36 Kritikan Ke Atas Buku
Amalan Sunnah Selepas Solat Dan Kelebihannya

 

Hafiz Firdaus Abdullah

 
 

 

 

 

# 17: Kelemahan Dalam Ilmu al-Jarh wa al-Ta’dil.

 

ASSSDK 22:

Kalau kita andaikan Hadis ini tidak sahih dan tidak hasan, maka kalau pun dha’if, sudah pasti ianya tidaklah terlalu dha’if, kerana Ahli Hadis masih berselisih pendapat mengenai peribadi Zaid al-‘Ammi.

 

Kritikan:

Apabila status seorang perawi diperselisihkan, maka metode yang benar bukanlah membuat teka-teki atau kebarangkalian itu dan ini tetapi dirujuk kepada kaedah-kaedah dalam ilmu al-Jarh wa al-Ta’dil. Bagi kes Zaid al-‘Ammi maka dia dirujuk kepada kaedah “Apabila berhimpun pada seorang perawi al-Jarh (celaan) dan al-Ta’dil (pujian)”. Berdasarkan kaedah ini:

  1. Apabila berhimpun pada seorang perawi al-Jarh dan al-Ta’dil lalu sifat al-Jarh tidak diterangkan secara terperinci, maka yang diunggulkan ialah sifat al-Ta’dil. Ini kerana sifat al-Jarh tidak dapat diterima begitu sahaja melainkan diperincikan sebab-sebabnya. Ini mudah kerana sifat al-Jarh lazimnya tidak banyak. Berbeza dengan sifat al-Ta’dil, maka ia dapat diterima begitu sahaja tanpa perincian kerana sebab-sebabnya banyak dan memperincikannya akan menimbulkan kesulitan.

  2. Apabila berhimpun pada seorang perawi al-Jarh dan al-Ta’dil lalu sifat al-Jarh diterangkan secara terperinci, maka yang diunggulkan ialah sifat al-Jarh. Ini kerana sifat al-Jarh yang telah diperincikan itu mengecualikan sifat al-Ta’dil yang disebut secara umum. Juga wujud kemungkinan besar sifat al-Jarh itu tidak diketahui oleh pihak yang memberi sifat al-Ta’dil.

Memandangkan pihak ASSSDK telah merujuk status Zaid al-‘Ammi kepada kitab Tahzib al-Tahzib karangan al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah sebagaimana yang mereka catat di notakaki nombor 12 dan 14 di mukasurat 21 dan 22, apa kata kita sama-sama membuka kitab itu dan meneliti status Zaid al-‘Ammi:

 

قال عبد الله بن أحمد عن أبيه: صالح وهو فوق يزيد الرقاشي وفضل بن عيسى.

 

وقال إسحاق بن منصور عن بن معين: صالح. وقال عنه مرة: لا شيء.

 

وقال أبو الوليد بن أبي الجارود عن بن معين: زيد العمي وأبو المتوكل يكتب حديثهما وهما ضعيفان.

 

وقال أبو حاتم: ضعيف الحديث يكتب حديثه ولا يحتج به.

 

وقال أبو زرعة: ليس بقوي واهي الحديث ضعيف. وقال الجوزجاني: متماسك.

 

Berkata ‘Abd Allah bin Ahmad daripada ayahnya (Ahmad bin Hambal): Shalih dan dia di atas Yazid al-Raqasyi dan Fadhl bin ‘Isa. Berkata Manshur daripada (Yahya) bin Ma‘in: Shalih. Pada ketika yang lain dia berkata: Tiada apa-apa. Berkata Abu al-Walid bin Abi al-Jarud daripada (Yahya) bin Ma‘in: Zaid al-‘Ammi dan Abu al-Mutawakkil ditulis hadis mereka berdua akan tetapi kedua-duanya dha‘if. Berkata Abu Hatim: Hadisnya dha‘if, ditulis hadisnya akan tetapi tidak boleh berhujah dengannya. Berkata Abu Zar‘ah: (Hafalannya) tidak kuat dan baginya hadis yang dha‘if. Berkata al-Jauzajani: Bercampur aduk.

 

وقال الآجري عن أبي داود: حدث عنه شعبة وليس بذاك

 

ولكن ابنه عبد الرحيم لا يكتب حديثه.

 

وقال الآجري أيضا: سألت أبا داود عنه, فقال هو زيد بن مرة.

 

قلت: كيف هو؟ قال: ما سمعت إلا خيرا.

 

Berkata al-Ajuri daripada Abu Daud: Syu’bah meriwayatkan hadis daripadanya tetapi tidaklah demikian. Syu’bah sebenarnya meriwayatkan daripada anaknya ‘Abd al-Rahman. (Ada pun Zaid al-‘Ammi, maka) Tidak ditulis hadisnya. Berkata lagi al-Ajuri: Aku bertanya Abu Daud tentang (benarkah Syu’bah meriwayatkan hadis daripada Zaid al-‘Ammi), maka dia berkata: Dia sebenarnya Zaid bin Marrah. Saya berkata: Bagaimana statusnya (Zaid bin Marrah)? Abu Daud menjawab: Aku tidak mendengar apa-apa melainkan yang baik.

 

وقال النسائي: ضعيف. وقال الدارقطني: صالح.

