36 Kritikan Ke Atas Buku
Amalan Sunnah Selepas Solat Dan Kelebihannya

 

Hafiz Firdaus Abdullah

 
 

 

 

 

# 21: Kekeliruan Dalam Memahami Perkataan al-Qadhi ‘Iyadh.

 

Pihak ASSSDK seterusnya menerangkan secara panjang lebar, lengkap dengan hadis-hadisnya berserta syarahnya, berkenaan posisi imam selepas solat. Ringkasnya imam boleh menghadap ke kanan, belakang atau kiri dari arah kiblat. Semuanya molek kecuali apabila pihak ASSSDK menukil dan menjelaskan kata-kata al-Qadhi ‘Iyadh rahimahullah. Di sana berlaku kesalahan yang agak berat seperti yang akan dijelaskan dalam kritikan ini. Sebelum itu marilah kita lihat nukilan dan penjelasan ASSSDK terhadap kata-kata al-Qadhi ‘Iyadh itu:

 

ASSSDK 30:

Untuk merungkai masalah ini, cuba kita perhatikan ulasan yang diberikan oleh Qadhi ‘Iyadh dengan katanya:

“Berkemungkinan Hadis ini memberi maksud bahawa Nabi SAW memalingkan mukanya ke arah kanan ketika memberi salam sahaja. Penafsiran seperti ini (nampaknya) lebih kuat kerana kebiasaannya Nabi SAW bila berpaling, akan menghadapkan mukanya kepada semua para Sahabat RA. Katanya lagi: “Maksud berpaling ke arah kanan di sini mungkin juga berlaku selepas Rasulullah SAW bangun daripada (tempat) solatnya atau berpaling ke arah kanan selepas selesai memberi salam.”

Pentafsiran daripada Qadhi ‘Iyadh tadi, menunjukkan bahawa sunat juga bagi imam selepas selesai solat selain menghadapkan mukanya ke arah makmum, berpaling ke kanan makmum iaitu dengan menjadikan arah kiblat di sebelah kirinya.

 

Kritikan:

Tujuan al-Nawawi rahimahullah mengemukakan kata-kata al-Qadhi ‘Iyadh rahimahullah bukanlah untuk membela posisi imam duduk berpaling ke kanan dari arah kiblat. Akan tetapi ia adalah untuk menerangkan mengapa para sahabat suka berada di saf sebelah kanan apabila menjadi makmum di belakang Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Penerangan ini bersempena hadis al-Bara’ radhiallahu 'anh yang dikemukakan oleh ASSSDK 29:

“Sesungguhnya kami apabila solat di belakang Rasulullah SAW, kami suka mengambil tempat di sebelah kanannya, (kerana apabila selesai solat) Baginda akan berpaling dengan menghadapkan mukanya ke arah kami (yang berada di sebelah kanan Baginda SAW).”

 

Maka bersempena hadis al-Bara ini, al-Nawawi mengemukakan kata-kata al-Qadhi ‘Iyadh:

 

قال القاضي: يحتمل أن يكون التيامن عند التسليم

 

وهو الأظهر لأن عادته صلى الله عليه وسلم إذا انصرف أن يستقبل جميعهم بوجهه.

 

قال: وإقباله صلى الله عليه وسلم يحتمل أن يكون بعد قيامه من الصلاة أو يكون حين ينفتل.

 

Berkata al-Qadhi (‘Iyadh): Mungkin yang dimaksudkan ialah ketika memberi salam ke arah kanan, dan inilah (pendapat) yang paling tepat. Ini kerana kebiasaannya (Rasulullah) shallallahu 'alaihi wasallam apabila berpaling akan menghadapkan wajahnya kepada mereka semua (makmum). Berkata (al-Qadhi ‘Iyadh lagi): Kemungkinan (maksud) menghadapnya (Rasulullah) shallallahu 'alaihi wasallam ialah setelah bangun daripada solat (untuk beredar keluar) atau ketika berpusing (untuk berpaling menghadap makmum dengan membelakangkan kiblat).[1]

 

Maka berdasarkan keterangan al-Qadhi ‘Iyadh, apabila dikatakan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menghadapkan mukanya ke arah para sahabat sehingga mereka suka mengambil saf di sebelah kanan baginda, terdapat tiga kemungkinan maksud:

  1. Ketika Rasulullah memberi salam ke arah kanan. Iaitu apabila memberi salam yang pertama, baginda akan berpaling ke kanan. Pada saat itu, baginda akan menghadapkan wajahnya kepada para sahabat yang menjadi makmum di saf sebelah kanan. Atau:

  2. Ketika Rasulullah bangun untuk beredar dari tempat solat, baginda akan bangun ke arah kanan. Ini bererti baginda akan menghadapkan wajahnya kepada para sahabat yang menjadi makmum di saf sebelah kanan. Atau:

  3. 3.    Ketika Rasulullah berpusing ke belakang dari kiblat untuk menghadap makmum, baginda akan berpusing arah kanan. Jika dilihat dari atas, baginda berpusing mengikut arah putaran jam.  Dalam rangka sedang berpusing itu, baginda akan menghadapkan wajahnya kepada para sahabat yang menjadi makmum di saf sebelah kanan.

 

Di antara tiga kemungkinan ini, al-Qadhi ‘Iyadh menilai kemungkinan pertama sebagai yang paling tepat. Semua ini amat jauh daripada penafsiran yang diberikan oleh pihak ASSSDK terhadap kata-kata al-Qadhi ‘Iyadh:

Pentafsiran daripada Qadhi ‘Iyadh tadi, menunjukkan bahawa sunat juga bagi imam selepas selesai solat selain menghadapkan mukanya ke arah makmum, berpaling ke kanan makmum iaitu dengan menjadikan arah kiblat di sebelah kirinya.

 

Penafsiran ini, secara langsung atau tidak langsung, tidak memiliki apa-apa kaitan dengan kata-kata al-Qadhi ‘Iyadh dan tujuan al-Nawawi menukil kata-kata itu. Ini menyebabkan kita tertanya-tanya, sejauh manakah kemampuan dan kefahaman pihak ASSSDK dalam mengkaji khazanah ilmu peninggalan para ulama’ kita? Pihak ASSSDK bukan sahaja silap dalam menukil penjelasan tetapi memberi penafsiran yang silap di atas penjelasan itu. Ini adalah dua kesilapan yang berganda.

 

 

 

 

 

[1]               al-Minhaj, jld. 4, ms. 29 dibaca bersama Ikmal al-Mu’alim bi Fawa’id Muslim (tahqiq: Yahya Isma’il; Dar al-Wafa’, al-Manshurah, 1998), jld. 3, ms. 41.