36 Kritikan Ke Atas Buku
Amalan Sunnah Selepas Solat Dan Kelebihannya

 

Hafiz Firdaus Abdullah

  
 

 

 

 

# 2: Menghukum Bid’ah Perkara Khilaf.

 

ASSSDK 1:

Mengikut kaedah asal yang disepakati ialah semua amalan yang diperselisihkan oleh para ulama’ tidak boleh lagi dihukumkan Bida’ah.

 

Kritikan:

Jika sesuatu amalan yang khilaf tidak boleh dihukum sebagai bid’ah, maka demikianlah juga: Sesuatu amalan yang khilaf tidak boleh dihukum sebagai sunnah.

Adapun di sisi Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, sesuatu amal ibadah hanya dapat dihukum sebagai sunnah, iaitu sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, apabila ia menepati dua aspek berikut:

 

·         Aspek sumber, di mana ia terdiri daripada dua unsur:[1]

 

1.1: Ia berasal daripada al-Qur’an dan hadis yang sahih. Hadis hasan diterima sebagai sumber selagi mana ia tidak bertentangan dengan al-Qur’an dan hadis yang sahih. Hadis dhaif mungkin diterima sebagai sumber selagi mana ia digunapakai berdasarkan syarat-syaratnya, yang akan dikupas dalam kritikan akan datang insya-Allah.

 

1.2: Rujukan kepada al-Qur’an dan hadis dilakukan secara menyeluruh kerana setiap satunya saling melengkap, menjelas, memperinci dan membatas. Tidak boleh membuat hukum “sunnah” dengan merujuk kepada satu hadis dengan meninggalkan hadis-hadis atau ayat-ayat al-Qur’an yang lain.

 

·         Aspek Pengamalan, di mana ia terdiri daripada enam unsur:[2]

 

2.1: Sebab. Sesuatu amal ibadah hendaklah dilakukan kerana Allah, disebabkan ia di syari’at oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala melalui al-Qur’an dan/atau Rasul-Nya Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam. Jika seseorang itu berzikir dengan sebab ia diajar oleh tok gurunya atau menjadi amalan sekolah pondoknya, maka zikir itu tidak boleh dihukum sunnah. Sekalipun zikir dari satu sudut merupakan amalan yang disyari’atkan, namun oleh kerana ia diamalkan berdasarkan sebab yang tidak disyari’atkan, maka ia bukan sunnah.

 

2.2: Jenis. Sesuatu amal ibadah hendaklah menepati sunnah dari unsur jenisnya. Antara jenis itu ada yang ditentukan dan ada yang dilapangkan. Zikir selepas solat fardhu misalnya, telah ditentukan jenis bacaannya. Sesiapa yang berzikir dengan jenis bacaan yang lain, maka ia bukan sunnah. Ibadah sedekah misalnya, telah dilapangkan jenisnya kepada apa jua yang bermanfaat seperti duit, ilmu, pakaian, perabot, tempat tinggal, makanan dan sebagainya. Sesiapa yang menetapkan sedekah kepada jenis pakaian sahaja, maka ia bukan sunnah.

 

2.3: Ukuran. Di antara amal ibadah ada yang telah dibataskan ukurannya dan ada yang diluaskan ukurannya. Maka sesiapa yang membataskan apa yang luas atau meluaskan apa yang dibataskan, maka dia telah melakukan sesuatu yang bukan sunnah. Zikir astaghfirullah selepas solat fardhu misalnya, telah dibataskan kepada bilangan tiga kali bacaan. Sesiapa yang menambahnya kepada sepuluh atau menguranginya kepada satu, maka itu bukan sunnah. Zikir astaghfirullahal ‘azhim allazi lailaha illa, huwal hayyul qayyum, wa atubu ilaihi misalnya, telah diperluaskan bilangannya. Sesiapa yang membataskannya kepada bilangan empat puluh empat kali bacaan sehari misalnya, maka ia bukan sunnah.

Termasuk dalam unsur ukuran ialah kekerapan. Di antara amal ibadah, ada yang dilakukan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam secara berterusan, ada yang secara lazim (ditinggalkan sekali sekala) dan ada yang secara sekali sekala (lazim ditinggalkan). Maka sesiapa yang menyalahi kekerapan ini, bererti dia telah menyalahi sunnah.

 

2.4: Cara. Di antara amal ibadah ada yang telah ditentukan caranya dan ada yang dilapangkan caranya. Berzikir umpamanya, telah ditentukan secara sirr (perlahan) melainkan beberapa yang telah ditetapkan secara jahr (kuat) seperti takbir dua hari Id (Aidil Fitri dan Aidil Adha) dan talbiyah semasa umrah dan haji. Bersedekah umpamanya, telah dilapangkan caranya kepada apa jua, asalkan barang yang ingin disedekahkan itu sampai ke tangan orang yang berhak mendapatnya. Sesiapa yang merubah cara yang asalnya telah ditentukan atau menentukan cara yang asalnya dilapangkan, maka ia bukan sunnah.

 

2.5: Masa. Di antara amal ibadah ada yang telah ditentukan masanya dan ada yang dilapangkan masanya. Maka sesiapa yang menentukan apa yang dilapangkan dan melapangkan apa yang ditentukan, maka dia melakukan sesuatu yang bukan sunnah. Zikir astaghfirullahal ‘azhim allazi lailaha illa, huwal hayyul qayyum, wa atubu ilaihi misalnya, telah dilapangkan masanya kepada bila-bila jua. Sesiapa yang menentukannya kepada selepas solat fardhu, maka itu bukan sunnah. Zikir takbir Hari Raya Aidil Fitri misalnya, telah ditentukan masanya dari saat kelihatan anak bulan 1 Syawal (malam Hari Raya) hingga selesai khutbah solat Hari Raya keesokan pagi. Sesiapa yang melapangkannya sehingga membaca zikir takbir kepada bila-bila masa jua, maka ia bukan sunnah.

