36 Kritikan Ke Atas Buku
Amalan Sunnah Selepas Solat Dan Kelebihannya

 

Hafiz Firdaus Abdullah

 
 

 

 

 

# 20: Kekeliruan Dalam Penggunaan Hadis Dha‘if (2).

 

ASSSDK 22:

Justeru itu kesimpulannya, Hadis ini masih boleh diamalkan di dalam ibadah sunat yang berkaitan dengan kelebihan atau dikenali sebagai Fadhaa’ilu al-A’mal. Oleh kerana itulah, boleh jadi Imam al-Syaukani telah memasukkan Hadis ini di dalam kitabnya Nailul al-Authar.

Imam al-Sayuti menyebutkan di dalam kitabnya Tuhfatu al-Abrar mengenai beramal dengan Hadis dha’if dengan katanya:

“Para ulama’ Hadis, Feqah dan lainnya berpendapat: “Harus lagi sunat beramal dengan Hadis dha’if dalam perkara ibadah yang berkaitan dengan kelebihan-kelebihan, galakan melakukan amalan tertentu dan menjauhkannya, selagi mana Hadis tersebut tidak mencapai tahap Hadis Maudhu’.

 

Kritikan:

Di atas adalah nukilan yang benar tetapi penggunaan yang salah. Ini kerana maksud Fadha’il al-A’mal ialah menerangkan kelebihan beramal dengan suatu amal yang sudah sabit melalui dalil-dalil Islam yang syar’e. Hadis dha‘if tidak boleh dijadikan dasar mensabitkan sesuatu amalan, ia hanya boleh menerangkan kelebihan sesuatu amalan yang sudah sabit berdasarkan dalil-dalil Islam yang syar’e seperti al-Qur’an, al-Sunnah yang sahih dan hasan, al-Qiyas, al-Ijma’ dan sebagainya.

Demikianlah juga peranan hadis dha‘if dalam al-Targhib (galakkan) dan al-Tarhib (ancaman). Hadis dha‘if hanya boleh menggalakkan sesuatu yang kebaikannya sudah sabit melalui dalil-dalil Islam yang syar’e. Hadis dha‘if hanya boleh mengancam daripada sesuatu yang keburukannya sudah sabit melalui melalui dalil-dalil Islam yang syar’e.

Ibn Taimiyah rahimahullah menjelaskan:

 

ولا يجوز أن يعتمد فى الشريعة على الأحاديث الضعيفة التى ليست صحيحة

 

ولا حسنة لكن أحمد بن حنبل وغيره من العلماء جوزوا أن يروى فى فضائل الأعمال

 

ما لم يعلم أنه ثابت إذا لم يعلم أنه كذب.

 

Tidak dibolehkan menyandarkan syari‘at atas hadis-hadis dha‘if yang tidak sahih dan tidak hasan. Akan tetapi Ahmad bin Hambal dan para ulama’ yang lain membolehkan periwayatan dalam Fadha’il al-A’mal apa yang tidak diketahui kesabitannya (sama ada hadis itu sahih, hasan atau dha‘if) selagi mana tidak diketahui ianya dusta (jika diketahui dusta maka tidak boleh meriwayatkannya).

 

وذلك أن العمل إذا علم أنه مشروع بدليل شرعى وروى فى فضله حديث

 

لا يعلم أنه كذب جاز أن يكون الثواب حقا. ولم يقل أحد من الأئمة إنه يجوز أن يجعل الشىء

 

واجبا أو مستحبا بحديث ضعيف ومن قال هذا فقد خالف الإجماع.

Ini kerana sesuatu amal, jika diketahui ianya disyari’atkan dengan dalil syar’e lalu diriwayatkan berkenaan keutamaannya hadis yang tidak diketahui ianya dusta, (maka) balasan pahalanya adalah benar. Tidak ada seorang jua daripada para imam yang berkata, bahawasanya boleh menjadikan sesuatu amal (hukumnya) wajib atau sunat berdasarkan hadis dha‘if. Sesiapa yang berkata sedemikian, maka dia telah menyelisihi ijma’.

