36 Kritikan Ke Atas Buku
Amalan Sunnah Selepas Solat Dan Kelebihannya

 

Hafiz Firdaus Abdullah

 
 

 

 

 

# 19: Di Antara Kecintaan Kepada Ulama’ dan Kecintaan Kepada Ilmu.

 

ASSSDK 22:

Oleh kerana itulah, boleh jadi Imam al-Syaukani telah memasukkan Hadis ini di dalam kitabnya Nailul al-Authar.

 

Kritikan:

Diketahui bahawa beberapa ulama’ – rahimahumullah – telah memilih untuk mengemukakan hadis menyapu muka selepas salam sambil berzikir di dalam kitab mereka seperti Ibn Sunni[1], al-Nawawi[2] dan al-Syaukani[3]. Namun ini tidak cukup sebagai hujah untuk beramal dengannya. Sebabnya, sambil meminjam perkataan ASSSDK, boleh jadi mereka tidak sempat menyemak darjat hadis itu secara mendalam, boleh jadi mereka terlepas pandang sanad hadis itu lalu menganggap ia sahih atau hasan hingga dapat dijadikan hujah, boleh jadi mereka merujuk kepada sumber yang dianggap baik padahal sebaliknya dan pelbagai lagi kemungkinan.

Sebagai contoh, marilah kita mengkaji metodologi al-Nawawi rahimahullah terhadap kitabnya al-Adzkar.

 

Pertama:

Beliau pada dasarnya membolehkan pengamalan hadis dha‘if:

قال العلماءُ من المحدّثين والفقهاء وغيرهم:

 

يجوز ويُستحبّ العمل في الفضائل والترغيب والترهيب بالحديث الضعيف ما لم يكن موضوعاً.

 

وأما الأحكام كالحلال والحرام والبيع والنكاح والطلاق وغير ذلك فلا يُعمل فيها إلا بالحديث الصحيح

 

أو الحسن إلا أن يكون في احتياطٍ في شيء من ذلك،

 

كما إذا وردَ حديثٌ ضعيفٌ بكراهة بعض البيوع أو الأنكحة،

 

فإن المستحبَّ أن يتنزّه عنه ولكن لا يجب.

 

Berkata para ulama’ dari kalangan ahli hadis, ahli fiqh dan selain mereka, dibolehkan – bahkan disunatkan beramal dengan hadis dha‘if dalam bab keutamaan (al-Fadha’il), memberi anjuran (al-Targhib) dan amaran (al-Tarhib) asalkan ianya bukan hadis maudhu’.

Adapun dalam bab hukum-hakam seperti halal dan haram, jual-beli, pernikahan, penceraian dan apa-apa lain yang seumpama, tidak boleh beramal dengan hadis dha‘if kecuali dengan hadis yang sahih atau hasan. Melainkan jika hadis-hadis tersebut bersangkutan dengan sikap berhati-hati terhadap bab-bab tersebut, seperti hadis dha‘if yang menyebutkan makruhnya hukum melakukan sebahagian bentuk jual-beli atau pernikahan, maka disunatkan untuk menghindari daripadanya (yang makruh tersebut) namun ia tidak jatuh kepada hukum wajib.[4]

 

 

Kedua:

Namun ini tidaklah bererti beliau melazimkan pengamalan dengan hadis dha‘if:

 

وأقتصر في هذا الكتاب على الأحاديث التي في الكتب المشهورة التي هي أصول الإِسلام

 

وهي خمسة: صحيح البخاري، وصحيح مسلم، وسنن أبي داود، والترمذي، والنسائي.

 

وقد أروي يسيراً من الكتب المشهورة غيرها.

 

وأما الأجزاء والمسانيد فلستُ أنقل منها شيئاً إلا في نادر من المواطن،

 

ولا أذكرُ من الأصول المشهورة أيضاً من الضعيف إلا النادر مع بيان ضعفه،

 

وإنما أذكر فيه الصحيح غالباً، فلهذا أرجو أن يكون هذا الكتاب أصلاً معتمداً.

