36 Kritikan Ke Atas Buku
Amalan Sunnah Selepas Solat Dan Kelebihannya

 

Hafiz Firdaus Abdullah

 
 

 

 

 

#13: Kata-Kata al-Syafi’e Yang Disembunyikan.

 

ASSSDK 17-18:

Saya memilih untuk memberi pendapat kepada imam dan makmum bahawa disunatkan bagi mereka berzikir selepas selesai daripada menunaikan solat fardhu lima waktu secara perlahan melainkan jika imam menghendaki supaya para makmum dapat belajar daripadanya bentuk dan cara berzikir. Di saat ini, maka disunatkan baginya berzikir secara nyaring sehinggalah apabila imam merasakan para makmum telah berjaya mengambil pelajaran daripadanya, maka hendaklah beliau kembali berzikir secara perlahan.

 

Setelah menukil kata-kata al-Syafi’e di atas, pihak ASSSDK membuat kesimpulan:

Petikan kata-kata Imam al-Syafi’e inilah yang digunakan oleh mereka yang mendakwa, tidak boleh berzikir dengan nyaring selepas solat fardhu lima waktu. Mereka langsung tidak cuba mendedahkan kata-kata Imam al-Syafi’e sebelumnya yang mengharuskan bagi imam dan para makmum berzikir dengan nyaring. Cuma pada pendapat Imam al-Syafi’e, yang sebaiknya zikir-zikir tersebut dibaca dengan perlahan, kecuali dengan tujuan mengajar para makmum mengenai zikir-zikir yang sunat dibaca selepas solat fardhu.

 

Kritikan:

Sebelum dilakukan apa-apa kritikan, marilah kita mengkaji keseluruhan kata-kata al-Syafi’e rahimahullah. Kajian ini penting kerana dalam keseluruhan kata-kata itu terdapat sesuatu yang ingin disembunyikan oleh pihak ASSSDK sehingga dapat mengeluarkan kesimpulan palsu umpama di atas. Adapun keseluruhan kata-kata itu, ia adalah seperti berikut:

 

قال الشافعي: وهذا من المباح للإمام وغير المأموم.

 

قال: وأي إمام ذكر الله بما وصفت جهرا أو سرا أو بغيره فحسن.

 

وأختار للإمام والمأموم أن يذكرا الله بعد الانصراف من الصلاة

 

ويخفيان الذكر إلا أن يكون إماما يجب أن يتعلم منه فيجهر حتى يرى أنه قد تعلم منه, ثم يسر.

 

Berkata al-Syafi’e: “Dan ini (berzikir dengan suara kuat) termasuk perkara yang mubah bagi imam, namun bukan untuk makmum.” Berkata (al-Syafi’e lagi): “Mana-mana imam yang berzikir kepada Allah dengan apa yang saya sifatkan sebagai kuat, perlahan atau dengan cara selainnya, maka ia adalah baik. Aku memilih agar imam dan makmum berzikir kepada Allah selepas selesai daripada solat dan mereka memperlahankan zikir itu kecuali jika imam menyukai untuk (makmum) mempelajari daripadanya (sifat zikir), maka dikuatkan sehingga dia melihat bahawa orang telah mempelajari daripadanya. Kemudian dia memperlahankan suaranya.

 

فإن الله عز وجل يقول: {ولا تجهر بصلاتك ولا تخافت بها} يعني والله تعالى أعلم الدعاء

 

ولا تجهر ترفع ولا تخافت حتى لا تسمع نفسك

 

Ini kerana sesungguhnya Allah Azza wa Jalla telah berfirman: “Dan janganlah engkau menyaringkan bacaan doa engkau dan janganlah engkau perlahankannya” [al-Isra’ 17:110] yakni – Allah Ta‘ala sahaja yang Maha Mengetahui – ialah doa. Janganlah engkau kuatkannya, engkau tinggikannya dan janganlah pula engkau terlalu memperlahankannya sehingga tidak didengari oleh diri engkau sendiri.

 

وأحسب ما روى ابن الزبير من تهليل النبي صلى الله عليه وسلم

 

وما روى ابن عباس من تكبيره كما رويناه, وأحسبه إنما جهر قليلا ليتعلم الناس منه.

 

وذلك لأن عامة الروايات التي كتبناها مع هذا وغيرها ليس يذكر فيها بعد التسليم تهليل ولا تكبير.

 

Saya mengira bahawa apa yang diriwayatkan oleh Ibn al-Zubair daripada tahlil Nabi shallallahu 'alaihi wasallam[1] dan apa yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas daripada takbir baginda[2], sebagaimana yang telah kami riwayatkannya (sebelum ini), saya mengira bahawa sesungguhnya ia dikuatkan tidak lain sekadar sedikit agar orang ramai dapat belajar daripada baginda. Ini adalah berdasarkan umumnya riwayat-riwayat yang kami catat bersama ini dan selainnya (di mana) tidak disebut padanya sesudah salam pembacaan tahlil dan tidak juga takbir.

