36 Kritikan Ke Atas Buku
Amalan Sunnah Selepas Solat Dan Kelebihannya

 

Hafiz Firdaus Abdullah

 
 

 

 

 

# 22: Benih Awal Penumbuhan Bid’ah.

 

Bab ketiga dan keempat buku ASSSDK membicarakan posisi imam selepas salam dan waktu melaksanakan solat sunat ba’diyah bagi solat fardhu yang memilikinya. Disebabkan amalan-amalan ini belum dicemari oleh sunnah sebahagian tok-tok guru pondok, pihak ASSSDK dapat mengemukakan penjelasan baik dan betul berdasarkan sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Mereka tidak perlu menyembunyikan nukilan, menyelewengkan terjemahan dan berhujah dengan kaedah yang batil.

Kerosakan kembali muncul apabila pihak ASSSDK cuba membela amalan yang telah dicemari oleh sunnah sebahagian tok-tok guru pondok, iaitu pada bab kelima berkenaan memuji Allah dan beristighfar. Mari kita perhatikan, dimulai pada mukasurat 57.

 

ASSSDK 57:

Sudah menjadi amalan kepada Tok-Tok Guru Pondok dan kepada masyarakat kita, apabila selesai sahaja daripada solat fardhu, mereka akan memuji Allah SWT. Lafaz pujian yang digunakan berbeza-beza di antara satu sama lain. Di antara lafaz pujian yang biasa dibacakan selepas solat fardhu ialah ayat suci al-Qur’an daripada akhir surah al-Isra’……

 

Kritikan:

Di atas adalah contoh terbaik bagaimana amalan bid’ah bermula di kalangan umat Islam. Pertama mereka menepikan zikir-zikir pujian yang diajar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Kemudian mereka mencari atau mencipta zikir pujian tersendiri, setiap individu atau kumpulan memiliki pilihan tertentu yang menurut masing-masing, ia adalah yang terbaik. Secara bertahap-tahap, zikir pilihan sendiri semakin berkembang sementara zikir yang diajar oleh Rasulullah semakin mengecil. Akhirnya, apa yang bid’ah dianggap sunnah manakala apa yang sunnah dianggap bid’ah.

Amatlah benar apa yang dikatakan oleh al-Barbahari rahimahullah:

 

واحذر ضغار المحدثات من الأمور فإن صغير البدع يعود حتى يصير كبيرا,

 

وكذلك كل بدعة أحدثت في هذه الأمة, كان أولها صغيرا يشبه الحق,

 

فاغتر بذلك من دخل فيها, ثم لم يستطع الخروج منها,

 

فعظمت وصارت دينا يدان به فخالف الصراط المستقيم فخرج من الإسلام.

 

Jauhilah setiap perkara bid‘ah sekecil mana pun kerana bid‘ah yang kecil lambat laun akan membesar. Demikianlah dengan (setiap) bid‘ah yang terjadi pada umat ini, ia berasal dari perkara kecil dan remeh yang mirip dengan kebenaran sehingga banyak orang terperdaya dan terkecoh, lalu mengikat hati mereka sehingga susah untuk keluar dari jeratannya. Akhirnya ia menjadi darah daging yang diyakini sebagai agama. Tanpa disedari, perlahan-lahan mereka menyelisihi jalan yang lurus dan keluar dari Islam.[1]

 

Demikian juga perkataan Hasan bin ‘Athiyah rahimahullah:

 

ما ابتدع قوم بدعة في دينهم إلا نزع الله من سنتهم مثلها ثم لا يعيدها إليهم إلى يوم القيامة.

 

Tidaklah satu kaum mencipta satu bid‘ah dalam agama mereka melainkan Allah mencabut daripada sunnah (Nabi) mereka sesuatu yang semisalnya, kemudian tidaklah ia dikembalikan kepada mereka sehinggalah pada hari Kiamat.[2]

Adapun dalam kes di atas, hukum bid’ah tidak ditujukan kepada membaca ayat terakhir surah al-Isra’ tetapi kepada melakukan bacaan itu pada masa selepas solat fardhu. Ini kerana membaca ayat terakhir surah al-Isra’ adalah satu amal ibadah yang dilapangkan masanya sehingga boleh dilakukan pada bila-bila masa jua. Apabila ia ditentukan kepada masa selepas solat fardhu, maka berlaku penentuan terhadap apa yang asalnya dilapangkan. Di sinilah letaknya hukum bid’ah.

 

 

 


 

[1]               Syarh al-Sunnah (edisi terjemahan oleh Zaenal Abidin dengan judul yang sama; Pustaka Imam adz-Dzahabi, Jakarta, 2006), usul no: 07 dengan beberapa suntingan bahasa.

[2]               Dikeluarkan oleh al-Darimi dan sanadnya dinilai sahih oleh Husain Salim Asad dalam semakannya ke atas Musnad al-Darimi, hadis no: 99.