36 Kritikan Ke Atas Buku
Amalan Sunnah Selepas Solat Dan Kelebihannya

 

Hafiz Firdaus Abdullah

 
 

 

 

 

# 27: Hadis Yang Sahih, Hujah Yang Salah.

 

ASSSDK 58:

Cuma apa yang disebutkan di dalam Hadis, seperti yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi daripada Fadhalah bin ‘Ubaid RA, daripada Rasulullah SAW  berbunyi:

وعن فَضَالَةَ بْنِ عُبَيْدٍ قال:

" قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "

 

إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ فَلْيَبْدَأْ بِحَمْدِ اللَّهِ وَالثَّنَاءِ عَلَيْهِ وَيُصَلِّي عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

 

ثُمَّ لْيَدْعُ بِمَا شَاءَ. قَالَ التِّرْمِذِيُّ: حَدِيثٌ صَحِيحٌ.

Maksudnya:

“Daripada Fadhalah bin ‘Ubaid RA, katanya: “Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang kamu selesai solat, maka mulakanlah dengan memuji Allah SWT, berselawat ke atas Nabi SAW, kemudian barulah berdoa memohon kepada Allah SWT apa yang dia kehendaki.” Berkata al-Tirmizi: “Hadis ini sahih”

 

Kritikan:

Pihak ASSSDK mengemukakan hadis Fadhalah bin ‘Ubaid radhiallahu 'anh dalam rangka cuba membela amalan sebahagian tok-tok guru pondok yang membaca ayat terakhir surah al-Isra’ selepas memberi salam dari solat. Hadis tersebut sahih, tetapi penghujahan oleh pihak ASSSDK adalah salah.

Sebelum diterangkan di mana letak kesalahan ini, terlebih dahulu ingin dikemukakan lafaz sebenar hadis Fadhalah bin ‘Ubaid. Ini kerana lafaz hadis di atas diambil oleh pihak ASSSDK dari kitab Tuhfah al-Ahwadzi sebagaimana yang dicatat dalam notakaki nombor 63. Pengarang Tuhfah al-Ahwadzi – al-Mubarakfuri rahimahullah pula mengambil lafaz hadis itu dari kitab Zaad al-Ma‘ad karangan Ibn al-Qayyim rahimahullah. Ibn al-Qayyim pula mengarang kitab Zaad al-Ma‘ad ketika dalam perjalanan tanpa merujuk kepada apa-apa naskah kitab yang bertulis.[1] Maka dengan itu dalam beberapa kes terpencil, berlaku sedikit perbezaan dalam lafaz hadis.

Dalam kitab al-Jami’, al-Tirmizi rahimahullah mengeluarkan hadis tersebut dengan lafaz berikut:

 

إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ فَلْيَبْدَأْ بِتَحْمِيدِ اللَّهِ وَالثَّنَاءِ عَلَيْهِ

 

ثُمَّ لْيُصَلِّ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ لْيَدْعُ بَعْدُ بِمَا شَاءَ. قَالَ أَبُو عِيسَى: هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ.

Apabila seseorang kalian bersolat, maka mulailah dengan memuji Allah dan memberi sanjungan ke atas-Nya, kemudian berselawat ke atas Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, kemudian berdoa sesudah itu dengan apa saja. Berkata Abu ‘Isa: Hadis ini hasan sahih.[2]

 

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menyampaikan hadis di atas setelah melihat seseorang yang berdoa dengan terburu-buru selepas solatnya. Namun berdasarkan kaedah “yang diambil adalah keumuman lafaz dan bukan kekhususan sebab”, hadis di atas diamalkan dalam tiga keadaan:

·         Pertama: Ia diamalkan di dalam solat, sebaik saja sebelum salam. Apabila orang yang bersolat duduk membaca tasyahud akhir, dia memuji Allah dengan bacaan al-Tahiyyat, kemudian berselawat ke atas Rasulullah dengan selawat yang lazim dibaca ketika duduk tasyahud. Kemudian dia berdoa kepada Allah, diikuti dengan memberi salam.

·         Kedua: Ia di amalkan selepas solat. Setelah memberi salam menandakan berakhirnya solat, dia memuji Allah dengan zikir-zikir yang diajar oleh Rasulullah. Setelah itu dia berselawat ke atas Rasulullah dengan salah satu daripada selawat yang diajar oleh baginda. Kemudian dia berdoa kepada Allah.

·         Ketiga: Ia diamalkan pada bila-bila masa, tanpa terikat kepada ibadah solat. Ini kerana dalam bahasa arab, perkataan “solat” dalam hadis “Apabila seseorang kalian bersolat……” boleh juga bermaksud doa. Oleh kerana itulah al-Nawawi rahimahullah dalam kitab al-Adzkarnya meletakkan hadis Fadhalah bin ‘Ubaid ini di bawah bab “Disukai membuka doa dengan memuji Allah Ta‘ala dan berselawat ke atas Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.[3]

 

Justeru apabila ingin berdoa, dia mulakan dengan pujian kepada Allah, dikuti dengan selawat ke atas Rasulullah. Pujian dan selawat hendaklah berasal daripada al-Qur’an dan/atau hadis yang sahih dan hasan. Jika terdapat pilihan, maka pilihan itu dipelbagaikan sekadar yang mampu. Kemudian dia berdoa kepada Allah. 

Ketiga-tiga cara ini dijelaskan oleh Ibn al-Qayyim rahimahullah:

 

وعامة الأدعية المتعلقة بالصلاة إنما فعلها فيها وأمر بها فيها.

 

وهذا هو اللائق بحال المصلي فإنه مقبل على ربه يناجيه ما دام في الصلاة.