 

Saya bataskan dalam kitab ini hadis-hadis yang berasal dari kitab yang masyhur yang menjadi dasar Islam dan ia terdiri dari lima kitab: Shahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Daud, Sunan al-Tirmizi dan Sunan al-Nasa’e. Selain itu saya meriwayatkan dalam jumlah yang sedikit dari kitab-kitab masyhur yang lain.

Adapun kitab-kitab hadis yang kecil dan musnad-musnad, saya tidak menukil darinya sesuatu jua melainkan di beberapa tempat. Saya juga tidak menyebut dari kitab-kitab dasar yang masyhur hadis-hadis yang dha‘if kecuali di beberapa tempat diikuti dengan penjelasan akan kelemahannya. Namun lazimnya saya hanya menyebut dalam kitab ini hadis yang sahih. Semoga dengan itu saya berharap kitab ini dapat menjadi rujukan dasar yang muktamad.[5]

 

 

Ketiga:

Bahkan beliau mengkritik orang yang suka mengikuti hadis dha‘if:

Sebaiknya hendaklah setiap orang berakhlak sesuai dengan akhlak Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, mencontoh ucapan, perbuatan dan apa-apa yang didiamkannya dalam masalah hukum, adab dan semua cabang-cabang Islam. Hendaklah juga dalam hal ini setiap orang berpegang kepada dalil sahih dan menjauhi dalil lemah, jangan terperdaya oleh orang-orang yang menyalahi sunnah yang sahih, jangan bertaklid kepada orang-orang yang berpegang kepada hadis-hadis dha‘if.[6]

 

 

Keempat:

Sekalipun berkeinginan untuk melazimkan nukilan daripada hadis yang sahih serta hasan dan tidak menyebut hadis dha‘if melainkan diminimumkan jumlahnya serta diterangkan kelemahannya, beliau menghadapi beberapa halangan yang tidak sempat diatasinya:

 

وإنما ذكرتُ هذا الفصل لأنه يجيءُ في هذا الكتاب أحاديثُ أنصُّ على صحتها أو حسنها أو ضعفها،

 

أو أسكتُ عنها لذهول عن ذلك أو غيره، فأردتُ أن تتقرّر هذه القاعدة عند مُطالِع هذا الكتاب.

 

Saya menyebutkan perkara ini kerana dalam kitab ini terkandung hadis-hadis yang saya terangkan kesahihannya, kehasanannya dan kedha‘ifannya. Atau saya mendiamkan tentangnya kerana keliru akan statusnya atau sebab-sebab yang lain. Oleh kerana itu saya ingin menjelaskan kaedah ini agar para pembaca mengetahuinya.[7]

 

 

Kelima:

Selain itu beliau telah menjadikan sebuah kitab sebagai salah satu sumber rujukan kerana menganggap ia bagus:

 

اعلم أنه قد صنَّف في عمل اليوم والليلة جماعةٌ من الأئمة كتباً نفيسة،

 

رَووا فيها ما ذكروه بأسانيدهم المتصلة، وطرَّقُوها من طرق كثيرة،

 

ومن أحسنها "عمل اليوم والليلة" للإِمام أبي عبد الرحمن النسائي،

 

وأحسن منه وأنفس وأكثر فوائد كتاب "عمل اليوم والليلة" لصاحبه الإمام أبي بكر أحمد بن محمد بن إسحاق

 

السنيّ رضي اللّه عنهم...... لأني سأنقلُ من كتاب ابن السني إن شاء اللّه تعالى جُملاً.

 

Ketahuilah bahawa sekumpulan dari para ulama’ telah menulis kitab-kitab yang amat berharga berkenaan amal pada siang dan malam hari. Mereka telah meriwayatkan apa yang mereka sebutkan dengan sanad-sanad mereka yang bersambungan dan jalan-jalannya dari sekian banyak jalan periwayatan. Di antara yang terbaik ialah kitab Amal al-Lail wa al-Yaum oleh Imam Abi ‘Abd al-Rahman al-Nasa’e dan yang lebih baik daripada itu, lebih bernilai lagi memiliki banyak faedah ialah kitab Amal al-Lail wa al-Yaum oleh sahabat (al-Nasa’e) iaitu Imam Abi Bakr Ahmad bin Muhammad bin Ishaq al-Sunni, radhiallahu 'anhuma……… Ini kerana saya akan menukil dari kitab Ibn al-Sunni sejumlah riwayat, insya-Allahu Ta‘ala.[8]

