36 Kritikan Ke Atas Buku
Amalan Sunnah Selepas Solat Dan Kelebihannya

 

Hafiz Firdaus Abdullah

 
 

 

 

 

# 26: Kelemahan Memahami Maksud Zikir.

 

ASSSDK 58:

Bila kita melihat Hadis-Hadis sahih, kita akan mendapati bahawa, selain daripada lafaz Tahmid iaitu الحمدالله 33 kali, tidak ada satu pun lafaz khusus yang diajar oleh Rasulullah SAW, untuk memuji-mujinya selepas selesai sahaja memberi salam daripada solat.

 

Kritikan:

Terdapat dua kesalahan dalam kenyataan ASSSDK di atas:

 

Pertama: Secara khusus, lafaz tahmid (الحمدالله) bukanlah satu pujian tetapi satu doa. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah menerangkan:

أَفْضَلُ الذِّكْرِ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَفْضَلُ الدُّعَاءِ الْحَمْدُ لِلَّهِ.

 

Sebaik-baik zikir ialah la ilaha illallah sementara sebaik-baik doa ialah alhamdulillah.[1]

 

Kedua: Secara umum, semua zikir-zikir selepas solat merupakan puji-pujian kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Perhatikan zikir pertama yang baginda baca dan ajar kita sebaik sahaja selesai memberi salam, yang dipenuhi dengan puji-pujian:

اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلاَمُ وَمِنْكَ السَّلاَمُ تَبَارَكْتَ ذَا الْجَلاَلِ وَالإِكْرَامِ.

 

Ya Allah, Engkaulah yang memiliki Kesejahteraan, dan daripada-Mu asalnya kesejahteraan itu, segala keberkatan adalah milik Engkau Ya Allah, yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan.[2]

 

Kemudian kita beristghfar yang sebenarnya adalah satu bentuk pujian juga, kerana kita menyandarkan permintaan maaf dan harapan kemaafan kepada Allah jua. Dalam rangka beristighfar, kita memuji Allah sebagai Tuhan yang Pemaaf.

Seterusnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengajar kita untuk memuji Allah dengan zikir:

 

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ.

 

لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ. لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَلاَ نَعْبُدُ إِلاَّ إِيَّاهُ لَهُ النِّعْمَةُ وَلَهُ الْفَضْلُ وَلَهُ الثَّنَاءُ الْحَسَنُ.

 

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ.

 

Tiada Tuhan melainkan Allah yang tunggal tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nyalah kerajaan dan puji-pujian, dan Dia berkuasa membuat segala sesuatu. Tiada daya mahupun tenaga kecuali dengan Allah. Tiada Tuhan melainkan Allah, dan tiada yang berhak disembah melainkan Allah. Tuhan empunya kurnia, empunya keutamaan serta puji yang sebaik-baiknya. Tiada Tuhan melainkan Allah, kami bulatkan pengabdian kepada-Nya semata-mata walaupun tidak disukai oleh orang-orang kafir.[3]

 

Hadis sahih juga menerangkan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam selepas solat membaca zikir pujian dan doa pujian berikut:

 

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ.

 

اللَّهُمَّ لاَ مَانِعَ لِمَا أَعْطَيْتَ وَلاَ مُعْطِيَ لِمَا مَنَعْتَ وَلاَ يَنْفَعُ ذَا الْجَدِّ مِنْكَ الْجَدُّ.

 

Tiada Tuhan melainkan Allah yang tunggal tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nyalah kerajaan dan puji-pujian, dan Dia berkuasa membuat segala sesuatu. Ya Allah, tiadalah yang dapat menahan apa-apa yang Engkau berikan, tiadalah pula yang dapat memberikan apa-apa yang Engkau tahan, dan tiadalah bermanfaat kepada orang yang mempunyai kebesaran-kebesarannya itu.[4]

 

Khusus untuk solat Subuh dan Maghrib, kita memuji Allah Subhanahu wa Ta'ala dengan membaca zikir berikut sepuluh kali:

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ بِيَدِهِ الْخَيْرُ يُحْيِي وَيُمِيتُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ.

 

Tiada Tuhan melainkan Allah yang tunggal tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nyalah kerajaan dan puji-pujian, ditangan-Nya  kebaikan, Yang menghidupkan dan mematikan serta Dia berkuasa membuat segala sesuatu.[5]

 

Demikianlah juga apabila kita membaca tasbih (Subhanallah), tahmid (Alhamdulillah) dan takbir (Allahu Akbar) dengan bilangan tertentu, membaca Ayat al-Kursi, membaca surah-surah al-Mu‘awwidzat, semuanya adalah pujian kepada Allah jua.

Semua ini menyebabkan kita tertanya-tanya sejauh mana kefahaman pihak ASSSDK terdapat zikir-zikir yang diajar oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Kita berharap pihak ASSSDK tidak berzikir umpama burung kakak tua yang hanya menyebut perkataan tertentu tanpa memahaminya. Sebalik berzikirlah sebagai seorang hamba Allah yang benar-benar berkomunikasi, bermujahadah, memahami, merenung dan menghitung diri ketika berzikir.

Sebelum berpindah ke kritikan seterusnya, menarik untuk diperhatikan bahawa zikir-zikir yang saya kemukakan di atas sebagai bukti puji-pujian kepada Allah, juga telah dikemukakan oleh pihak ASSSDK dalam buku mereka di mukasurat 74 dan seterusnya. Ini sekali lagi menimbulkan persoalan sejauh manakah pihak ASSSDK memahami apa yang mereka tulis dan kemukakan. Sama-samalah kita mengambil iktibar daripada perumpamaan keldai yang membawa kitab tetapi tidak memahami isi kandungan kitab:

 

مَثَلُ الَّذِينَ حُمِّلُوا التَّوْرَاةَ ثُمَّ لَمْ يَحْمِلُوهَا كَمَثَلِ الْحِمَارِ يَحْمِلُ أَسْفَارًا

 

بِئْسَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِ اللَّهِ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ

 

Bandingan orang-orang (Yahudi) yang dipertanggungjawabkan (mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungjawab itu, samalah seperti keldai yang memikul bendela Kitab-kitab besar (sedang ia tidak mengetahui kandungannya). [al-Jumu‘ah 62:05]

 

 


 


[1]               Hasan: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 3383.

[2]               Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no. 591.

[3]               Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no. 594.

[4]               Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 7292.

[5]               Hasan: Dikeluarkan oleh Ahmad dalam Musnadnya, hadis no: 17990 dan dalam sanadnya terdapat kelemahan. Akan tetapi hadis ini memiliki beberapa jalan periwayatan yang lain, lalu ia dinilai hasan lighairihi oleh Syu’aib al-Arna’uth.