritik, iaitu Amalan Sunnah Selepas Solat Dan Kelebihannya, mukasurat 1.

[2]               Terjemahan ayat-ayat al-Qur’an diambil (copy and paste) dari Tafsir Pimpinan ar-Rahman Kepada Pengertian al-Qur’an oleh Abdullah Basmeih rahimahullah, edisi cdrom The Holy Qur’an v6.31 (www.harf.com)