 

 وهذا كما أنه لا يجوز أن يحرم شىء إلا بدليل شرعى

 

لكن إذا علم تحريمه وروى حديث فى وعيد الفاعل له ولم يعلم

 

أنه كذب جاز أن يرويه. فيجوز أن يروى فى الترغيب والترهيب ما لم يعلم

 

أنه كذب لكن فيما علم أن الله رغب فيه أو رهب منه بدليل آخر غير هذا الحديث المجهول حاله.

 

Ini sebagaimana tidak dibolehkan mengharamkan sesuatu kecuali dengan dalil syar’e. Namun apabila diketahui pengharamannya (berdasarkan dalil syar’e) dan diriwayatkan hadis yang mengancam pelakunya sementara tidak diketahui bahawa hadis itu dusta, (maka) ia boleh diriwayatkan. Justeru boleh meriwayatkan (hadis-hadis) berkenaan galakan dan ancaman yang tidak diketahui bahawa ianya dusta dengan syarat diketahui bahawa Allah telah menggalaknya atau mengancamnya berdasarkan dalil lain (yang syar’e), bukan (berdasarkan) hadis yang tidak diketahui statusnya itu.[1]

 

Sebagai contoh, perhatikan riwayat berikut:

الصَّائِمُ إِذَا أَكَلَ عِنْدَهُ الْمَفَاطِيرُ صَلَّتْ عَلَيْهِ الْمَلاَئِكَةُ.

Orang yang sedang berpuasa apabila di sisinya terdapat orang tidak berpuasa yang sedang makan, maka para malaikat berselawat ke atasnya.[2]

 

Hadis ini boleh digunakan atas tujuan Fadha’il al-A’mal terhadap orang yang sedang melakukan ibadah puasa yang sabit melalui dalil syar’e, puasa di bulan Ramadhan atau puasa sunat hari Isnin. Akan tetapi hadis ini tidak boleh dijadikan sumber untuk mensabitkan amalan tersendiri, umpama berpuasa pada Hari Guru atau menerangkan kelebihan orang yang berpuasa Hari Guru sementara orang lain di sekelilingnya sedang makan sempena jamuan Hari Guru. Ini kerana tidak adalah dalil syar’e yang mensabitkan amalan puasa sunat pada Hari Guru.

Kembali kepada hadis menyapu muka selepas salam sambil berzikir, ia bukanlah hadis yang menerangkan kelebihan suatu amal tetapi hadis yang cuba mensabitkan suatu amal. Amalan menyapu muka selepas salam sambil berzikir tidak sabit melalui apa-apa dalil – sejauh yang diketahui saya – melainkan melalui hadis tersebut. Memandangkan hadis itu adalah dha‘if (berdasarkan jalan periwayatan ketiga), ia tidak boleh digunakan untuk mensabitkan amalan menyapu muka selepas salam sambil berzikir.

 

 

Penjelasan Tambahan

Amatlah dikesali apabila sebahagian orang yang duduk dalam jawatan “pewaris Nabi” memperlekehkan hadis-hadis yang mereka wariskan. Apabila ditanya sumber atau diminta status hadis, mereka menjawab mudah bahawa ia boleh disampaikan atas dasar Fadha’il al-A’mal. Padahal seandainya mereka menelusuri syarat-syarat pengamalan hadis dha‘if atas tujuan Fadha’il al-A’mal, nescaya mereka akan mengetahui ia amat rumit lagi melelahkan. Benarlah kata ‘Ali bin Muhammad al-Maghribi hafizhahullah:

Para ulama’ yang memberi syarat agar dapat mengamalkan hadis dha‘if dalam masalah-masalah Fadha’il al-A’mal, umumnya mensyaratkan beberapa syarat yang tidak mampu dipenuhi oleh majoriti kaum muslimin.[3]

Bahkan beliau telah membuktikan bahawa hadis-hadis dalam subjek Fadha’il al-A’mal boleh dicukupkan kepada apa yang sahih dan hasan melalui kitabnya al-Shahih al-Musnad min Fadha’il al-A’mal.

