36 Kritikan Ke Atas Buku
Amalan Sunnah Selepas Solat Dan Kelebihannya

 

Hafiz Firdaus Abdullah

 
 

 

 

 

# 23: Kesalahan Doa Selepas Makan.

 

ASSSDK 57-58:

Bila kita bertanya kepada Tok-Tok Guru Pondok: “Mengapa selepas selesai sahaja solat fardhu, kita pun terus memuji Allah SWT dengan menggunakan lafaz di atas?”

Jawab mereka: “Rasulullah SAW telah mengajar kita supaya sentiasa bersyukur di atas segala nikmat-nikmat yang diterima daripada Allah SWT. Sebab itu, bila kita selesai makan contohnya, kita akan memuji Allah SWT dengan berkata: “Segala puji bagi Allah SWT yang telah memberi rezeki makanan dan minuman kepada kami dan kepadanya kita akan dikembalikan.”

 

Kritikan:

Kenyataan di atas sebahagiannya benar dan sebahagiannya salah. Benar bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengajar kita untuk bersyukur atas segala nikmat, antaranya nikmat makan dan minum. Salah bahawa Rasulullah mengajar kita doa seumpama di atas. Doa yang paling mendekatinya berbunyi:

 

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَطْعَمَنَا وَسَقَانَا وَجَعَلَنَا مُسْلِمِينَ.

 

Segala puji bagi Allah yang telah memberi kami makan dan kami minum dan menjadikan kami muslimin.[1]

 

Namun doa di atas, sekalipun masyhur di kalangan masyarakat, statusnya adalah dha‘if. Ada beberapa doa lain yang berstatus sahih, satu di antaranya:

 

الْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ غَيْرَ مَكْفِيٍّ وَلاَ مُوَدَّعٍ وَلاَ مُسْتَغْنًى عَنْهُ رَبَّنَا.

 

Segala puji bagi Allah (dengan pujian) yang sebanyak-banyaknya, sebaik-baiknya dan penuh keberkatan padanya, tanpa berkesudahan, tanpa ditinggalkan, tanpa diabaikan, wahai tuhan kami.[2]

 


 

[1]               Dha’if: Dikeluarkan oleh Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasa’e, Ibn Majah dan lain-lain. Ia memiliki beberapa jalan periwayatan, setiapnya memiliki kelemahan di dalamnya. Syu’aib al-Arna’uth dan rakan-rakan telah mentakhrij jalan-jalan ini dalam semakan mereka ke atas Musnad Ahmad (Muassasah al-Risalah, Beirut, 1997), hadis no: 11276 dan mereka tidak menilainya saling menyokong hingga dapat diangkatnya ke taraf hasan li ghairihi.

al-Nawawi telah mengemukakan doa ini dalam kitab al-Adzkarnya, hadis no: 698. Penyemak kitab, ‘Amr bin ‘Ali Yasin telah mentakhrij lima jalan periwayatan dengan setiapnya memiliki kecacatan. Beliau tidak menilainya saling menyokong hingga dapat diangkatnya ke taraf hasan li ghairihi.

Selain itu rujuk Dha‘if Sunan Abu Daud, hadis no: 3850; Dha‘if Sunan al-Tirmizi, hadis no: 3457; Mukhtasar al-Syama’il al-Muhammadiyah li al-Tirmizi, hadis no: 163; Dha ‘if Sunan Ibn Majah, hadis no: 3346; semuanya oleh al-Albani rahimahullah.

[2]               Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 5458.