36 Kritikan Ke Atas Buku
Amalan Sunnah Selepas Solat Dan Kelebihannya

 

Hafiz Firdaus Abdullah

 
 

 

 

 

# 14: Meludah Ke Langit, Jatuh Ke Muka Sendiri.

 

ASSSDK 18:

Kesimpulannya tidak ada satu pun pendapat daripada Imam al-Syafi’e atau daripada ulama’-ulama’ lain yang bermazhab Syafi’e atau pendapat daripada mazhab-mazhab lainnya yang menghukumkan berzikir secara nyaring selepas solat fardhu adalah suatu amalan Bida’ah yang menyesatkan.

 

Kritikan:

Di atas adalah kesimpulan yang berpatah balik atas pihak ASSSDK sendiri. Sebabnya:

 

·         Pertama: Pihak ASSSDK gagal mengemukakan walau satu pendapat yang sah daripada Mazhab al-Syafi’e atau mana-mana mazhab lain yang menetapkan sifat zikir selepas solat fardhu adalah terus menerus secara kuat seperti mana yang diamalkan di Malaysia sekarang ini.

·         Kedua: Keempat-empat mazhab tidak berpendapat zikir selepas solat fardhu dilaksanakan secara kuat terus menerus, sepertimana yang dikemukakan sebelum ini daripada kenyataan al-Nawawi rahimahullah: Ibn Baththal dan selainnya menaqal bahawa para tokoh mazhab yang menjadi rujukan umat dan selain mereka bersepakat untuk tidak menyukai meninggikan suara ketika zikir mahupun takbir.[1]

·         Ketiga: Tentu saja para tokoh yang dinukil tulisan mereka oleh pihak ASSSDK tidak membid’ahkan amalan berzikir terus menerus secara kuat selepas solat fardhu. Ini kerana mereka bukan menulis kitab tentang apa yang bid’ah tetapi tentang apa yang sunnah. Sementara yang sunnah bersifat diketahui hingga dapat disenaraikan di dalam kitab mereka manakala yang bid’ah bersifat kepelbagaian yang tidak terbatas (unlimited) hingga tidak tersenarai oleh mereka. Maka apa yang menyelisihi penulisan mereka, maka sudah cukup sebagai petunjuk bahawa ia bukan sunnah.

 

Penjelasan Tambahan (1):

Apabila Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah mengupas persoalan bid’ah, mereka menutup segala jalan-jalan yang mungkin melahirkan pemikiran atau amalan bid’ah yang baru. Sebaliknya apabila Ahl al-Bid’ah mengupas persoalan bid’ah, mereka membuka pelbagai jalan yang memungkinkan lahirnya bid’ah yang baru.

Satu masa nanti akan ada kumpulan A yang berzikir dengan irama rock, jamaah B yang berzikir secara melompat dan tarikat C yang berzikir dalam bahasa Melayu. Lalu apabila ditegur bahawa semua itu adalah bid’ah, mereka akan menjawab seumpama kenyataan ASSSDK di atas: “Tidak ada seorang jua para imam mazhab yang menghukum apa yang kami lakukan sebagai suatu amalan bid’ah yang menyesatkan”.

Ini kerana dalam rangka bermati-matian membela pemikiran dan amalan mereka, Ahl al-Bid’ah atau mereka yang cenderung kepada bid’ah akan mengemukakan apa jua bentuk penghujahan asalkan pemikiran dan amalan mereka dapat dikecualikan daripada kategori bid’ah. Tanpa mereka sedari, bentuk penghujahan yang mereka kemukakan itu akan dipergunakan satu masa nanti oleh pihak-pihak lain untuk mencipta pemikiran dan amalan bid’ah yang baru.

Apabila ini berlaku, dosa bid’ah yang baru itu bukan sahaja berada di bahu pihak lain yang menciptanya di kemudian masa, tetapi juga di atas bahu pihak asal yang telah memberikan hujah bagi mengecualikannya daripada kategori bid’ah satu masa yang lalu. Ini kerana hujah pihak asal telah membuka jalan kepada pelbagai bid’ah baru di kemudian masa. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengingatkan:

 

مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِنْ لأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ لاَ يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا

 

وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلاَلَةٍ كَانَ عَلَيْهِ مِنْ الإِثْمِ مِثْلُ آثَامِ مَنْ تَبِعَهُ لاَ يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ آثَامِهِمْ شَيْئًا.