Secara umumnya doa-doa yang berkaitan dengan solat dilakukan oleh baginda (Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam)  di dalam solat dan baginda memerintahkan agar ia (doa-doa itu dilakukan) di dalamnya (solat). Inilah yang serasi dengan keadaan orang yang sedang bersolat kerana dia sedang menghadap Tuhannya, bermunajat kepada-Nya selagi dia berada dalam solatnya.

 

فإذا سلم منها انقطعت تلك المناجاة وزال ذلك الموقف بين يديه والقرب منه.

 

فكيف يترك سؤاله في حال مناجاته والقرب منه والإقبال عليه؟

 

ثم يسأله إذا انصرف عنه؟ ولا ريب أن عكس هذا الحال هو الأولى بالمصلي.

Apabila dia memberi salam (untuk keluar) dari solat, maka terputuslah munajat itu dan berakhirlah keberadaannya di hadapan Tuhannya serta kedekatan dengan-Nya. Justeru bagaimana mungkin seseorang itu meninggalkan permintaan (doa) padahal dia sedang dalam keadaan bermunajat lagi dekat dengan-Nya dan menghadap kepada-Nya? Kemudian dia meminta (doa) apabila berpaling dari solat? Tidak diragukan lagi bahawa kebalikan dari keadaan inilah yang paling utama bagi orang yang bersolat (yakni dia berdoa sebelum berpaling – keluar dari solat). (Pengamalan hadis cara pertama)

 

إلا أن ها هنا نكتة لطيفة وهو أن المصلي إذا فرغ من صلاته وذكر الله وهلله

 

وسبحه وحمده وكبره بالأذكار المشروعة عقيب الصلاة استحب له أن يصلي على النبي

 

بعد ذلك ويدعو بما شاء. ويكون دعاؤه عقيب هذه العبادة الثانية لا لكونه دبر الصلاة.

Di sini terdapat pengecualian yang amat halus, iaitu orang yang bersolat, apabila dia selesai dari solatnya, dia berzikir kepada Allah, bertahlil kepada-Nya, bertasbih kepada-Nya, bertahmid kepada-Nya dan bertakbir kepada-Nya dengan zikir-zikir yang disyari’atkan sesudah solat. Disukai baginya untuk berselawat ke atas Nabi sesudah (zikir-zikir) itu, lalu dia berdoa dengan apa saja (yang dikehendakinya). Doanya itu sesudah solat menjadi ibadah kedua yang bukan lagi berada di penghujung solat. (Pengamalan hadis cara kedua)

 

فإن كل من ذكر الله وحمده وأثنى عليه وصلى على رسول الله

 

استحب له الدعاء عقيب ذلك كما في حديث فضالة بن عبيد:

 

إذا صلى أحدكم فليبدأ بحمد الله والثناء عليه ثم ليصل على النبي ثم ليدع بما شاء. قال الترمذي: حديث صحيح.

Maka sesungguhnya setiap orang yang berzikir kepada Allah dengan memuji-Nya dan menyanjung ke atas-Nya, lalu berselawat ke atas Rasulullah (shallallahu 'alaihi wasallam), disukai baginya untuk berdoa sesudah itu (Pengamalan hadis cara ketiga). (Ini) sebagaimana dalam hadis Fadhalah bin ‘Ubaid: Apabila seseorang kalian bersolat, maka mulailah dengan memuji Allah dan memberi sanjungan ke atas-Nya, kemudian berselawat ke atas Nabi (shallallahu 'alaihi wasallam), kemudian berdoa dengan apa saja. Berkata al-Tirmizi: Hadis ini hasan sahih.[4]

 

Kembali kepada penghujahan ASSSDK, kesalahan mereka terletak pada kegagalan untuk membezakan cara mengamalkan hadis Fadhalah bin ‘Ubaid. Jika mereka ingin mengamalkannya selepas solat, maka memuji dan menyanjung Allah dicukupkan dengan zikir-zikir yang diajar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

Jika mereka ingin mengamalkan hadis Fadhalah bin ‘Ubaid dengan membaca ayat terakhir surah al-Isra’, maka ia dibolehkan ketika berdoa tanpa ada hubungkait dengan ibadah solat. Namun dianjurkan untuk mempelbagaikan bacaan pujian sekadar mampu. Ini kerana hadis Fadhalah bin ‘Ubaid menyebut pujian secara umum, bererti ia sesuatu yang dilapangkan. Maka janganlah membatas atau menentukannya kepada satu bacaan pujian sahaja.

 

 


 


[1]               Sebagaimana yang dinyatakan oleh pentahqiq kitab Zad al-Ma‘ad fi Hadyi Khairi al-‘Ibad, ‘Abd al-Qadir al-Arna’uth rahimahullah dan Syu‘aib al-Arna’uth hafizhahullah dalam muqaddimah mereka ke atas kitab tersebut (edisi terjemahan oleh Amiruddin Djalil atas judul Zadul Ma’ad; Griya Ilmu, Jakarta, 2006) jld. 1, ms. 3. Rujukan ini seterusnya diringkaskan sebagai Zaad al-Ma‘ad sahaja.

[2]               Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 3477.

[3]               Al-Adzkar, ms. 252.

[4]               Zaad al-Ma‘ad, jld. 1, ms. 366. Pihak ASSSDK juga mengemukakan kata-kata Ibn al-Qayyim ini dalam buku mereka, mukasurat 185-186. Akan tetapi yang dikemukakan hanya sebahagian dan berlaku peringkasan, iaitu penekanan Ibn al-Qayyim kepada amalan berdoa dalam solat sebelum memberi salam. Penekanan ini disembunyikan kerana ia tidak selari dengan sunnah masyarakat.