Namun anggapan beliau ini salah. Kitab Amal al-Lail wa al-Yaum oleh Ibn al-Sunni mengandungi hadis-hadis yang dha‘if, sangat dha‘if serta palsu sebagaimana jelas Salim bin ‘Id al-Hilali hafizhahullah:

Saya katakan, seandainya al-Nawawi berpijak pada kitab Amal al-Lail wa al-Yaum karya al-Nasa’e – iaitu guru Ibn al-Sunni – nescaya itu lebih baik dan dia (al-Nawawi) tidak akan menyebut (dalam kitabnya al-Adzkar) hadis-hadis dha‘if dan palsu yang hanya disebut oleh Ibn al-Sunni.

al-Hafiz Ibn Hajar (sebagaimana nukil Ibn ‘Allan dalam al-Futuhat al-Rabbaniyah ‘ala al-Adzkar al-Nawawiyah, jld. 3, ms. 48-49) mengkritik apa yang dilakukan oleh Imam al-Nawawi ini melalui perkataannya: “Saya hairan bahawa beliau (al-Nawawi) tidak mengambil hadis-hadis dari kitab al-Nasa’e yang diketahui sangat ketat (dalam menjaga status hadis) lalu mengambil hadis-hadis dari kitab Ibn al-Sunni sekalipun diketahui dia sangat tidak peduli lagi meremehkan (penjagaan status hadis).” [9]

 

Demikian sekadar contoh al-Nawawi rahimahullah dan kitabnya al-Adzkar. Perkara di atas tidak terhad kepada beliau sahaja tetapi boleh dikatakan kepada semua tokoh. Tidak ada seorang jua di antara para tokoh umat Islam rahimahumullah yang dengan sengaja lagi sedar akan mengemukakan hadis-hadis yang tidak boleh dijadikan hujah dalam kitab mereka. Namun atas beberapa halangan dan kesilapan, mereka tercatat hadis itu di dalam kitab mereka.

Oleh itu sikap yang benar ialah sentiasa menyemak ulang apa yang ditulis oleh para ulama’ kita. Kita mencintai para ulama’, namun kita lebih mencintai ilmu. Atas dasar ini, kita sentiasa membaca karya-karya para ulama’ dengan sikap mengkaji lagi menganalisa, mengambil apa yang benar dan membetulkan apa yang silap. Seandainya para ulama’ itu masih hidup dan mengetahui bahawa kita menemui kesilapan dalam karya mereka, nescaya mereka akan bergembira dan berterima kasih. Ini kerana mereka menulis bukan dengan sikap angkuh dan sombong, tetapi dengan sikap rendah diri dan terbuka.


 

 


[1]               ‘Amal al-Yaum wa al-Lail, hadis no: 112.

[2]               al-Adzkar (tahqiq: ‘Amr bin ‘Ali Yasin; Dar Ibn Khuzaimah, Riyadh, 2001), hadis no: 208.

[3]               Nail al-Authar min Asrar Muntaqa al-Akhbar (tahqiq: ‘Adil ‘Abd al-Maujud & ‘Ali Mahmud Mu‘awwad; Dar al-Kitab al-‘Arabi, Beirut, 2000), jld. 150.

[4]               al-Azkar, ms. 53

[5]               al-Azkar, ms. 49.

[6]               Khulashah al-Ahkam (dalam bentuk manuskrip), dikemukakan oleh Salim bin ‘Id al-Hilali dalam Shahih Kitab al-Adzkar wa Dha‘ifuhu oleh (edisi terjemahan oleh Muslim Arif & M. Abdul Ghoffar; Pustaka Imam asy-Syafi’i, Bogor, 2004), ms. 15 dengan beberapa olahan bahasa.

[7]               al-Adzkar, ms. 53

[8]               al-Adzkar, ms. 62 secara berpisah.

[9]               Shahih Kitab al-Adzkar wa Dha‘ifuhu, ms. 24.