 

Sesiapa yang menyeru kepada petunjuk maka baginya pahala sepertimana pahala orang-orang yang mengikutinya tanpa dikurangi sedikit jua pahala mereka. Sesiapa yang menyeru kepada kesesatan maka ke atasnya dosa sepertimana dosa orang-orang yang mengikutinya tanpa dikurangi sedikit jua dosa mereka.[2]

 

 

Penjelasan Tambahan (2):

Telah dinyatakan sebelum ini bahawa pihak ASSSDK gagal mengemukakan walau satu pendapat yang sah daripada Mazhab al-Syafi’e atau mana-mana mazhab lain yang menetapkan sifat zikir selepas solat fardhu adalah terus menerus secara kuat seperti mana yang diamalkan di Malaysia sekarang ini.

Namun seandainya pihak ASSSDK mahu merendahkan diri kepada keseluruhan pendapat generasi al-Salaf al-Shalih, nescaya akan ditemui pendapat bahawa di antara mereka ada yang berzikir secara kuat terus menerus selepas solat fardhu, sebagaimana yang dikemukakan oleh al-Nawawi rahimahullah: “…sebahagian salaf menyukai untuk meninggikan suara dengan takbir dan zikir setelah solat fardhu.”[3] Sekalipun pendapat ini tidak sesuai untuk digunakan pada zaman sekarang disebabkan kecenderungannya mendorong kepada amalan bid’ah yang lain, paling kurang ia dapat menjadi satu catatan atau rujukan dalam penulisan ASSSDK.[4]

Ini sebenarnya merupakan satu lagi kesasaran manhaj pihak ASSSDK. Allah Subhanahu wa Ta'ala telah berfirman:

 

وَمَن يُشَاقِقِ الرَّسُولَ مِن بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُ الْهُدَىٰ وَيَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيلِ الْمُؤْمِنِينَ نُوَلِّهِ مَا تَوَلَّىٰ وَنُصْلِهِ جَهَنَّمَ وَسَاءَتْ مَصِيرًا

 

Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran petunjuk (yang dibawanya), dan dia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. [al-Nisa 4:115]

Ayat di atas menjadikan ikutan kepada orang-orang yang beriman sebagai salah satu rujukan agar kita tidak tersasar ke arah kesesatan. Siapakah orang-orang beriman yang sepatutnya kita ikut? Tentu sahaja generasi orang-orang yang pertama beriman kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, diikuti oleh generasi kedua yang mengikuti generasi pertama, diikuti oleh generasi ketiga yang mengikuti generasi kedua dan demikianlah seterusnya.

Ibn Qayyim al-Jauziyah rahimahullah menjelaskan hakikat dan keutamaan ikutan ini:

 

في جواز الفتوى بالآثار السلفية والفتاوي الصحابية, وأنها أولى بالأخذ بها من آراء المتأخرين وفتاويهم,

 

وأن قربها إلى الصواب بحسب قرب أهلها من عصر الرسول صلوات الله وسلامه عليه وعلى آله.

 

Berkenaan kebolehan memberi fatwa berdasarkan pendapat generasi salaf dan fatwa-fatwa para sahabat, sesungguhnya ia lebih utama untuk diambil berbanding pandangan ulama’ terkemudian dan fatwa-fatwa mereka. Ia lebih dekat kepada kebenaran kerana masa hidup mereka lebih dekat kepada masa hidup Rasulullah, semoga selawat dan salam Allah ke atas baginda dan ke atas ahli keluarganya.

 

وأن فتاوى الصحابة أولى أن يؤخذ بها من فتاوى التابعين,

 

وفتاوى التابعين أولى من فتاوى تابعي التابعين,

 

وهلم جرا وكلما كان العهد بالرسول أقرب كان الصواب أغلب,

 

وهذا حكم بحسب الجنس لا بحسب كل فرد فرد من المسائل.

 

Demikian pula fatwa para sahabat lebih utama untuk diambil berbanding fatwa tabi‘in sementara fatwa para tabi‘in lebih utama (untuk diambil) berbanding fatwa tabi’ tabi‘in (orang-orang selepas tabi‘in). Begitulah seterusnya dan setiap masa yang lebih dekat kepada Rasulullah, maka kebenaran akan lebih menonjol. Ketetapan semacam ini berlaku secara umum dan bukan secara rinci dari tiap-tiap permasalahan.