 

وقد يذكر أنه ذكر بعد الصلاة بما وصفت ويذكر انصرافه بلا ذكر وذكرت أم سلمة مكثه

 

ولم يذكر جهرا وأحسبه لم يمكث إلا ليذكر ذكرا غير جهر.

 

Telah disebut bahawa baginda (adakalanya) berzikir selepas solat dengan apa yang saya telah sifatkan, (adakalanya baginda) selesai solat tanpa berzikir[3] dan disebut oleh Umm Salamah berdiamnya baginda seketika (di tempat solatnya) tanpa dinyatakan (adanya zikir yang kuat).[4] Saya mengira baginda tidak duduk berdiam seketika melainkan untuk menyebut zikir yang tidak kuat (sehingga tidak didengar oleh Umm Salamah).[5]

 

Seterusnya marilah kita ulas kata-kata al-Syafi’e ini dan membandingkannya dengan nukilan dan kesimpulan pihak ASSSDK:

1.    Berkata al-Syafi’e rahimahullah: “Aku memilih agar imam dan makmum berzikir kepada Allah……”, ini bukanlah pilihan yang terbuka atau sekadar cadangan, tetapi sebagai perincian kepada apa yang beliau sebut sebelum itu: “Mana-mana imam yang berzikir kepada Allah dengan apa yang saya sifatkan sebagai kuat, perlahan atau dengan cara selainnya, maka ia adalah baik.”

Terjemahan pihak ASSSDK: “Saya memilih untuk memberi pendapat kepada imam dan makmum…” adalah salah kerana ia seolah-olah memberi gambaran al-Syafi’e hanya memberi cadangan kepada pihak imam dan makmum.

 

2.    Jika imam mengingini agar makmum belajar sifat zikir daripadanya, maka imam dibolehkan menguatkan zikir tidak lebih sekadar yang dapat didengar oleh makmum. Ertinya, pilihan menguatkan suara zikir hanya diberi kepada imam, terbatas kepada tujuan mengajar.

Tidak ada langsung bukti sama ada secara tersurat atau tersirat bahawa al-Syafi’e memberi pilihan terbuka lagi mutlak kepada imam dan makmum untuk memilih zikir secara kuat atau perlahan. Justeru perkataan ASSSDK: “Mereka langsung tidak cuba mendedahkan kata-kata Imam al-Syafi’e sebelumnya yang mengharuskan bagi imam dan para makmum berzikir dengan nyaring” adalah batil dan merupakan pendustaan ke atas al-Syafi’e rahimahullah.

 

3.      Wujud kemungkinan bahawa yang dimaksudkan oleh ASSSDK dengan “Mereka langsung tidak cuba mendedahkan kata-kata Imam al-Syafi’e sebelumnya yang mengharuskan bagi imam dan para makmum berzikir dengan nyaring” merujuk kepada terjemahan mereka sebelum itu:Imam al-Syafi’e berkata: “Berzikir dengan nyaring ketika menyebut kalimah-kalimah ini selepas solat fardhu adalah diharuskan bagi imam dan sesiapa yang solat bersendirian.” Sekalipun dengan kemungkinan ini, ia tetap batil kerana terjemahan itu adalah salah dan dalam kesalahan itu, yang dianggap boleh berzikir dengan kuat ialah orang yang solat bersendirian dan bukannya para makmum.

 

4.    Wujud kemungkinan kedua bahawa yang dimaksudkan oleh ASSSDK dengan “Mereka langsung tidak cuba mendedahkan kata-kata Imam al-Syafi’e sebelumnya yang mengharuskan bagi imam dan para makmum berzikir dengan nyaring” merujuk kepada terjemahan mereka sebelum itu: “Imam al-Syafi’e berkata lagi: “Mana-mana imam yang berzikir dengan memuji-muji Allah bersama sifat-sifat yang telah disebut dalam hadis ini atau dengan sifat-sifat yang tidak disebutkan dalam hadis ini, selepas solat fardhu lima waktu, sama ada secara nyaring atau perlahan, maka semuanya itu adalah suatu amalan yang baik.” Sekalipun dengan kemungkinan ini, ia tetap batil kerana terjemahan di atas telah ditokok tambah. Adapun kata-kata sebenar al-Syafi’e dan apa yang beliau maksudkan telah diterangkan dalam kritikan-kritikan di atas.

 

5.    Apabila al-Syafi’e menggunakan perkataan “Saya mengira…” ia bukanlah bererti beliau dalam suasana keraguan, tidak pasti atau sekadar memberi cadangan yang lemah, tetapi merupakan sifat tawadhu’ beliau apabila berbicara tentang agama Allah ini. Adapun kesimpulan pihak ASSSDK bahawa: “Cuma pada pendapat Imam al-Syafi’e, yang sebaiknya zikir-zikir tersebut dibaca…” merupakan kelemahan mereka dalam memahami gaya bahasa al-Syafi’e, sekaligus menghasilkan kesilapan dalam merumuskan kesimpulan.