 

2.6: Tempat: Di antara amal ibadah ada yang ditentukan tempatnya dan ada yang dilapangkan tempatnya. Zikir Allahumma inni a’uzubika minal khubutsi wal khabaits misalnya, telah ditentukan tempatnya iaitu sebelum memasuki tandas. Sesiapa yang melapangkannya kepada membaca zikir itu di mana jua tempat, atau menentukannya ke tempat lain umpama di atas kenderaan, maka ia bukan sunnah. Zikir selepas solat fardhu misalnya, boleh dibaca di mana jua, asalkan sesudah selesai solat fadhu. Sesiapa yang menentukan tempat bacaannya di satu penjuru masjid sahaja, maka ia bukan sunnah.

Demikian dua aspek yang perlu ditepati sebelum sesuatu amalan itu dapat dihukum sebagai sunnah. Adapun perkara khilaf, maka ia dilihat dari dua sudut:

 

1.    Jika sesuatu amalan yang khilaf itu memiliki dalil dan diperhujahkan secara benar, maka ia duduk dalam kategori khilaf yang diterima. Ia tidak dihukum sebagai sunnah mahupun bid’ah. Pihak yang mencenderungi salah satu daripada pendapat itu tidak boleh menghukumnya sebagai sunnah melainkan mengisyaratkannya, umpama berkata “Bagi kami pendapat inilah yang menghampiri sunnah”. Adapun pihak yang tidak mencenderunginya, tidak boleh menghukumnya sebagai bid’ah melainkan mengisyaratkan kecenderungan mereka yang lain, umpama “Menurut kami pendapat itulah yang lebih menghampiri sunnah”.

Satu contoh ialah membaca Basmalah di permulaan surah al-Fatihah semasa solat Subuh, Maghrib dan Isyak. Sama ada secara kuat (jahr) atau perlahan (sirr), kedua-duanya memiliki dalil yang diperhujahkan secara benar. Maka ia adalah khilaf yang tidak boleh dihukumi sunnah atau bid’ah oleh mana-mana pihak yang mencenderungi salah satu daripada dua cara bacaan itu. Satu pihak berkata “Menurut kami yang selari dengan sunnah ialah memperlahankan bacaan Basmalah” manakala pihak yang kedua berkata “Bagi kami pula yang mendekati sunnah ialah menguatkan bacaan Basamalah”.

 

2.    Jika sesuatu amalan yang khilaf itu tidak memiliki dalil atau memiliki dalil yang diperhujahkan secara salah, maka ia duduk dalam kategori khilaf yang ditolak. Khilaf seperti ini dihukum bid’ah dan orang yang menghukuminya boleh berkata “Itu adalah bid’ah”.

Umpama amalan membaca surah Yasin di mana setiap ayat yang diakhir dengan perkataan mubin diulang sebanyak tujuh kali.[3] Membaca surah Yasin memang dianjurkan kerana ia sebahagian dari al-Qur’an akan tetapi membaca berulang-kali ayat-ayat yang diakhiri dengan perkataan mubin adalah salah dari sudut ukuran. Justeru ini adalah khilaf yang ditolak dan pendapat membaca setiap ayat yang diakhiri dengan perkataan mubin sebanyak tujuh kali itu dihukum bid’ah.

 

 


 

[1]               Hafiz Firdaus Abdullah – Marilah Berkenalan Dengan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah (Jahabersa, Johor Bahru, 2007), ms. 21 dan seterusnya.

[2]               Dikembangkan dari keterangan Muhammad bin Shalih al-Utsaimin rahimahullah dalam buku Syarh Arba’in al-Nawawiyah (edisi terjemahan oleh Muhammad Azhar atas judul Hadis Arba’in Nawawiyah; Penerbitan Absolut, Yogyakarta, 2005), ms. 171 dan seterusnya (syarah ke atas hadis no: 5). Setiap unsur ada yang ditentukan oleh syari’at dan ada yang dilapangkan oleh syari’at berdasarkan keterangan Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah secara berpisah-pisah dalam bukunya Iqtidha al-Shirat al-Mustaqim Li Mukhalafati Ashhhab al-Jahim.

[3]               Salah satu darinya ialah:

 وَمَا عَلَيْنَا إِلَّا الْبَلَاغُ الْمُبِينُ

Dan tugas Kami hanyalah menyampaikan perintah-perintahNya dengan cara yang jelas nyata. [Yasin 36:17]

Keseluruhannya terdapat tujuh ayat yang berakhir dengan perkataan mubin dalam surah Yasin, iaitu ayat nombor 12, 17, 24, 47, 60, 69 dan 77. Selain dari mengulangi ayat tersebut sebanyak tujuh kali, ada petua-petua lain umpama berdoa apa jua yang dikehendaki pada penghujung setiap ayat tersebut. Semua petua ini begitu masyhur sekalipun salah satu dari ayat tersebut ialah:

 

أَلَمْ أَعْهَدْ إِلَيْكُمْ يَا بَنِي آدَمَ أَن لَّا تَعْبُدُوا الشَّيْطَانَ ۖ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

 

Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu. [Yasin 36:60]