 

كما أن عصر التابعين, وإن كان أفضل من عصر تابعيهم فإنما هو بحسب الجنس لا بحسب كل شخص,

 

ولكن المفضلون في العصر المتقدم أكثر من المفضلين في العصر المتأخر.

 

Sebagaimana pada masa para tabi‘in, ia adalah lebih utama berbanding masa orang-orang (selepas itu) yang mengikuti mereka. Maka keutamaan di sini adalah secara umum dan bukan secara perseorangan. Akan tetapi orang-orang yang memiliki keutamaan pada masa terdahulu lebih banyak berbanding orang-orang yang memiliki keutamaan pada masa terkemudian.

 

وهكذا الصواب في أقوالهم أكثر من الصواب في أقوال من بعدهم;

 

فإن التفاوت بين علوم المتقدمين والمتأخرين كالتفاوت الذي بينهم في الفضل والدين.

 

Begitu juga kebenaran pendapat mereka (orang-orang terdahulu) lebih banyak berbanding kebenaran pendapat orang setelah mereka. Ini kerana wujud jurang perbezaan antara ilmu pengetahuan orang-orang terdahulu dan terkemudian, sebagaimana terdapat jurang perbezaan di antara mereka dalam hal keutamaan dan agama.

ولعله لا يسع المفتي والحاكم عند الله أن يفتي ويحكم بقول فلان

 

وفلان من المتأخرين من مقلدي الأئمة ويأخذ برأيه وترجيحه ويترك الفتوى والحكم بقول......

 

Maka tidak diperkenankan bagi mufti dan hakim yang bertanggungjawab kepada Allah untuk mengeluarkan fatwa dan keputusan hukum berdasarkan pendapat si-fulan si-fulan daripada kalangan ulama’ terkemudian yang sekadar bertaklid kepada imam-imam, mengambil pandangannya dan menguatkannya, lalu pada waktu yang sama meninggalkan fatwa dan hukum yang berdasarkan pendapat (para ulama’ terdahulu – disenaraikan sebahagian nama-nama mereka).[5]

 

 


 


[1]               al-Minhaj, jld. 3, ms. 397. Dalam ASSSDK 245 dan seterusnya, dikemukakan pendapat dari empat mazhab berkenaan zikir selepas solat fardhu. Di antaranya termasuklah cara berzikir sama ada secara kuat (jahr) atau perlahan (sirr). Walaubagaimanapun, memandangkan pihak ASSSDK sudah terbukti tidak amanah dalam menukil dari kitab-kitab para tokoh, apa yang mereka kemukakan perlu disemak dan diteliti dengan cermat.

[2]               Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2674.

[3]               al-Minhaj, jld. 3, ms. 397.

[4]               Sesuatu yang merupakan amalan al-Salaf al-Shalih boleh menjadi bid’ah pada masa kini, umpama azan dua kali sempena solat Jumaat. Azan solat Jumaat pada asalnya hanya sekali. Lalu pada zaman pemerintahan ‘Utsman ibn ‘Affan radhiallahu 'anh, bagi memperingatkan orang ramai untuk berhenti urus-niaga dan bersiap sedia ke masjid, beliau mengadakan sebuah azan beberapa ketika sebelum masuk waktu solat Jumaat. Apabila masuk waktu solat Jumaat, azan dilaungkan sekali lagi, diikuti dengan khutbah dan solat Jumaat dua rakaat.

Namun pada masa kini, peringatan dengan menggunakan azan sudah tidak diperlukan lagi sebab ada kemudahan lain seperti jam, radio dan sebagainya. Lebih dari itu, azan pertama tidak dilaungkan beberapa ketika sebelum masuk waktu solat Jumaat tetapi setelah masuk waktu. Lebih buruk, urus-niaga masih diteruskan selepas azan pertama ini di persekitaran masjid, sehingga tujuan dilaungkan dua azan menjadi sia-sia. Maka apa yang pada awalnya tidak bid’ah menjadi menjadi bid’ah pada masa kini.

[5]               I’lam al-Muwaqi‘in ‘an Rabb al-‘Alamin (edisi cdrom Jami’ al-Fiqh al-Islami, v1; www.harf.com), jld. 4, ms. 91-92.