 

وقال بن عدي: عامة ما يرويه ضعيف على أن شعبة قد روى عنه

 

ولعل شعبة لم يرو عن أضعف منه. ... وقال بن سعد كان ضعيفا في الحديث.

 

Berkata al-Nasa’e: Dha‘if. Berkata al-Daraquthni: Shalih. Berkata Ibn ‘Adiy: Umumnya apa yang dia riwayatkan adalah dha‘if. Syu’bah pernah meriwayat (hadis) daripadanya namun Syu’bah tidaklah meriwayatkan yang amat dha‘if daripadanya. … [1] … Berkata Ibn Sa‘ad: Hadisnya dha‘if.

 

وقال بن المديني: كان ضعيفا عندنا. وقال أبو حاتم: كان شعبة لا يجمد حفظه.

 

وقال العجلي بصري: ضعيف الحديث ليس بشيء.

 

وقال بن عدي: وهو من جملة الضعفاء الذين يكتب حديثهم.

 

وقال أبو بكر البزار: صالح روى عنه الناس. وقال الحسن بن سفيان: ثقة.

 

Berkata Ibn al-Madini: Dia dha‘if di sisi kami. Berkata Abu Hatim: Syu’bah tidak berpegang sepenuhnya kepada hafalannya. Berkata al-‘Ajili: Bashri (gelaran lain untuk Zaid al-‘Ammi) hadisnya dha‘if sehingga ia tidak memiliki apa-apa nilai. Berkata Ibn ‘Adiy: Dia daripada kalangan perawi-perawi dha‘if yang ditulis hadis mereka. Berkata Abu Bakar al-Bazzar: Shalih, orang ramai meriwayatkan daripadanya. Berkata al-Hasan bin Sufyan: Dipercayai.

 

وقال بن حبان: يروي عن أنس أشياء موضوعة لا أصول لها حتى يسبق إلى القلب أنه المعتمد لها

 

وكان يحيى يمرض القول فيه وهو عندي لا يجوز الاحتجاج بخبره ولا اكتبه إلا للاعتبار.

 

Berkata Ibn Hibban: Dia meriwayatkan daripada Anas (bin Malik) sesuatu yang palsu yang tiada asal-usul baginya sehingga tercermin di hati bahawasanya (inilah status yang) muktamad baginya. Yahya (bin Ma‘in) tersilap dalam memberi pendapat tentangnya. Ada pun di sisi kami, tidak boleh berhujah dengan hadisnya, tidak boleh menulisnya kecuali sekadar diambil iktibar.[2]

 

Jika dirujuk kepada seluruhan penilaian para tokoh al-Jarh wa al-Ta’dil terhadap status Zaid al-‘Ammi didapati hanya al-Hasan bin Sufyan yang memuji beliau dengan sifat “dipercayai”. Adapun status “shalih” atau “ditulis hadisnya” yang diberikan oleh Ahmad, al-Daraquthni dan al-Bazzar, ia sebenarnya adalah pujian yang mendekati celaan.

al-Nasa’e, Ibn al-Madini dan Ibn ‘Adiy mencela Zaid al-‘Ammi secara umum dengan status “dha‘if”, namun kedha‘ifan itu telah diperincikan oleh Abu Hatim, Abu Zar‘ah, Ibn ‘Adiy dan Ibn Sa‘ad sebagai kedha‘ifan dalam meriwayatkan hadis. al-Jauzajani menambah bahawa hadis yang diriwayatkannya bercampur-aduk lafaznya. Oleh itu Abu Hatim, al-‘Ajili dan Ibn Hibban menghukum hadis-hadis yang diriwayatkan oleh Zaid al-‘Ammi sebagai tidak boleh dijadikan hujah.

Adapun status Zaid al-‘Ammi di sisi Yahya bin Ma‘in, maka riwayat yang ketiga menjelaskan apa yang beliau maksudkan sebagai “shalih” dan “tiada apa-apa”, iaitu Zaid al-‘Ammi ialah perawi dha‘if yang ditulis hadisnya. Namun celaan yang sederhana ini telah dibantah oleh Ibn Hibban. Bahkan Ibn Hibban telah membongkar sikap Zaid al-‘Ammi yang meriwayatkan hadis palsu dan yang tiada asal usulnya lalu disandarkan ke atas Anas bin Malik.

Nah! Jika diteliti status Zaid al-‘Ammi di atas, tidak wujud lagi teka-teki atau kebarangkalian dalam hadis yang beliau riwayatkan. Pada dirinya terhimpun pujian yang bersifat umum dan celaan yang bersifat terperinci, maka celaan itu diunggulkan di atas pujian. Kesimpulannya, hadis-hadis yang diriwayatkan oleh Zaid al-‘Ammi adalah dha‘if dan tidak boleh dijadikan hujah, kecuali apa yang beliau riwayatkan melalui jalan Anas bin Malik radhiallahu 'anh, maka ia adalah palsu (maudhu’).

 


 

[1]               Diringkaskan kerana ia tidak berkaitan dengan status al-Jarh wa al-Ta’dil Zaid al-‘Ammi.

[2]               Ibn Hajar al-‘Asqalani – Tahzib al-Tahzib (Dar al-Kitab al-Islami), jld. 3, ms 408-409.