 

Hasil daripada kritikan ini bukan sahaja membuktikan kesalahan pihak ASSSDK, tetapi juga membongkar helah jahat mereka untuk membela amalan imam dan makmum berzikir secara kuat terus menerus selepas solat fardhu di atas nama al-Syafi’e rahimahullah dan Mazhab al-Syafi’e. Di sini juga terserlah bukti yang kukuh bahawa pihak ASSSDK tidak mengikut Mazhab al-Syafi’e, sebaliknya cuba menjadikan al-Syafi’e mengikut mazhab ASSSDK.

 

 

Penjelasan Tambahan:

Berani saya katakan, fenomena berdusta di atas nama al-Syafi’e rahimahullah dan Mazhab al-Syafi’e tidak terbatas kepada kes ASSSDK di atas tetapi meluas kepada sebahagian agamawan yang lain. Mereka dengan mudah berkata “Mengikut Mazhab al-Syafi’e”, “Berdasarkan Mazhab al-Syafi’e”, “Telah dinyatakan dalam Mazhab al-Syafi’e” atau apa-apa lain yang seumpama. Padahal jika kita mengkaji kitab-kitab muktabar Mazhab al-Syafi’e, nescaya yang ditemui adalah jauh berbeza dari apa yang mereka nyatakan.

Bahkan orang-orang yang sama di atas, jika menemui seseorang yang benar-benar mengikuti Mazhab al-Syafi’e, dengan murah hati akan mensedekahkan kata-kata “Si-fulan bukan bermazhab al-Syafi’e”, “si-fulan tidak bermazhab” atau yang paling masyhur “si-fulan seorang wahabi”.

Justeru saya ingin ambil kesempatan ini untuk berpesan kepada para pembaca sekalian untuk tidak terus menerima apa-apa yang disandarkan ke atas Mazhab al-Syafi’e melainkan menyemaknya secara mendalam lagi meluas dalam kitab-kitab muktabar Mazhab al-Syafi’e. Allah Subhanahu wa Ta‘ala mengingatkan kita:

 

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

 

Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya. [al-Isra’ 17:36]

 

 


 

[1]               Ini merujuk kepada hadis berikut:

عَبْدَ اللَّهِ بْنَ الزُّبَيْرِ يَقُولُ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إذَا سَلَّمَ مِنْ صَلاَتِهِ يَقُولُ بِصَوْتِهِ الأَعْلَى:

‘Abd Allah bin al-Zubair, dia berkata: Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam apabila telah memberi salam daripada solatnya, baginda berzikir dengan suara yang tinggi:

لاَ إلَهَ إلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إلاَّ بِاَللَّهِ

وَلاَ نَعْبُدُ إلاَّ إيَّاهُ لَهُ النِّعْمَةُ وَلَهُ الْفَضْلُ وَلَهُ الثَّنَاءُ الْحَسَنُ لاَ إلَهَ إلاَّ اللَّهُ مُخْلِصِينَ لَهُ الدَّيْنَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ.

                [Sahih: Dikeluarkan oleh al-Syafi’e dalam Kitab al-Umm, jld. 2, ms. 220 dan Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 594 (penomboran Fu‘ad ‘Abd al-Baqi)].

[2]               Ini merujuk kepada hadis berikut:

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: كُنْتُ أَعْرِفُ انْقِضَاءَ صَلاَةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالتَّكْبِيرِ.

                Daripada ‘Abd Allah ibn ‘Abbas (radhiallahu 'anhuma): “Saya mengetahui solat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah selesai dengan takbir (yang kedengaran).” [Sahih: Dikeluarkan oleh al-Syafi’e dalam Kitab al-Umm, jld. 2, ms. 219 dan al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 841].

[3]               Ini merujuk kepada hadis berikut:

عَنْ يَزِيدَ بْنِ الأَسْوَدِ, أَنَّهُ صَلَّى مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلاَةَ الصُّبْحِ فَلَمَّا صَلَّى انْحَرَفَ.

Daripada Yazid bin al-Aswadi (radhiallahu 'anh), bahawasanya dia bersolat bersama Nabi shallallahu 'alaihi wasallam solat Subuh. Maka tatkala selesai solat baginda terus pergi. [Sahih: Dikeluarkan oleh al-Nasa’e dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasa’e, hadis no: 1333].

[4]               Ini merujuk kepada hadis berikut:

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَتْ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إذَا سَلَّمَ مِنْ صَلاَتِهِ

قَامَ النِّسَاءُ حِينَ يَقْضِي تَسْلِيمَهُ وَمَكَثَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم فِي مَكَانِهِ يَسِيرًا.

                Daripada Umm Salamah (radhiallahu 'anha), isteri Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, beliau berkata: “Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam apabila memberi salam selepas solatnya, kaum wanita berdiri setelah baginda selesai memberi salamnya sedangkan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam berdiam (tetap duduk) di tempatnya seketika.” [Sahih: Dikeluarkan oleh al-Syafi’e dalam Kitab al-Umm, jld. 2, ms. 219; juga oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 849].

[5]               Kitab al-Umm, jld. 2, ms. 221.