36 Kritikan Ke Atas Buku
Amalan Sunnah Selepas Solat Dan Kelebihannya

 

Hafiz Firdaus Abdullah

 
 

 

 

 

#11: Kekeliruan Membaca al-Umm.

 

Helah seterusnya ke atas kata-kata al-Syafi’e rahimahullah masih dalam ASSSDK 17:

Imam al-Syafi’e berkata lagi: “Mana-mana imam yang berzikir dengan memuji-muji Allah bersama sifat-sifat yang telah disebut dalam hadis ini atau dengan sifat-sifat yang tidak disebutkan dalam hadis ini, selepas solat fardhu lima waktu, sama ada secara nyaring atau perlahan, maka semuanya itu adalah suatu amalan yang baik.”

 

Kritikan:

Jika kita membaca al-Qur’an lalu merujuk kepada satu ayat sahaja:

فَوَيْلٌ لِّلْمُصَلِّينَ

 

Maka kecelakaan besar bagi orang-orang yang bersolat. [al-Ma’un 107:04], nescaya ia memberi kesan seolah-olah semua orang yang mendirikan solat adalah tercela. Namun jika dibaca ayat seterusnya, dapatlah diketahui bahawa yang dicela hanyalah orang yang mendirikan solat dengan sifat-sifat berikut:

 

الَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ

 

الَّذِينَ هُمْ يُرَاءُونَ

 

وَيَمْنَعُونَ الْمَاعُونَ

 

(laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan solatnya, (juga) orang-orang yang berkeadaan riak (dalam mendirikan solatnya) dan orang-orang yang (bersolat tetapi) tidak memberi pertolongan (kepada orang yang berhak mendapatnya). [al-Ma’un 107:5-7].

Pengajarannya, apabila membaca al-Qur’an, hadis atau kitab-kitab para ulama’, hendaklah dibaca secara keseluruhan. Jangan diambil satu ayat lalu terus membuat kesimpulan tanpa merujuk kepada ayat-ayat yang lain.

Demikianlah juga apabila membaca kitab al-Umm, tidak boleh membaca satu ayat:

 

قال: وأي إمام ذكر الله بما وصفت جهرا أو سرا أو بغيره فحسن.

 

Berkata (al-Syafi’e): “Mana-mana imam yang berzikir kepada Allah dengan apa yang saya sifatkan sebagai kuat, perlahan atau dengan cara selainnya, maka ia adalah baik.”[1] lalu terus membuat kesimpulan seorang imam bebas untuk berzikir secara kuat atau perlahan pada bila-bila masa. Padahal dalam ayat seterusnya al-Syafi’e rahimahullah telah memperincikan bilakah zikir itu dikuatkan dan bilakah ia diperlahankan:

 

وأختار للإمام والمأموم أن يذكرا الله بعد الانصراف من الصلاة

 

ويخفيان الذكر إلا أن يكون إماما يجب أن يتعلم منه فيجهر حتى يرى أنه قد تعلم منه, ثم يسر.

 

(al-Syafi’e berkata): “Aku memilih agar imam dan makmum berzikir kepada Allah selepas selesai daripada solat dan mereka memperlahankan zikir itu kecuali jika imam menyukai untuk (makmum) mempelajari daripadanya (sifat zikir), maka dikuatkan sehingga dia melihat bahawa orang telah mempelajari daripadanya. Kemudian dia memperlahankan suaranya.[2]

 


 

[1]               Kitab al-Umm, jld. 2, ms. 221. Perkataan al-Syafi’e “atau dengan cara selainnya” kemungkinan merujuk kepada perbuatan imam yang terus beredar selepas solat tanpa berzikir. Dalilnya akan dikemukakan dalam kritikan seterusnya, insya-Allah.

[2]               Kitab al-Umm, jld. 2, ms. 221.