Amatlah indah apa yang diperkatakan oleh al-Qurtubi rahimahullah:

 

وإنما على الناس أن ينظروا في أديانهم نظرهم في أموالهم،

 

وهم لا يأخذون في البيع دينارا معيبا، وإنما يختارون السالم الطيب،

 

كذلك لا يؤخذ من الروايات عن النبي صلى الله عليه وسلم

 

إلا ما صح عن النبي صلى الله عليه وسلم سنده،

 

لئلا يدخل في حيز الكذب على رسول الله صلى الله عليه وسلم

 

فبينما هو يطلب الفضل إذا به قد أصاب النقص، بل ربما أصاب الخسران المبين.

 

Sayogianya manusia wajib melihat urusan agama mereka sebagaimana urusan harta mereka, di mana mereka tidak akan mengambil dalam sesuatu urusan jual-beli dengan matawang yang rosak. Mereka hanya akan mengambil apa yang selamat dan baik. Demikianlah juga, jangan diambil sesuatu riwayat daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam melainkan apa yang sah sanadnya daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, agar tidak termasuk dalam ruang lingkup berdusta atas Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Dibimbangi dia sedang mencari keutamaan dengan riwayat itu lalu yang ditemui hanyalah kekurangan. Bahkan mungkin saja dia menemui kerugian yang nyata.[4]

 

Antara berlian dan kaca, antara emas dan tembaga, antara matawang bernilai dan matawang permainan kanak-kanak, semoga kita semua tergolong di kalangan orang yang tidak menerima apa yang diragui daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

 

 

 


 


[1]               Majmu’ al-Fatawa (tahqiq: ‘Amir al-Jazzar & Anwar al-Baz; Dar al-Wafa’, al-Mashurah, 1997),  jld. 1, ms. 250-251.

[2]               Dha’if: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai dha‘if oleh al-Albani dalam Dha’if Sunan al-Tirmizi, hadis no: 784. Juga dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai dha‘if oleh Mahmud Muhammad Mahmud dalam semakannya ke atas Sunan Ibn Majah (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1998), hadis no: 1784. Juga dikeluarkan oleh Ahmad dan sanadnya dinilai dha‘if oleh Syu‘aib al-Arnauth dan rakan-rakan dalam semakan mereka ke atas Musnad Ahmad (Muassasah al-Risalah, Beirut, 2001), hadis no: 27059.  Namun hadis ini memiliki kelemahan yang ringan sehingga ada yang menilai statusnya lebih baik. Husain Salim Asad menilai sanadnya bagus (jayyid) dalam semakannya ke atas Musnad al-Darimi (Dar Ibn Hazm, Beirut, 2000), hadis no: 1779 sementara Samir Ahmad al-‘Athar dan rakan-rakan menilai sanadnya hasan dalam semakan mereka ke atas al-Targhib wa al-Tarhib li al-Munziri (Dar Ibn Katsir, Damsyik, 1999), hadis no: 1598.

[3]               al-Shahih al-Musnad min Fadha’il al-A’mal (edisi terjemahan oleh Ahmad Yunus, Syu’aib al-Faiz & Gunaim Ihsan atas judul Shahih Fadha’il A’mal; Pustaka at-Tazkia, Jakarta, 2007), ms. 8. Alhamdulillah, saya telah menerangkan secara terperinci cara-cara mempraktikkan syarat-syarat hadis lemah atas tujuan Fadha’il al-A’mal dalam buku saya Amalan-Amalan Di Bulan Ramadhan (Jahabersa, Johor Bahru, 2008).

[4]               al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (tahqiq: Shiddiq Jamil al-‘Athar; Dar al-Fikr, Beirut, 1999), jld. 7, ms. 173.