36 Kritikan Ke Atas Buku
Amalan Sunnah Selepas Solat Dan Kelebihannya

 

Hafiz Firdaus Abdullah

 
 

 

 

 

# 16: Memuktamadkan Penilaian al-Haitsami.

 

ASSSDK 21:

Berdasarkan kata-kata al-Hafiz al-Haitami tadi, Hadis ini kedudukannya masih menjadi perselisihan di kalangan Ahli Hadis, berhubung dengan statusnya.

 

Kritikan:

Dalam rangka mensunnahkan amalan menyapu muka selepas salam sambil berzikir, pihak ASSSDK telah merujuk kepada sebuah hadis yang dihimpun oleh al-Hafiz al-Haitsami rahimahullah dalam kitabnya Majma al-Zawa’id wa Manba’ al-Fawaid. Seterusnya pihak ASSSDK telah menggunakan sepenuhnya penjelasan al-Hafiz al-Haitsami bagi membicara darjat hadis itu.

Kelihatannya pihak ASSSDK tidak begitu mengenali kitab Majma al-Zawa’id. Ia asalnya ialah sebuah kitab yang disusun oleh seorang ahli hadis terkenal pada kurun ke sembilan hijrah, iaitu al-Hafiz Nur al-Din ‘Ali bin Abi Bakr al-Haitsami. Beliau yang wafat pada tahun 807H merupakan anak murid kepada seorang lagi ahli hadis yang terkenal, al-Hafiz al-‘Iraqi rahimahullah.

Metode penyusunan kitab ialah menghimpun hadis-hadis selain dari enam kitab yang masyhur (Shahih al-Bukhari, Shahih Muslim, Sunan Abu Daud, Sunan al-Tirmizi, Sunan al-Nasa’e, Sunan Ibn Majah) mengikut tertib bab-bab yang tertentu. Hadis-hadis itu dalam kitab asal masing-masing disusun mengikut nama sahabat atau nama guru penyusun kitab. Maka al-Hafiz al-Haitsami menghimpun hadis-hadis itu dan menyusunnya semula mengikut bab-bab tertentu agar lebih mudah dicari dan dirujuk oleh para pencinta ilmu. al-Hafiz al-Haitsami menghimpun hadis-hadis itu dari enam kitab berikut:

  1. Musnad Ahmad bin Hambal.

  2. Musnad Abu Ya’la al-Mushili.

  3. Musnad Abu Bakar al-Bazzar.

  4. Mu’jam al-Kabir al-Thabarani.

  5. Mu’jam al-Ausath al-Thabarani.

  6. Mu’jam al-Shogheir al-Thabarani.

Setelah menyusun hadis-hadis dalam bab-bab tertentu, al-Hafiz al-Haitsami menjelaskan keadaan sanad hadis itu. Namun beliau tidak memperincikan apakah yang dimaksudkan ketika menjelaskan keadaan sanad sesebuah hadis. Ini akhirnya menimbulkan beberapa tafsiran dan pemahaman di kalangan para pengkaji yang menelusuri kitab beliau itu. Atas dasar inilah, kebanyakan pengkaji hadis tidak menjadikan penjelasan al-Hafiz al-Haitsami sebagai sumber muktamad dalam menilai darjat hadis. Sebaliknya mereka menjadikannya sebagai sumber rujukan untuk meluaskan kajian dalam rangka menilai darjat hadis.

Berbeza dengan pihak ASSSDK, mereka telah merujuk sepenuhnya kepada penjelasan al-Hafiz al-Haitsami bagi menentukan darjat hadis menyapu muka selepas salam kedua sambil membaca zikir tertentu. Sepatutnya mereka memperluaskan kajian kerana dari peluasan itu akan ditemui jalan-jalan periwayatan lain. Seterusnya dari peluasan itu dapat diberi penilaian darjat hadis yang tepat.

 

 

Penjelasan Tambahan (1):

Hadis menyapu muka selepas salam sambil membaca zikir:

 

بِسْمِ اللهِ الَّذِي لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الرَّحْمَنُ الرَّحِيمُ، اللَّهُمَّ أَذْهِبْ عَنِّي الْهَمَّ وَالْحَزَنَ.

 

memiliki tiga jalan periwayatan dengan lafaz zikir yang sedikit berbeza di antaranya:

 

·         Pertama: Dikeluarkan oleh al-Thabarani[1], Ibn al-Sunni[2] dan Abu Nu‘aim al-Ashbahani[3], semuanya melalui jalan yang berpangkal kepada Abu Sulaiman Sallam bin Salim al-Thawil al-Madaini, daripada Zaid al-‘Ammi yang juga dikenali sebagai Zaid al-Hawari, daripada Mu‘awiyah bin Qarrah, daripada Anas bin Malik.

Berkenaan Sallam, antara lain, berkata Ahmad bin Hanbal: Dia meriwayatkan hadis-hadis mungkar. Berkata Yahya bin Ma‘in: Baginya hadis-hadis mungkar. Berkata al-Bukhari: Dia ditinggalkan. Berkata al-Nasa’e: Matruk. Berkata ‘Abd al-Rahman bin Yusuf: Pendusta.[4]

Berkenaan Zaid al-‘Ammi yang meriwayatkan hadis ini melalui Anas bin Malik, berkata Ibn Hibban: Dia meriwayatkan daripada Anas (bin Malik) sesuatu yang palsu yang tiada asal-usul baginya sehingga tercermin di hati bahawasanya (inilah status yang) muktamad baginya. Yahya (bin Ma‘in) tersilap dalam memberi pendapat tentangnya. Ada pun di sisi kami, tidak boleh berhujah dengan hadisnya, tidak boleh menulisnya kecuali sekadar diambil iktibar.[5]

Jalan pertama inilah yang dikemukakan oleh al-Hafiz al-Haitsami dalam Majma’ al-Zawaid sebagaimana yang dinukil oleh pihak ASSSDK.[6]

·         Kedua: Dikeluarkan oleh al-Thabarani[7], Ibn ‘Adiy[8] dan al-Khatib al-Baghdadi[9], semuanya melalui jalan yang berpangkal kepada Abu Hisyam Katsir bin Sulaim, juga dikenali sebagai Abu Salamah Katsir bin Sulaim al-Madaini. Berkenaan Katsir bin Sulaim, berkata Yahya bin Ma‘in dan Abu Daud al-Sijistani: Dhaif. Berkata al-Bukhari: Munkar al-Hadits. Berkata al-Nasa’e: Matruk al-Hadits.[10]

·         Ketiga: Dikeluarkan oleh Aslam bin Sahl al-Wasithi[11] melalui jalan ‘Anbasah bin ‘Abd al-Wahid al-Wasithi, daripada ‘Amr bin Qais, dia berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam apabila selesai solat…… Jalan ini dhaif kerana dua kelemahan:

1.    ‘Anbasah bin ‘Abd al-Wahid al-Wasithi: Tidak ditemui biodatanya sebagai seorang perawi hadis.

2.    ‘Amr bin Qais: Beliau seorang tabi‘in, tidak pernah bertemu dengan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam (mursal).

Oleh itu berdasarkan jalan periwayatan ketiga, darjat hadis menyapu muka selepas salam sambil membaca zikir adalah dha‘if. Jalan periwayatan pertama dan kedua memiliki kecacatan yang berat sehingga tidak boleh jadi penguat kepada jalan periwayatan ketiga.

 

 

Penjelasan Tambahan (2):

Kelemahan hadis menyapu muka selepas salam sambil membaca zikir bukan sahaja lemah dari sudut sanad tetapi lemah dari sudut matan juga. Ini kerana dalam sebuah hadis sahih lain, Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu 'anh telah menerangkan:

 

مُطِرْنَا لَيْلَةَ إِحْدَى وَعِشْرِينَ فَوَكَفَ الْمَسْجِدُ فِي مُصَلَّى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

 

فَنَظَرْتُ إِلَيْهِ وَقَدْ انْصَرَفَ مِنْ صَلاَةِ الصُّبْحِ وَوَجْهُهُ مُبْتَلٌّ طِينًا وَمَاءً.

 

Pada malam kedua puluh satu kami diselubungi hujan dan masjid saat itu bocor pada tempat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersolat. Lalu aku melihat kepada baginda, baginda baru selesai dari solat subuh dan pada wajahnya terdapat kesan lumpur dan air.[12]

 

Ketika mengeluarkan hadis ini, al-Nasa’e rahimahullah meletakkannya di bawah bab “Tidak mengusap dahi selepas salam”, membuktikan amalan menyapu muka sambil membaca zikir selepas salam bukan merupakan sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

 

 


[1]               al-Mu’jam al-Ausath (tahqiq: Mahmud Hasan Ismail, Dar al-Fikr, Amman, 1999), hadis no: 2499. Kitab al-Doa, hadis no: 659.

[2]               ‘Amal al-Yaum wa al-Lail (tahqiq: Basyar Muhammad ‘Uyun; Maktabah al-Muayyad, Riyad, 1994), hadis no: 112.

[3]               Hilyah al-Auliya’ wa Tabaqat al-Ashfiya’ (tahqiq: Musthofa ‘Abd al-Qadir ‘Atha’; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1997), jld. 2, riwayat no: 2493.

[4]               al-Mizzi – Tahzib al-Kamal fi Asma’ al-Rijal (tahqiq: Basyar ‘Awwad Ma’ruf; Muassasah al-Risalah, Beirut, 1994), jld. 12, biografi no: 2654.

[5]               al-Majruhin min al-Muhadditsin (tahqiq: Hamidi bin ‘Abd al-Majid; Dar al-Shamai‘iy, Riyadh, 2000), perawi no: 364.

[6]               Majma al-Zawa’id wa Manba’ al-Fawa’id (tahqiq: ‘Abd Allah Muhammad al-Darwish; Dar al-Fikr, Beirut, 1994), hadis no: 16971.

[7]               al-Mu’jam al-Ausath (tahqiq: Thariq bin ‘Iwadhullah & ‘Abd al-Muhsin bin Ibrahim; Dar al-Haramain, Kaherah, 1415H), hadis no: 3178 dan al-Kitab al-Doa (tahqiq: Muhammad bin Sa‘id al-Bukhari; Dar al-Bashair al-Islamiyah, Beirut, 1987), hadis no: 658.

[8]               al-Kamil fi Dhu‘afa al-Rijal (tahqiq: ‘Adil ‘Abd al-Maujud & ‘Ali Mahmud Mu‘awwad; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1997), jld. 7, ms. 199.

[9]               Tarikh Baghdad (tahqiq: Musthofa ‘Abd al-Qadir ‘Atha’; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1997), jld. 12, ms. 479. Tarikh Madinah al-Salam (tahqiq: Basyar ‘Awwad Ma’ruf; Dar al-Gharb al-Islami, Beirut, 2001), jld. 14, ms. 504.

[10]             Dalam rujukan Ibn ‘Adiy dan al-Khatib al-Baghdadi sebelum ini.

[11]             Tarikh Wasith (‘Ulum al-Kitab, Beirut, 1404H; edisi cdrom al-Maktabah al-Alfiyah li al-Sunnah al-Nubawiyah v1.5, www.turath.com), ms. 130.

[12]             Sahih: Dikeluarkan oleh al-Nasa’e dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasa’e, hadis no: 1355.